Thursday, November 29, 2012

Hari Ketiga di Korea : Pulau Jeju

Hari kedua di Jeju ini merupakan hari terakhir kami di pulau gunung berapi ini. Sesudah bersarapan kami terus check-out dari guesthouse yang kecil tapi menyelesakan ini untuk menjimatkan masa melawat baki tempat-tempat menarik untuk dilawati.

Uncle Koo petah bercerita sepanjang perjalanan kami dalam bahasa Inggeris mudah ala-ala Korea. Beliau membawa kami ke destinasi pertama kawah Sangumburi. Ia merupakan tapak kawah gunung berapi yang selebar kira-kira 650 meter dan mempunyai kedalaman sedalam kira-kira 100 meter. Kawah ini ditumbuhi dengan pelbagai tumbuh-tumbuhan yang hidup subur yang turut menarik perhatian para pengkaji.


Kami meneruskan perjalanan ke Trick Art Museum. Ini adalah muzium yang pertama di Korea yang menampilkan seni ilusi optik. Muzium ini mempunyai tujuh zon tema yang berbeza seperti Parody Zone, Animal Zone, Jurassic Zone, Aquarium Zone, Egypt Zone, Magic Zone dan Illusion Zone. Di sini  memaparkan betapa seni helah berjaya menampilkan lukisan dua dimensi menjadi tiga dimensi dengan mencipta ilusi yang memperdaya.




Menghabiskan masa di muzium trick yang menghiburkan hati kami meneruskan perjalanan dan singgah di Seongeup Folk Village. Ia adalah sebuah perkampungan budaya masyarakat Jeju yang dipelihara turun-temurun. Di sini menempatkan pelbagai warisan budaya yang dikekalkan sehingga sekarang seperti rumah, kuil, patung-patung batu dan sebagainya. Juga terdapat jualan hasil kraftangan, makanan dan minuman tradisi untuk para pengunjung.

Meneruskan perjalanan Uncle Koo membawa kami singgah di sebuah ladang oren yang sungguh segar mata memandang keranuman buah-buahnya. Jeju memang terkenal dengan buah limau Mandarin sehingga ia diraikan dalam Jeju Orang Festival.
Seterusnya Uncle Koo membawa kami ke Seongsan Ilchulbong atau Seongsan Sunrise Peak. Rabung ini terhasil daripada letusan gunung berapi lebih 100,000 tahun lalu. Terdapat kawah besar di atas kemuncak rabung ini yang mempunyai diameter seluas 600 meter. Kawah ini dikelilingi 99 buah batu yang tajam membuatkannya kelihatan seperti sebuah mahkota raksasa. Kami hanya berpeluang menjejak kaki di laluan masuknya sahaja kerana kesuntukan masa untuk mendaki rabung tersebut.
Perut yang mula bergelora di waktu tengahari ini mula meronta minta diisi. Uncle Koo membawa kami menikmati makan tengahari di sebuah restoran berhampiran kemuncak ini. Hari ini kami betul-betul menikmati masakan Korea yang berasaskan ikan, sayur-sayuran dan nasi.

Alhamdulillah setelah kenyang kami meneruskan perjalanan menjelajah Pulau Jeju ini. Uncle Koo memberhentikan kami di Locadio World. Ia merupakan satu kompleks yang menempatkan ruang pameran set lokasi perfileman indoor dan outdoor. Diringkaskan cerita di sini para pengunjung tidak harus melepaskan peluang untuk bergambar dengan menggunakan setiap bahan yang dipamerkan demi merasai set perfileman sebenar. Kompleks ini dibahagikan kepada 5 bahagian ruang pameran yang terdiri dari Ruang Sejarah Drama, Drama Garden of Wind Dengan Istana, Drama Garden of Wind Dengan Kampung, Studio Korea Era-Moden dan Studio Dunia. Kami tidak melepaskan peluang bergambar seolah berada di set pengambaran sebenar lengkap dengan kostum yang disediakan.



