Sunday, May 26, 2013

Hari Kelima di Korea

Hari ini giliran Azri membawa kami bersiar-siar di kota Seoul. Ya! Hari ini kami akan mengembara di kota tersibuk di Korea ini. Kami berjalan kaki merentasi bangunan-bangunan tersohor seperti Seoul Metropolitan Government (umpama DBKL di Kuala Lumpur), Press Center dan Seoul Finance Center. Sepanjang jalan di laluan pejalan kaki kami dihidangkan dengan pameran terbuka foto-foto pengalaman Korea di zaman perang sehinggalah mengecapi kemajuan seperti hari ini.

 Di bawah tanah yang menempatkan stesen tren sebagai pengangkutan utama kami, turut menempatkan gerai dan kedai-kedai kecil yang menjual pelbagai barang. Sempat juga aku membelek koleksi DVD filem-filem Korea yang dijual berleluasa. Kemudian kami singgah di Haechi Seoul Shop yang menjual cenderamata dari koleksi Haechi. Haechi adalah maskot kota Seoul yang berasal dari mitos seekor binatang seakan anjing dan singa. Ia dikatakan mengawal Seoul dari ancaman kebakaran dan bencana serta melambangkan keadilan, integriti dan masa depan yang gemilang untuk kota Seoul.
Dari kedai cenderamata yang berada di bawah tanah, kami naik ke atas Gwanghwamun Square. Dataran yang baru ditonjolkan sebagai pusat pelancongan yang harus dilawati, ia kaya dengan sumber sejarah dan budaya Korea. Dataran ini menempatkan replika patung Raja Sejong yang menggambarkan raut wajahnya yang berhati mulia serta alatan-alatan inovasi yang dicipta di zamannya seperti jam matahari, tolok hujan dan glob bumi.
Raja Sejong dan alatan-alatan ciptaan di zamannya
Jalan raya di hadapan Gwanghwamun ini dirujuk kepada Yukjo (enam kementerian). Dahulunya jalan ini menempatkan enam kementerian pada zaman Joseon. Namun ia telah dirobohkan di zaman penjajahan Jepun seterusnya menghilangkan simbol yang begitu signifikan pada jalan ini. Sejak pembinaan Dataran Gwanghwamun ini, Jalan Yukjo telah dibina semula dan pelbagai monumen turut dibina untuk dipamerkan menjadikan dataran ini tapak sejarah yang dipulihara.


Kami juga berkesempatan untuk melawat Dewan Pameran Sejarah Raja Sejong. Raja yang dilahirkan pada 15 Mei 1397 ini merupakan seorang pemimpin hebat yang membawa kegemilangan pada Korea dengan kejayaannya dalam politik, budaya, seni dan astronomi. Pameran ini juga boleh diumpamakan sebagai mercu kejayaan idea Raja Sejong dalam menjelmakan demokrasi dan juga maksud sebenar warisan budaya Korea yang paling menyerlah, penerokaan aksara huruf Korea Hangeul.
Azri mengajar Hangeul
Kami keluar dari dewan untuk menuju ke Istana Gyeongbokgung. Menuju ke istana, kami menyusuri Waterways of History atau Terusan Sejarah. Laluan air ini merupakan plat batu yang diukir dengan pelbagai peristiwa sejarah sejak penubuhan Dinasti Joseon. Ia direka 365 meter panjang, 2 sentimeter dalam dan 1 meter lebar.
Waterways of History
Kami tiba di luar Istana Gyeongbokgung yang dipenuhi dengan para pelancong dan bas-bas persiaran. Ia adalah istana pertama yang dibina oleh Dinasti Joseon pada tahun 1395. Istana ini adalah yang terbesar di kalangan Lima Istana Agung dan dijadikan istana utama pada Dinasti Joseon. Kami sempat menyaksikan pertukaran syif para pengawal istana yang seakan patung, tidak bergerak.
Maher Zain melawat Korea?



Awek Korea vs Awek Malaysia
Seterusnya Azri membawa kami ke kawasan yang sibuk dengan orang ramai dan barang jualan. Ya! Menyebabkan ahli rombongan kami turut membeli-belah ala-ala kadar.
Untuk mengisi perut di tengahari yang tidak panas ini, Azri membawa kami ke sebuah restoran yang melalui lorong-lorong dan kedai-kedai kecil. Restoran ini amat selesa untuk kami makan, menunaikan solat dan berehat. Aku sempat melelapkan mata mengumpul tenaga.

