Saturday, July 23, 2011

Hari Kelima Conquest of Europe : Innsbruck-Venice

1 Jun (Rabu) Innsbruck ke Venice


Hujan malam tadi membuatkan pagi ini sungguh sejuk dan nyaman sekali. Kem ini yang terletak di lembah antara dua gunung melegakan rongga hidung dan paru-paru tatkala menghirup udara segarnya. Sudah semestinya mulut akan berasap bila menutur kata-kata kerana sejuknya suhu di sini pagi ini. Kecerahan pagi ini mendedahkan segala keindahan pada persekitaran kem ini. Mata menjadi celik kerana malam tadi cuaca hujan menenggelamkan keindahan suasana di sini.



Pagi ini kami bersarapan nasi lemak di samping hidangan emergency bagi mereka yang tidak sempat, cornflakes susu. Di waktu sebegini, hot choc memang amat berjasa dalam memanaskan badan dan mengimbangkan kesejukan rongga mulut.

Setelah selesai bersarapan kami segera berkemas dan menyusun beg ke dalam perut bas. Di kesempatan yang terluang ini juga kami mengambil peluang untuk bergambar sampai letih. Kami juga berkesempatan berkenalan lebih erat dengan Abang Jamal dari Bas 1. Kak Mas panggil Ustaz. Abang Jamal dan isterinya memang sporting dalam sesi mengambil gambar aku dan Lin.

Selesai semuanya, bas mula bergerak pada jam 10.05 pagi menuju ke Innsbruck. Kira-kira setengah jam kemudian kami tiba di bandar Innsbruck yang pernah mencatatkan penempatan awal di Zaman Batu lagi. Kami terus menuju ke Old Town yang menempatkan deretan kedai-kedai cenderamata, makan, perhiasan dan sebagainya. Maka beramai-ramailah kami berjalan lenggang kangkung berkaptenkan Abu dan Hairul. Abu sempat berpesan agar tidak harus melepaskan peluang merasa apple strudel yang menjadi kebanggaan masyarakat Austria.


Hiburan untuk pelancong di Old Town

Bila syiling masuk tabung, bertambah serilah senyumannya



Kami sempat membeli cenderamata di deretan kedai yang pelbagai di situ. Abu juga sempat bercerita mengenai Golden Roof yang menjadi salah satu tarikan di sini. Tidak diketahui apakah benar bumbung itu dicipta dari emas. Kemudian Hairul membawa kami ke kedai Swarovski bagi mereka yang mencari segala bentuk perhiasan diri. Murahkah harganya berbanding di Malaysia?
Golden Roof
Aku dan Lin terus bersiar-siar dan singgah di satu kedai untuk melapik perut. Cukup memadai dengan kopi panas dan plum merah yang sungguh sedap. Duduk makan di tengah kawasan orang lalu lalang tidak mematahkan semangat kami untuk terus makan sampai habis. Terasa juga nak membeli lebih kerana enaknya menusuk resepsi.




Semasa berjalan pulang ke bas akhirnya berjaya juga Lin menjumpai kedai menjual apple strudel yang menjadi pujaan hatinya. Setelah membeli kami mengambil kesempatan untuk bergambar di ikon wajib iaitu frame gambar gergasi dan tulisan `Innsbruck' di atas padang. Dalam bersesak-sesak menunggu giliran dalam keriuhan itu akhirnya sempat juga Haniff mengambil gambar kami.