Selesai `sesi pengambaran' kami meneruskan perjalanan pulang dan singgah di sebuah kedai untuk membeli cenderamata dan makanan Jeju seperti coklat, biskut dan sebagainya. Dalam perjalanan pulang ke lapangan terbang Uncle Koo membawa kami melalui Jalan Misteri. MPV yang membawa kami terus bergerak walaupun di gear neutral di jalan yang dikatakan agak mendaki. Fakta sebenar yang diberitakan ialah ia hanyalah ilusi optik yang membuatkan kita berada seolah-olah berada di kawasan yang tinggi.

Setiba di lapangan terbang kami bersalaman dan berpisah dengan Uncle Koo yang sungguh berdedikasi dan baik budinnya melayan kami. Kapal terbang kami meninggalkan Jeju pada jam 8.10 malam dengan pelbagai kenangan manis. Azri yang tersedia menunggu di Lapangan Terbang Gimpo terus membawa kami pulang ke kota Seoul dengan menaiki tren.

Setelah tiba di kota Seoul kami menunggu pemilik rumah tumpangan yang bakal kami duduki yang kemudiannya tiba membawa kami pulang ke penginapan kami malam ini. Alhamdulillah ia amat menyelesakan!

Saturday, November 10, 2012

Hari Kedua di Korea : Pulau Jeju

Hari Kedua di Korea

Dari Gimpo ke Pulau Jeju
Awal-awal pagi sesudah Subuh kami sudah menyiapkan diri untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Gimpo. Van yang membawa kami terus menyusuri jalan yang masih belum sibuk ke lapangan terbang yang terletak berhampiran dengan apartment kami. Kami tiba awal di lapangan terbang membuatkan kami mundar-mandir di dalamnya yang mula ramai dengan para pengunjung.

Sementara menunggu pelepasan pada jam 10.50 aku menghabiskan masa dengan melelapkan mata, minum kopi dan melayari internet. Petikan di keyboard yang menghasilkan input bertulisan Korea pada mulanya memang memeningkan aku namun setelah dicuba-cuba aku berjaya juga menukarkannya kepada huruf Roman.
Melayari internet percuma


Dalam kelapangan masa yang ada aku pergi ke kaunter penerbangan Eastar Jet untuk bertanyakan waktu yang sesuai untuk kami check-in. Tidak semena-mena terus gadis kaunter melahirkan wajah terkejutnya menyuruh kami check-in segera. Rupa-rupanya kami tersalah tengok waktu pelepasan di itinerary. Waktu pelepasan sebenarnya jam 9.45 pagi, bukannya jam 10.50 pagi. 10.50 pagi ialah waktu ketibaan di Jeju! Maka kelam-kabutlah kami bergegas untuk check-in..

Alhamdulillah kami selamat tiba di Pulau Jeju setelah penerbangan selama sejam lima minit. Kami disambut oleh Uncle Koo pemandu yang akan membawa kami bersiar-siar di Pulau Jeju ini dengan kenderaan MPV Kia Carnival. Keramahannya berbahasa Inggeris ala-ala kadar membuatkan kami selesa berinteraksi dengannya.

Setelah tiba di penginapan Yeha Guesthouse kami memohon izin untuk meletakkan barang-barang dahulu kerana waktu masih awal untuk check-in sementara kami keluar untuk bersiar-siar dan makan tengahari. Uncle Koo membawa kami ke pekan untuk menunjukkan gambaran awal suasana Cherry Blossom di Jeju. MasyaAllah! Sungguh indah melihat bunga-bunga yang berkembang segar.


Kami meneruskan perjalanan ke Restoran Bagdad untuk mengisi perut makan tengahari. Restoran yang disaran oleh Kak Mas ini menyediakan masakan India yang sudah tentunya menghidangkan nasi. Alhamdulillah hidangan tengahari di situ aku rasakan amat enak bagi perut yang sudah rindukan nasi.


