Friday, December 23, 2011

Hari Keempat Belas Conquest of Europe : Paris

10 Jun (Jumaat) Paris

Alhamdulillah hari ini merupakan hari terakhir untuk kami bersiar-siar dalam Kelana Convoy ini. Kami akan bersiar-siar di sekitar kota Paris yang terkenal dengan kota cinta ini.

Bas menurunkan kami di tepi jalan. Diberi masa lebih kurang sejam maka bertebaranlah kami menyusuri kedai-kedai berjenama di sepanjang jalan itu. Kami lebih banyak menghabiskan masa untuk bergambar, tidak memasang niat dari Malaysia yang kami akan bershopping di Paris ini. Cuma Shaiful yang membuat surprise membeli beg di LV untuk Diyana. Riuh rendah juga suasana dalam bas dengan surprise Shaiful ini.



Kawasan perayauan kami ini digelar Avenue des Champs-Elyses. Ia adalah satu kawasan avenue yang berprestij di kota Paris ini. Dengan adanya pawagam, kafe-kafe, kedai berjenama mewah dan dirimbuni pokok Horse chestnut, menjadikan avenue ini antara yang terkenal dan hartanah termahal di dunia. 


Sebut sahaja nama-nama seperti Adidas, Benetton, Disney Store, Nike, Zara, Cartier, Toyota, Gap dan Sephora. Semuanya berada di barisan prestij ini. Juga jenama-jenama mewah seperti Louis Vuitton, Hugo Boss, Lancel dan Lacoste.

Kami juga di`terliurkan' oleh Abu dan krew-krew bahawa tidak sah kunjungan ke Paris ini jika tidak merasai keenakan kuih macarron di kedai tersohor Laduree yang sejarahnya bermula pada tahun 1862. Kami sempat membeli beberapa jenis macarron cuma untuk merasa kemanisannya. Memang manis.

Di luar kedai Laduree

Membelek kotak macarron

Kemudian kami dibawa pula ke gedung minyak wangi Fragonard. Kami terpaksa menunggu sebentar di luar kedai sementara mereka menyusun salesperson untuk melayan kehadiran rombongan kami seramai dua bas ini. Taklimat dimulakan dengan sejarah minyak wangi dari kaedah penyediaannya secara klasik sehinggalah secara moden.

Turut dipaparkan peta dunia dengan memaparkan negara-negara beserta hasil-hasil tumbuhan yang menyumbang kepada industri minyak wangi ini. Tidak ketinggalan negara Malaysia yang turut dilakarkan beserta sejenis tumbuhan yang aku lupa spesisnya.


Kami meneruskan kembara dengan mengikuti Abu. Abu memang lincah dan pantas dalam menyusun perjalanan ke tempat-tempat wajib dilawati. Memandangkan kesuntukan masa kami hanya mengambil gambar dari dalam bas monumen tersohor di Paris, Arc de Triomphe.

Arch of Triumph ini dibina pada tahun 1806 atas arahan Napoleon Bonaparte sebagai simbol kejayaannya menewaskan Austria dan Russia dalam Peperangan Austerlitz. Namun beliau tidak sempat menyaksikan simbol kejayaannya ini dibina sepenuhnya setelah beliau menerima hukuman buang daerah.


Arc de Triomphe
Kami mengikuti Abu dengan menaiki subway dan turun di persinggahan pertama untuk kami melawat Notre Dame de Paris yang bermaksud Our Lady of Paris. Walaupun kami kesuntukan masa ditambah pula dengan hujan yang turun namun kami tetap berkesempatan bergambar di hadapan gereja Katholik termasyhur di tengah-tengah kota Paris ini. Pembinaan gereja ini bermula pada tahun 1163 dan setelah melalui beberapa fasa pembinaan dan pemodelan semula ia siap sepenuhnya pada tahun 1345.

Di celah-celah hujan yang rintik ini kami sempat juga untuk membeli cenderamata di kedai-kedai yang disyorkan Abu. Adik-adik Dublin juga kelihatan memborong sakan di kota terakhir kelana kami ini.

Notre Dame de Paris


Seterusnya subway kami berhenti di Palais Royal-Musee de Louvre. Kami akan bergambar di persekitaran Muzium Louvre atau mudahnya disebut The Louvre, salah satu muzium yang terbesar di dunia dan muzium seni yang paling ramai dikunjungi pelawat. Muzium ini mempamerkan hampir 35,000 objek dari zaman prasejarah hingga ke kurun ke-19 dalam keluasannya seluas 60,600 meter persegi.

Muzium yang terkenal dengan lukisan Mona Lisa ini turut dihias dengan senibina moden berbentuk piramid di atasnya yang siap dibina pada tahun 1989.

Di tingkat bawah The Pyramid

The Pyramid
Kami terus mengembara ke destinasi terakhir kami di kota Paris ini, Menara Eiffel. Ikon paling masyhur di negara Perancis ini yang wajib dikunjungi. Menara ini dibina pada tahun 1889 bersempena sambutan seratus tahun Revolusi Perancis yang diberi nama sempena nama juruteranya Gustave Effiel.


Sementara menunggu masa untuk berangkat pulang kami mengambil keputusan untuk menaiki cruise pula. Kali ini hanya aku, Lin dan Lina sahaja menaiki cruise sementara rakan-rakan lain terus menikmati keindahan Menara Eiffel yang terletak bersebelahan dengan Port de La Bourdonnais, jeti pelepasan cruise Bateaux Parisiens kami.

Bot kami menyusuri Sungai Seine yang tebingnya disenarai dalam Tapak Warisan Dunia. Suasana petang itu sungguh nyaman sekali dengan panorama matahari yang bakal menenggelamkan dirinya. Angin bertiup lembut menyapa kami yang duduk di dalam bot di bahagian tidak berbumbung itu. Kami boleh memilih untuk menikmati pelayaran itu dengan mendengar penerangan tempat-tempat yang dilalui melalui alat pendengaran khas pelbagai bahasa, atau menikmatinya dengan bergambar semahu-mahunya.

Bot kami melalui 25 buah jambatan, 14 buah monumen, 4 buah muzium, 2 buah pulau, Gereja Notre-Dame, Menara Eiffel dan Statue of Liberty. Pelayaran selama sejam ini sungguh mengasyikkan dengan pemandangan tempat-tempat bersejarah di Paris ini.





Selesai pelayaran kami kembali berhimpun di tebing Sungai Seine, di kaki Menara Eiffel. Bas-bas kami sudah tersedia menunggu. Kami sempat bersolat di tepi bas bersama adik-adik Dublin, dikhuatiri tidak sempat mengerjakannya di kem nanti. Kami juga sempat membeli ole-ole terakhir berupa rantai kunci dan replika Menara Eiffel dari para penjual dari benua Afrika yang berkeliaran ramai di situ. Puas juga aku sparring berbahasa Arab dengan seorang penjual dari Senegal tidak silap aku. Namun puas diminta diskaun, tidak pula diberinya.

Alhamdulillah selesai segalanya bas mula bergerak pulang. Pengalaman seharian di kota Paris ini memang menyeronokkan kami. Baru aku alami bahawa ketenangan air Sungai Seine di sisi megahnya Menara Eiffel ini menjadi antara penyebab aku percaya Paris ini digelar City of Love.


No comments:

Post a Comment