Selesai makan tengahari kami membeli sebuah beg beroda yang agak besar untuk memuatkan kesemua beg-beg plastik barang belian. Bagus juga idea membeli beg itu kerana sudah semestinya ia dapat dimanfaatkan untuk dibawa pulang ke Malaysia kelak. Untuk memudahkan perjalanan kami selanjutnya, kami meninggalkan semua beg di dalam almari di sebuah stesen tren. Tidaklah perlu untuk mengusung ke hulu ke hilir.
Pengembaraan kami diteruskan menuju ke terminal cruise Sungai Hangang. Malam yang makin kelam mula mengeluarkan hawa dingin menusuk ke tulang. Sejuknya bukan kepalang sehingga aku terpaksa memakai sarung tangan.

Sementara menunggu waktu berlepas kami sempat menjamu selera mengalas perut di terminal. Malam itu fish fillet menjadi hidangan makan malam kami yang sudah termasuk dalam pakej disediakan Azri. Alhamdulillah! Mudah-mudahan makanan yang masuk ke perut dapat mengurangkan kesejukan yang semakin mengganas.
Di dalam cruise aku lebih selesa berada di dalam kabin tertutup sambil menghirup minuman coklat panas. Mereka yang agak kebal dengan angin sejuk mungkin lebih teruja berada di luar. Kadangkala aku melangkah jua keluar untuk menikmati keindahan malam di Sungai Hangang ini.

Kami sangat teruja dengan keindahan Banpo Bridge Rainbow Fountain tatkala Cruise menyusuri di bawahnya. Ia merupakan jambatan air terjun terpanjang di dunia. Air terjun ini diprogramkan untuk memainkan persembahan yang berbeza di waktu siang dan malam. Malam ini 200 buah lampu akan menerangi air terjun yang menari-nari menurut irama muzik dengan pancutan air berwarna pelangi. Rentaknya memang indah dan mengasyikkan.
Keindahan malam ini bersama Sungai Hangang betul-betul mengasyikkan aku bersama kedinginannya. Sekarang baru aku kenali ungkapan Miracle On The Han River. Satu ungkapan yang dirujuk kepada kepesatan kemajuan ekonomi Korea Selatan pasca perang. Kepesatan yang merangkumi kemajuan perindustrian, pencapaian teknologi, pendidikan, peningkatan taraf hidup, kemodenan, kejayaan penganjuran Sukan Olimpik 1988 dan penganjuran bersama Piala Dunia 2002. Kemajuan ini disertai oleh dasar pendemokrasian dan globalisasi yang merubah negara ini dari kesan kemusnahan akibat Perang Korea kepada sebuah negara kaya dan maju. Siapa yang tidak kenal konglomerat seperti Samsung, LG, Hyundai dan Kia yang berpengaruh mencorak ekonomi global. Mereka lahir di Korea.

Tuesday, March 19, 2013

Hari Keempat di Korea

Pagi ini kami bangun dengan semangat yang membara untuk menjelajah Seoul. Penginapan kami di Stay Korea Hostel ini amat menyelesakan dengan hiasan dalamannya yang ringkas dan bersih. Premis dua tingkat ini menyediakan segala keperluan asasi yang lengkap untuk para pengembara seperti kami.

Kami bersarapan roti dengan jem dan minuman segera yang disediakan oleh para jelitawan yang menyertai rombongan ini sementara menunggu kedatangan Aman sebagai pemandu pelancong kami hari ini. Azri tidak dapat mengiringi kami kerana urusan pembelajarannya di universiti dan tempatnya digantikan oleh Aman rakan seuniversitinya. Aman juga mempunyai page di FB yang mempromosikan cuti-cuti Korea di laman Cuti-cuti Korea (Muslim Style).