Kami seterusnya bergerak ke Bergisel, satu kawasan tanah tinggi di selatan Innsbruck. Di sana terdapat stadium untuk ski jumping yang pernah digunakan ketika penganjuran Sukan Olimpik Musim Sejuk dahulu.
Peluncur ski harapan

Panorama Innsbruck
Selesai menikmati keindahan panorama Innsbruck dari Bergisel ini, kami terus menjamu selera di tempat parking bas. Kemudian para ahli rombongan mengambil kesempatan waktu yang ada untuk terus solat jamak dan qasar Zohor dan Asar. Alhamdulillah kami meneruskan perjalanan. Abu akan membaca doa setiap kali sebelum memulakan perjalanan mudah-mudahan perjalanan kami selamat dan dirahmati.
Doa tambahan yang lebih kurang bunyinya dibaca oleh Abu

Pukul 4.03 petang kami melewati sempadan Austria-Itali. Akhirnya kami selamat tiba Fusina Campsite pada jam 8.35 malam. Langit masih cerah menghampiri waktu tenggelamnya matahari. Malam ini merupakan malam pertama kami memilih untuk menginap di kabin. Begitulah jua untuk malam-malam seterusnya.


Malam ini spaghetti menjadi santapan makan malam. Bagi aku, ia sudah cukup menyelerakan. Makan beramai-ramai ini sungguh meriah dengan cerita-cerita yang tak sampai penghujungnya. Penghujungnya ialah balik ke kabin dan tidur. Selamat malam!
Rindukah kalian dengan santapan ini?
Para suami membasuh pinggan cawan selepas makan

Monday, July 18, 2011

Hari Keempat Conquest of Europe : Frankfurt-Fussen-Innsbruck

31 Mei (Selasa) Frankfurt ke Fussen ke Innsbruck


Alhamdulillah, pagi di sini sungguh nyaman sekali. Lokasi kem yang bersebelahan tasik menambahkan lagi kedamaian bagi penghuninya. Masa yang terluang ini aku berkesempatan mengecas bateri netbook dan kamera di khemah utama. Khemah utama seakan-akan khemah rewang inilah yang pertama akan didirikan oleh krew sebaik tiba di campsite. Di situlah aktiviti masak-memasak dan beratur mengambil makanan diadakan dengan meriahnya. Juga diletakkan di situ extension sockets yang memang mencukupi untuk kegunaan ahli rombongan mengecas gajet-gajet mereka.


Pandangan dari dalam khemah
Dijadualkan kami akan bergerak dari campsite pada jam 9 pagi. Namun segalanya bergantung kepada bas yang dihantar untuk repair semalam. Sementara menunggu bas tiba aku lihat ahli-ahli rombongan baik dari Bas 1 mahupun Bas 2, semuanya begitu cepat kalau bab-bab mengemas. Padang yang dipenuhi khemah-khemah sekejap saja sudah clear macam padang jarak padang tekukur.
Sir Fauzi bergotong-royong merobohkan khemah

Mari-mari! Car-boot sales baik punya..


Student tua dan muda menunggu kemunculan duyung

Bas belum datang posing dululah!

Bas dan penumpang perlu diservis..
Kami mula bertolak meninggalkan campsite pada jam 10.30 pagi. Perjalanan menuju ke Fussen dianggarkan selama 4 jam. Tidur pun enak ni.. Sesedar aku bas sudah mahu berhenti di stesen R&R. Jam menunjukkan pukul 1.50 petang menandakan waktu yang sesuai untuk menyantap. Ramai-ramai begini seronok makan bertebaran sambil berbual-bual berkenalan lebih rapat. Sempat juga aku berkenalan dengan cikgu Zainal sekeluarga termasuklah anaknya Ramizah. Cikgu Zainal adalah bekas pengetua rakan aku Ustaz Sharizal semasa sekolah di Labuan dahulu. Aku juga sempat berbual-bual dengan bonda kepada Husni yang sekeluarga mereka datang dari Pahang. Adik beradik Husni berjaya belaka, seronok mendengar ceritanya.

Tengok saja belinya tidak

Kedai kopi yang bersepah di mana-mana

Snek pengejap perut di dalam bas
Selesai segalanya kami meneruskan perjalanan menuju ke Fussen. Perjalanan melalui kaki pergunungan sememangnya sangat lawa. Kami juga menyusuri pekan-pekan yang sungguh nyaman dan permai. 






