Maha Hebat Dia yang menjadikan pagi di Lauterbrunnen ini sungguh nyaman. Kesegaran udara Alpine ini terasa ke peparu bila menghirup dan menghela nafas di kaki gunung ini. Kedinginan partikel udaranya terasa hingga ke liang-liang rongga nafas.
Selesai bersarapan kami sudah tidak sabar-sabar lagi untuk mendaki Gunung Jungfrau. Ia berada dalam banjaran Alps dan mempunyai ketinggian 3454 meter dari paras laut. Kami harus menaiki tren untuk sampai ke puncaknya dan mujurlah tiket dapat dibeli terus di kem tanpa membelinya di stesen tren.
Alhamdulillah persiapan pakaian musim sejuk sudah tersedia rapi. Berlapis-lapis juga pakaian aku pagi ini. Terima kasih kepada Shaiful kerana meminjamkan aku long john dan winter ear-warmer.
Selesai taklimat ringkas oleh Abu and the gang, kami pun berjalan kaki beramai-ramai ke stesen tren sebelum bergerak menaiki Gunung Jungfrau. Tidak kelihatan dalam rombongan ini ialah adik-adik geng Medik dari Ireland dan geng-geng Kanada. Atau mungkinkah aku yang tidak perasan? Ada suara-suara mengatakan mereka sudah jemu melihat salji. Oh! Patut lah..
Perjalanan dari kem ke stesen lebih kurang satu kilometer jaraknya. Kami melalui pekan kecil, di celah-celah rumah orang dan melintasi sungai kecil untuk tiba di stesen. Rasa girang untuk menjejak ke puncak menenggelamkan rasa penat berjalan.Setiba kami di stesen sekali lagi kami diberi taklimat oleh Abu and the gang. Sementara menunggu ketibaan tren aku sempat menikmati secawan kopi buat pemanas badan walaupun suhu di situ tidaklah sejuk sangat. Sama seperti dingin pagi di Putrajaya.
![]() |
Kopi pemanas suasana |
![]() |
Sah laku tiket selama sebulan |
Subhanallah! Kiri dan kanan kami terhampar pemandangan alam ciptaanNya yang begitu indah. Bunga-bungaan yang melata di sepanjang perjalanan begitu mengasyikkan. Jauh nun pandangan terdampar gunung-ganang yang diliputi salji di puncaknya.
Aku lihat terdapat juga beberapa orang pendaki sedang melalui trek. Kesungguhan mereka mendaki sungguh mengagumkan walaupun pada usia tua! Tidak lama kemudian tren berhenti di stesen Kleine Scheidegg. Di situ kami menukar tren untuk meneruskan pendakian Jungfrau. Kelajuan tren tetap sama. Biar lambat asal selamat.
![]() |
Salji di puncak pergunungan |
Tren kami seterusnya berhenti di perhentian Eigerwand. Perhentian setinggi 9400 kaki ini membolehkan para penumpang untuk turun menikmati pemandangan di situ. Ada juga penumpang yang tidak mahu turun daripada tren. Gerun dengan penurunan suhu yang mendadak barangkali.
Stesennya sungguh lengkap dengan pelbagai kemudahan. Di puncak ini terdapat kedai cenderamata, pejabat pos, pusat internet malah restoran Bollywood. Warga Bollywood memang gemar ke sini gamaknya untuk pengambaran filem dan berguling-guling atas salji.
Berada di dalam stesen berkaca ini kurang terasa sejuknya. Untuk merasai kesejukan salji sebenar kami harus keluar dari stesen ini dan menjejak salji di luar sana. Sebelum keluar kami bersiar-siar di dalam bangunan ini dengan melawat kedai cenderamata dan Ice Palace.
![]() |
Kedai cenderamata |
![]() | ||
Ice Palace |
Kami keluar ke dataran salji melalui Ice Gateway. Maha Suci Dia yang menjadikan salji terhampar luas di puncak serba putih. Sungguh menakjubkan!
Bermulalah acara bermain salji dan bergambar sakan. Sehinggalah kami kesejukan barulah beransur memasuki kembali ke dalam stesen. Keterujaan bermain salji juga menyebabkan Lin sesak nafas. Mujurlah ramai paramedik tidak bertauliah membantu sehingga kondisinya kembali normal.


![]() |
Band of Penguins.. |
![]() |
Sahabat di belakang tu hanya berseluar pendek sahaja |
![]() |
Semput nafas akibat sesak rongga |
Sesudah puas di puncak bersalji kami pun menaiki tren kembali untuk turun ke bawah. Dalam gerabak sempat juga kami berbual dengan sekumpulan remaja dari Singapura yang turut bercuti di sini.
Kami tiba di stesen tren agak lewat petang. Dalam perjalanan pulang ke kem sempat juga kami singgah di kaki sebuah bukit yang tersergam indah dengan air terjunnya.
Setiba kami di kem makanan sudah tersedia dimasak oleh krew yang tidak turut serta menaiki puncak Jungfrau. Hari yang beransur gelap dan sejuk tidak menghalang selera aku untuk terus menyantap hidangan malam.
Sebelum tidur sempat Shaiful membelek-belek kamera aku. Sudah ditakdirkan bila kamera aku berada di tangan jurukamera profesional, kit-lens aku yang sejak hari pertama di London dipercayai rosak kini Alhamdulillah sudah berfungsi baik. Gembira hati bukan kepalang kerana tidak lagi perlu menggunakan lensa 50mm.
Tetapi kembara Eropah sudah tiba di penghujungnya..
No comments:
Post a Comment