Seusai kedatangan Aman kami berjalan kaki ke perhentian bas untuk menunggu bas ke ibukota. Cuaca pagi itu agak dingin menyebabkan setiap gerak langkah kaki tidak terasa keletihannya.
Di hadapan Stay Korea Hostel
Destinasi pertama kami ialah pasar Namdaemun. Pasar ini adalah pasar tradisi yang terbesar di Korea yang menyediakan pelbagai jenis barangan pada harga yang berpatutan. Saya dan Adinda Elin membeli pelbagai cenderahati di kedai yang Aman begitu kamceng dengan pemiliknya. Memang berbaloi.
Kami berjalan di deretan kedai-kedai yang menjual pelbagai jenis barangan seperti pakaian, herba ginseng, makanan tradisi dan sebagainya. Kami singgah di sebuah kedai yang menjual sejenis kuih tradisi Korea. Kukul Tarea adalah sejenis kuih tradisi yang diperbuat dari madu dan menjadi santapan pencuci mulut para raja. Keunikan pembuatan kuih itu serta keramahan para penjualnya cuba berbahasa Melayu membuatkan kami terleka dan terus membeli kuih tersebut. Memang sedap!
Ayat-ayat ngorat para wanita menjadi ayat wajib dilafazkan oleh para penjual kuih
Perut sudah mula berkeroncong meminta isi. Lalu Aman membawa kami menikmati makan tengahari di sebuah kedai yang bahasa di menunya hanya Aman yang tahu.

Perut Melayu yang tetap mahukan nasi
Aman seterusnya membawa kami ke M Plaza. Di situ kami mencari ruang yang sesuai untuk bersolat seterusnya melawat Korea Tourism Centre di tingkat 4. Di sini kami berpeluang mengenakan pakaian tradisional Korea dan bergambar sepuas-puas dengannya.




Seharian berjalan di kota Seoul tidak terasa kepenatannya namun perut tetap minta diisi setiba waktunya. Kami mengikuti Aman ke hulu ke hilir untuk mencari kedai yang sesuai untuk makan malam. Akhirnya kami singgah di sebuah kedai dalam perjalanan pulang ke penginapan. Kedainya cukup ringkas namun santapannya betul-betul mengenyangkan aku. Alhamdulillah!


Thursday, November 29, 2012

Hari Ketiga di Korea

Hari kedua di Jeju ini merupakan hari terakhir kami di pulau gunung berapi ini. Sesudah bersarapan kami terus check-out dari guesthouse yang kecil tapi menyelesakan ini untuk menjimatkan masa melawat baki tempat-tempat menarik untuk dilawati.

Uncle Koo petah bercerita sepanjang perjalanan kami dalam bahasa Inggeris mudah ala-ala Korea. Beliau membawa kami ke destinasi pertama kawah Sangumburi. Ia merupakan tapak kawah gunung berapi yang selebar kira-kira 650 meter dan mempunyai kedalaman sedalam kira-kira 100 meter. Kawah ini ditumbuhi dengan pelbagai tumbuh-tumbuhan yang hidup subur yang turut menarik perhatian para pengkaji.


Kami meneruskan perjalanan ke Trick Art Museum. Ini adalah muzium yang pertama di Korea yang menampilkan seni ilusi optik. Muzium ini mempunyai tujuh zon tema yang berbeza seperti Parody Zone, Animal Zone, Jurassic Zone, Aquarium Zone, Egypt Zone, Magic Zone dan Illusion Zone. Di sini  memaparkan betapa seni helah berjaya menampilkan lukisan dua dimensi menjadi tiga dimensi dengan mencipta ilusi yang memperdaya.




Menghabiskan masa di muzium trick yang menghiburkan hati kami meneruskan perjalanan dan singgah di Seongeup Folk Village. Ia adalah sebuah perkampungan budaya masyarakat Jeju yang dipelihara turun-temurun. Di sini menempatkan pelbagai warisan budaya yang dikekalkan sehingga sekarang seperti rumah, kuil, patung-patung batu dan sebagainya. Juga terdapat jualan hasil kraftangan, makanan dan minuman tradisi untuk para pengunjung.

Meneruskan perjalanan Uncle Koo membawa kami singgah di sebuah ladang oren yang sungguh segar mata memandang keranuman buah-buahnya. Jeju memang terkenal dengan buah limau Mandarin sehingga ia diraikan dalam Jeju Orang Festival.
Seterusnya Uncle Koo membawa kami ke Seongsan Ilchulbong atau Seongsan Sunrise Peak. Rabung ini terhasil daripada letusan gunung berapi lebih 100,000 tahun lalu. Terdapat kawah besar di atas kemuncak rabung ini yang mempunyai diameter seluas 600 meter. Kawah ini dikelilingi 99 buah batu yang tajam membuatkannya kelihatan seperti sebuah mahkota raksasa. Kami hanya berpeluang menjejak kaki di laluan masuknya sahaja kerana kesuntukan masa untuk mendaki rabung tersebut.
Perut yang mula bergelora di waktu tengahari ini mula meronta minta diisi. Uncle Koo membawa kami menikmati makan tengahari di sebuah restoran berhampiran kemuncak ini. Hari ini kami betul-betul menikmati masakan Korea yang berasaskan ikan, sayur-sayuran dan nasi.