Selesai menjamu hidangan tengahari kami meneruskan perjalanan ke destinasi pertama untuk melawat Osulloc Jeju Tea Garden. Di dalam kompleks ini terdapat beberapa jenis teh yang dipamerkan serta dijual untuk para pengunjung. Ringkasnya di sini menyediakan segala maklumat berkenaan teh seperti teh Hijau, teh Lemon, teh Barli, teh Ginseng, produk berasaskan bijirin dan sebagainya.


Seterusnya Uncle Koo membawa kami ke Jeju Glass Art Castle. Ia merupakan taman tema yang menzahirkan kesenian kaca di dewan utama, taman dan model-model yang kesemuanya dibuat dari kaca. Di sini terdapat bola kaca terbesar di dunia, tasik cermin dan juga jambatan kaca. Dipamerkan juga hasil kerja seni dari artis-artis terkemuka dunia dari Itali, Czech, Jepun dan sebagainya. Para pengunjung juga berpeluang untuk merekabentuk kaca, membuat belon kaca juga botol kaca.

Bilik kaca dilimpahi lampu biru
Uncle Koo terus menyambung perjalanan membawa kami bersiar-siar. Di pertengahan jalan beliau memberhentikan MPV untuk memberi kami peluang bergambar sakan dengan pokok bunga yang berkembang mekar di awal musim bunga ini. Kata Uncle Koo lebih baik kami bergambar di situ yang semestinya percuma daripada memasuki taman-taman bunga berbayar.
Seterusnya kami singgah di Soingook Theme Park. Taman tema seluas 20,000 meter persegi ini mengandungi pelbagai model-model mini yang diinspirasi dari binaan-binaan termasyhur seluruh dunia seperi Menara Eiffel di Perancis, Piramid di Mesir, Taj Mahal di India, Istana Buckhingham di England, Menara Condong Pisa di Itali dan sebagainya. Terasa bangga juga aku apabila replika Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar turut dibina di taman tema ini.

Sydney Opera House

MIB
Kami meneruskan perjalanan ke Air Terjun Cheonjeyeon. Ia bermaksud Kolam Maharaja Langit. Menurut legenda Korea, tujuh orang dewi akan turun dari syurga pada waktu malam untuk bermandi-manda di kolam air terjun ini. Di atas air terjun ini terdapat Jambatan Seonimgyo yang menjadi simbol kepada legenda Cheonjeyeon ini.


Keluarga `sihat' di Jambatan Seonimgyo
Waktu mula menghampiri senja. Kami bergerak pulang melalui satu kawasan tanah tinggi yang dinginnya mula meresapi hingga ke tulang. Puncak tertingginya setinggi 1100 meter dipercayai puncak tertinggi yang dilalui jalan raya di Pulau Jeju ini.



Kami selamat tiba di penginapan dengan perasaan yang teruja dengan keindahan Pulau Jeju di hari pertama ini. Asrama yang ditempah sungguh selesa walau aku berkongsi bilik dengan tiga orang pelancong Korea lain. Asrama ini sungguh kemas walaupun saiznya yang tidak begitu besar. Ia dihiasi dengan pelbagai hasil kerja tangan yang kreatif yang memudahkan aku membuat kesimpulan bahawa orang Korea ini kreatif dan gemar melekat atau menggantung apa saja.

Meletakkan kepercayaan kepada penghuni untuk membayar pada esok pagi



Kesemua rakan-rakan sepengembaraan keluar untuk menikmati malam terakhir Jeju Cherry Blossom Festival yang berlangsung selama tiga malam. Aku membuat keputusan untuk menyelesakan diri dengan merehatkan badan di ruang tamu. Mereka bergambar sakan di pesta yang menghidangkan keindahan pelbagai jenis bunga di musim cherry blossom ini.

Sebelum masuk tidur kami menjamu selera dengan nikmatnya mi segera yang dimasak Adinda Elin dan Kak Mas. Suhu yang dingin dipanaskan dengan teh panas yang ummph dan sesi perbualan ringkas dengan tetamu-tetamu dari Jerman yang turut sama mengisi perut.