Selesai sarapan kami bersiap-siap, mengemas beg baju dan menggulung khemah. Proses dismantle khemah ini membuatkan aku terkial-kial juga sehingga Cikgu Ghani pun datang membantu. Shaiful yang lewat mengemas pun siap lebih awal dari aku. Oohh.. rupanya Shaiful ni dah memang selalu berkhemah so tiada masalah bagi mereka.
![]() |
Dalam terkial-kial pun lima minit sudah siap! |
Ahli-ahli rombongan turut bergotong-royong mengemas tapak khemah. Peserta perempuan mengemas di khemah masak, manakala lelaki ramai yang membantu mengangkat beg-beg untuk dimuatkan dalam perut bas. Krew Fizi adalah mastermind dalam selok-belok menyusun beg. Inilah kualiti yang aku puji dalam konvoi ini, saling bantu membantu. Apa yang penting kerjasama.
Pukul 9 pagi kami bertolak menuju Frankfurt. Menurut perancangan perjalanan akan mengambil masa kira-kira 6 jam selepas berhenti makan tengahari, kami akan tiba di Frankfurt. Hari ini Abu cuba menyambung kembali sesi ta'aruf yang tergendala tetapi dibantah oleh ahli rombongan kerana kami semua sudah mengenali satu sama lain, dakwa kami mengelak.
Kami melepasi sempadan Belanda-Jerman pada jam 11.24 pagi. Melepasi sempadan setiap negara dalam Kesatuan Eropah ini tidak memerlukan pemeriksaan imigresen, bermakna tiadalah harapan untuk mereka yang gemar mengumpul cop imigresen.
Bas terus menyusuri autobahn atau lebuhraya Jerman. Di sini kereta dan motorsikal boleh memecut selaju yang mungkin, tiada had laju. Peraturan ini masih menjadi perbahasan di negara pengeluar Mercedes-Benz ini. Namun bas kami hanya memandu selaju 100 k/m sejam sahaja.
Pukul 12 tengahari kami berhenti untuk makan tengahari di R&R stesen minyak Shell. Makanan telah dimasak oleh krew sejak pagi tadi, sekarang hanya perlu ceduk ke dalam bekas makan polystyrene. Bagi yang ingin memasuki tandas, mereka dikenakan bayaran dan diberi kupon untuk melayakkan mendapat diskaun untuk sebarang pembelian di stesen-stesen sepertinya. Di sini majalah orang miskin yang tidak mampu berpakaian dijual berleluasa.
![]() |
Makan tengahari |
Kami tiba di Frankfurt kira-kira jam 3 petang. Kami diberi peluang untuk bertebaran bergambar di monumen simbol matawang Euro. Matawang ini telah mula digunakan secara rasmi pada 1 Januari 1999 kecuali England sehingga kini. Selesai bergambar bas akan bergerak namun tergendala sebentar kerana menunggu seorang peserta Sarah yang duduk di bahagian depan masih belum muncul tiba. Ketika bas berpusing-pusing di situ kami terdengar satu bunyi yang kuat seolah-olah ada sesuatu yang patah. Oh! Minyak power steering bocor tidak silap aku. Terpaksalah kami menaiki Bas 1.
Sementara menunggu para peserta Bas 1 dihantar pulang ke campsite dan patah semula ke bandar Frankfurt, kami mengambil masa itu dengan bersiar-siar di bandar. Dengar cerita, sekali perjalanan ke campsite mengambil masa 45 minit, bermakna hampir dua jam kami perlu menghabiskan masa di bandar.
![]() |
Biar saja tong sampah di belakang janji masukkan sekali Minah Saleh tu! |
Di kesempatan ini juga kami diberitahu oleh Mak Njang Rokiah bahawa cenderamata kami yang tercicir semalam di Volendam rupanya disimpan oleh salah seorang peserta Bas 1. Ayah kepada Kak Fiana, kalau tak silap aku. Seronok sungguh Lin mendengarnya. Tetapi di dalam hati aku lebih seronok kerana cenderamata itu dibeli menggunakan duit aku..
Setelah bas tiba kami mula bergerak pulang ke campsite. Kami tiba lebih kurang pukul 10 malam, di kesempatan ruang langit yang masih mempunyai sedikit cahaya kami bersegera memasang khemah. Selesai semuanya kami terus mengadap rezeki makan malam, nasi berkuah tomyam. Sedap.
Dalam kesamaran malam Frankfurt itu aku menyedari Sarah yang `hilang' tadi rupanya telah berkhemah berhampiran aku. Sehingga sekarang aku tidak mengetahui susur galur peristiwa tersebut. Hanya tuan empunya diri dan rakan-rakan karibnya Zaimah dan Hosni pasti mengetahui. Selamat malam!
No comments:
Post a Comment