Alhamdulillah setelah kenyang kami meneruskan perjalanan menjelajah Pulau Jeju ini. Uncle Koo memberhentikan kami di Locadio World. Ia merupakan satu kompleks yang menempatkan ruang pameran set lokasi perfileman indoor dan outdoor. Diringkaskan cerita di sini para pengunjung tidak harus melepaskan peluang untuk bergambar dengan menggunakan setiap bahan yang dipamerkan demi merasai set perfileman sebenar. Kompleks ini dibahagikan kepada 5 bahagian ruang pameran yang terdiri dari Ruang Sejarah Drama, Drama Garden of Wind Dengan Istana, Drama Garden of Wind Dengan Kampung, Studio Korea Era-Moden dan Studio Dunia. Kami tidak melepaskan peluang bergambar seolah berada di set pengambaran sebenar lengkap dengan kostum yang disediakan.



Selesai `sesi pengambaran' kami meneruskan perjalanan pulang dan singgah di sebuah kedai untuk membeli cenderamata dan makanan Jeju seperti coklat, biskut dan sebagainya. Dalam perjalanan pulang ke lapangan terbang Uncle Koo membawa kami melalui Jalan Misteri. MPV yang membawa kami terus bergerak walaupun di gear neutral di jalan yang dikatakan agak mendaki. Fakta sebenar yang diberitakan ialah ia hanyalah ilusi optik yang membuatkan kita berada seolah-olah berada di kawasan yang tinggi.

Setiba di lapangan terbang kami bersalaman dan berpisah dengan Uncle Koo yang sungguh berdedikasi dan baik budinnya melayan kami. Kapal terbang kami meninggalkan Jeju pada jam 8.10 malam dengan pelbagai kenangan manis. Azri yang tersedia menunggu di Lapangan Terbang Gimpo terus membawa kami pulang ke kota Seoul dengan menaiki tren.

Setelah tiba di kota Seoul kami menunggu pemilik rumah tumpangan yang bakal kami duduki yang kemudiannya tiba membawa kami pulang ke penginapan kami malam ini. Alhamdulillah ia amat menyelesakan!

Saturday, November 10, 2012


Hari Kedua di Korea

Dari Gimpo ke Pulau Jeju
Awal-awal pagi sesudah Subuh kami sudah menyiapkan diri untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Gimpo. Van yang membawa kami terus menyusuri jalan yang masih belum sibuk ke lapangan terbang yang terletak berhampiran dengan apartment kami. Kami tiba awal di lapangan terbang membuatkan kami mundar-mandir di dalamnya yang mula ramai dengan para pengunjung.

Sementara menunggu pelepasan pada jam 10.50 aku menghabiskan masa dengan melelapkan mata, minum kopi dan melayari internet. Petikan di keyboard yang menghasilkan input bertulisan Korea pada mulanya memang memeningkan aku namun setelah dicuba-cuba aku berjaya juga menukarkannya kepada huruf Roman.
Melayari internet percuma


Dalam kelapangan masa yang ada aku pergi ke kaunter penerbangan Eastar Jet untuk bertanyakan waktu yang sesuai untuk kami check-in. Tidak semena-mena terus gadis kaunter melahirkan wajah terkejutnya menyuruh kami check-in segera. Rupa-rupanya kami tersalah tengok waktu pelepasan di itinerary. Waktu pelepasan sebenarnya jam 9.45 pagi, bukannya jam 10.50 pagi. 10.50 pagi ialah waktu ketibaan di Jeju! Maka kelam-kabutlah kami bergegas untuk check-in..

Alhamdulillah kami selamat tiba di Pulau Jeju setelah penerbangan selama sejam lima minit. Kami disambut oleh Uncle Koo pemandu yang akan membawa kami bersiar-siar di Pulau Jeju ini dengan kenderaan MPV Kia Carnival. Keramahannya berbahasa Inggeris ala-ala kadar membuatkan kami selesa berinteraksi dengannya.

Setelah tiba di penginapan Yeha Guesthouse kami memohon izin untuk meletakkan barang-barang dahulu kerana waktu masih awal untuk check-in sementara kami keluar untuk bersiar-siar dan makan tengahari. Uncle Koo membawa kami ke pekan untuk menunjukkan gambaran awal suasana Cherry Blossom di Jeju. MasyaAllah! Sungguh indah melihat bunga-bunga yang berkembang segar.


