Sunday, October 2, 2011

Hari Kesembilan Conquest of Europe : Rome-Pisa

 5 Jun (Ahad) Rome ke Pisa

Pagi ini merupakan hari terakhir kami di kota Rome. Kami akan meneruskan perjalanan ke Pisa untuk melawat menara condong yang terkenal itu. Di kesempatan masa yang terluang sebelum bas bergerak aku sempat bersiar-siar di dalam campsite ini.

Sejak kelmarin di kota Rome lagi aku perhatikan terdapat beberapa kedai buku yang menawarkan tukaran buku secara percuma. Suatu yang agak asing di Malaysia. Budaya ilmu ini agak meluas hinggakan dalam mini-market di kem ini turut diletakkan sebakul buku-buku untuk tukaran.
Peluang untuk menyelitkan bahasa Melayu di kota Rome
Bas mula bergerak pada jam 9.15 pagi. Jarak dari kem ini ke Pisa kira-kira 360 kilometer yang mengambil masa hampir 4 jam. Di pertengahan perjalanan Abu memberitahu kami terdapat sekumpulan wanita yang sambil bersahaja menunggu pelanggan di tepi jalan, menjual tubuh. Maka bermulalah di dalam bas aktiviti mengira wajah-wajah mereka yang disyaki di sebalik semak samun. Riuh rendah suasana di dalam bas jadinya.

Dalam perjalanan ke utara Itali ini, kami berhenti di L'Arca sebuah pusat membeli belah. Ia seakan gedung hipermarket yang banyak terdapat di Malaysia. Di sini krew memberi kami masa kira-kira sejam untuk berehat dan membeli makanan kerana makan tengahari tidak disediakan hari ini. Di samping para krew juga berkesempatan untuk membeli bahan-bahan masakan kerana sudah kekurangan bekalan untuk hari-hari selanjutnya.

Kebanyakan kami membeli roti, kek, buah-buahan dan minuman. Tidak lupa makanan ringan wajib seperti kerepek kentang dan coklat.


Setelah membeli belah kami meneruskan perjalanan. Suasana di dalam bas kembali riuh rendah dengan acara bertukar makanan. Yuyu dan Aini tidak lokek menjamu kami di belakang mereka. Begitu juga Azie dan Ros yang duduk di depan Lina dan Sue. Shaiful dan Diyana bersama geng Ireland dan Kanada di sebelah dan belakang mereka. Kami semua saling menjamah.

Kami tiba di kem Torre Pendente kira-kira jam 4.05 petang. Petang yang masih awal ini membolehkan kami melawat menara condong Pisa yang jaraknya kira-kira hanya 800 meter. Setelah menyimpan beg di dalam kabin kami terus berjalan kaki beramai-ramai menuju ke menara.
Menara condong Pisa ini terletak di dalam kawasan bertembok Piazza del Duomo atau Cathedral Square yang turut tersenarai dalam Tapak Warisan Dunia UNESCO. Dikhabarkan menara ini mula dibina pada tahun 1172 setinggi 58.36 meter. Kecondongannya dicatat sebanyak 3.9 meter dari kedudukan menegak dan mempunyai sebanyak 7 buah loceng.


Petang yang berangin itu sudah mula menjelmakan awan hitam. Kami harus bersiap sedia untuk pulang. Semasa langkah pulang sempat lagi kaki menyinggah di deretan kedai cenderamata. Aku mengambil keputusan untuk berhenti lama di sekumpulan peniaga warga Bangladesh. Kemasyhuran nama Malaysia sudah tidak asing lagi bagi warga Bangladesh ini apabila ada antara mereka yang boleh mengajuk-ajuk berbahasa Melayu.

Selesai sahaja membeli membeli cenderamata hujan mulai turun. Mujurlah Lin membawa baju hujan dan kami mengambil keputusan untuk terus berjalan kaki pulang.
Hujan hanya rintik-rintik

Setiba di kem makanan sudah tersedia dimasak oleh krew. Kedinginan petang itu membolehkan kami berborak panjang sambil menikmati makanan dengan ramuan yang baru dibeli di pasaraya tadi.



No comments:

Post a Comment