Kami meneruskan perjalanan ke Restoran Bagdad untuk mengisi perut makan tengahari. Restoran yang disaran oleh Kak Mas ini menyediakan masakan India yang sudah tentunya menghidangkan nasi. Alhamdulillah hidangan tengahari di situ aku rasakan amat enak bagi perut yang sudah rindukan nasi.


Selesai menjamu hidangan tengahari kami meneruskan perjalanan ke destinasi pertama untuk melawat Osulloc Jeju Tea Garden. Di dalam kompleks ini terdapat beberapa jenis teh yang dipamerkan serta dijual untuk para pengunjung. Ringkasnya di sini menyediakan segala maklumat berkenaan teh seperti teh Hijau, teh Lemon, teh Barli, teh Ginseng, produk berasaskan bijirin dan sebagainya.


Seterusnya Uncle Koo membawa kami ke Jeju Glass Art Castle. Ia merupakan taman tema yang menzahirkan kesenian kaca di dewan utama, taman dan model-model yang kesemuanya dibuat dari kaca. Di sini terdapat bola kaca terbesar di dunia, tasik cermin dan juga jambatan kaca. Dipamerkan juga hasil kerja seni dari artis-artis terkemuka dunia dari Itali, Czech, Jepun dan sebagainya. Para pengunjung juga berpeluang untuk merekabentuk kaca, membuat belon kaca juga botol kaca.

Bilik kaca dilimpahi lampu biru
Uncle Koo terus menyambung perjalanan membawa kami bersiar-siar. Di pertengahan jalan beliau memberhentikan MPV untuk memberi kami peluang bergambar sakan dengan pokok bunga yang berkembang mekar di awal musim bunga ini. Kata Uncle Koo lebih baik kami bergambar di situ yang semestinya percuma daripada memasuki taman-taman bunga berbayar.
Seterusnya kami singgah di Soingook Theme Park. Taman tema seluas 20,000 meter persegi ini mengandungi pelbagai model-model mini yang diinspirasi dari binaan-binaan termasyhur seluruh dunia seperi Menara Eiffel di Perancis, Piramid di Mesir, Taj Mahal di India, Istana Buckhingham di England, Menara Condong Pisa di Itali dan sebagainya. Terasa bangga juga aku apabila replika Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar turut dibina di taman tema ini.

Sydney Opera House

MIB
Kami meneruskan perjalanan ke Air Terjun Cheonjeyeon. Ia bermaksud Kolam Maharaja Langit. Menurut legenda Korea, tujuh orang dewi akan turun dari syurga pada waktu malam untuk bermandi-manda di kolam air terjun ini. Di atas air terjun ini terdapat Jambatan Seonimgyo yang menjadi simbol kepada legenda Cheonjeyeon ini.


Keluarga `sihat' di Jambatan Seonimgyo
Waktu mula menghampiri senja. Kami bergerak pulang melalui satu kawasan tanah tinggi yang dinginnya mula meresapi hingga ke tulang. Puncak tertingginya setinggi 1100 meter dipercayai puncak tertinggi yang dilalui jalan raya di Pulau Jeju ini.



Kami selamat tiba di penginapan dengan perasaan yang teruja dengan keindahan Pulau Jeju di hari pertama ini. Asrama yang ditempah sungguh selesa walau aku berkongsi bilik dengan tiga orang pelancong Korea lain. Asrama ini sungguh kemas walaupun saiznya yang tidak begitu besar. Ia dihiasi dengan pelbagai hasil kerja tangan yang kreatif yang memudahkan aku membuat kesimpulan bahawa orang Korea ini kreatif dan gemar melekat atau menggantung apa saja.

Meletakkan kepercayaan kepada penghuni untuk membayar pada esok pagi



Kesemua rakan-rakan sepengembaraan keluar untuk menikmati malam terakhir Jeju Cherry Blossom Festival yang berlangsung selama tiga malam. Aku membuat keputusan untuk menyelesakan diri dengan merehatkan badan di ruang tamu. Mereka bergambar sakan di pesta yang menghidangkan keindahan pelbagai jenis bunga di musim cherry blossom ini.

Sebelum masuk tidur kami menjamu selera dengan nikmatnya mi segera yang dimasak Adinda Elin dan Kak Mas. Suhu yang dingin dipanaskan dengan teh panas yang ummph dan sesi perbualan ringkas dengan tetamu-tetamu dari Jerman yang turut sama mengisi perut.