Benda apakah ini?
Kami tiba di Fussen pada jam 4.20 petang. Pemandangan di kaki-kaki gunung sunguh cantik diiringi hujan yang turun rintik-rintik melembapkan suasana. Di sini kami akan mendaki gunung untuk melawat istana Neuschwanstein. Istana yang dibina bermula tahun 1869 ini diarahkan oleh Raja Ludwig II telah menjadi inspirasi pembinaan Istana Sleeping Beauty Disneyland. Kami bersesak-sesak menaiki bas ke puncak. Untuk ke puncak, para pengunjung boleh berjalan kaki, menaiki kuda atau bas.

Para penunggu istana

Sejuk terketar



Pelajar sekelas dengan Harry Porter
Untuk melihat istana dengan jelas pengunjung perlu menaiki sebuah jambatan gantung. Jambatan yang merintangi sebatang sungai itu menjadi port untuk berposing gambar membelakangi istana. Selesai bergambar kami menuju ke persekitaran istana. Hujan yang turun sedikit membantut pergerakan kami, namun ia tidak menghalang kami menikmati suasana di situ. Aku sempat menikmati secawan coklat panas dan sepotong kek. Menariknya cawan yang dicetak dengan gambar istana itu boleh terus dibawa pulang sebagai cenderahati setelah selesai minum.

Selesainya semuanya kami kembali turun menaiki bas. Perjalanan kami diteruskan menuju Innsbruck.  Pemandangan di sepanjang perjalanan ke Innsbruck sungguh mengagumkan. Deretan bukit bukau yang menghijau dan rumah-rumah yang dibina di kaki bukit sungguh mempesonakan. Masih menjadi tanda tanya pada aku ialah binaan kecil yang banyak terbina di persekitaran bukit-bukau itu. Apakah ia rumah, bangsal atau kandang lembu atau kuda?


Pemandangan yang damai

Di samping bukit-bukau terdapat banyak sungai dan tasik kelihatan sana sini. Subhanallah sungguh lawa ciptaanNya. Ada juga tasik yang hijau airnya.

Hijau airnya



Kami memasuki Austria dan melalui pekan-pekan kecil dalamnya. Pekan-pekannya sungguh tenang. Tertanya-tanya juga aku ke mana hilangnya penduduk-penduduk di situ. Deretan kereta memenuhi ruang di segenap pekan dan rumah tetapi orangnya tiada. Begitu juga dengan rumah-rumahnya yang pintu dan tingkapnya terbuka, tetapi kelibat penghuninya tiada. Musykil juga aku. Aini sempat mengira orang-orang di situ yang kelihatan bilangannya tidak sampai 8 orang. Twilight Zone kah?

Kami tiba di Oberland Camping Centre, Haiming Austria kira-kira jam 8.30 malam. Sepanjang perjalanan tadi awan mula gelap mengandung air. Setiba kami di kem hujan mula turun. Berlumba-lumba kami memasang khemah dalam hujan. Acara yang sungguh mencabar menyebabkan khemah aku agak senget. Mujurlah Shaiful datang membantu menegakkan semula.

Selesai makan teringin pula aku hendak mencuci pakaian di dobi. Rupanya sudah ramai beratur panjang. Di situ meriah dengan fatwa masing-masing cara menggunakan mesin-mesin basuh. Memandangkan kami semua orang Malaysia dan mesin basuh pula berbahasa Jerman, maka kami membasuhnya ikut cara Malaysia.. Selesai sidai pakaian, aku kembali ke khemah. Bagi aku pengalaman tidur dalam khemah ketika hujan ini amat menarik. Alhamdulillah sleeping bag menyenyakkan aku.

Saturday, July 9, 2011

Hari Ketiga Conquest of Europe : Amsterdam-Frankfurt

30 Mei (Isnin) Amsterdam ke Frankfurt
Selesai sarapan kami bersiap-siap, mengemas beg baju dan menggulung khemah. Proses dismantle khemah ini membuatkan aku terkial-kial juga sehingga Cikgu Ghani pun datang membantu. Shaiful yang lewat mengemas pun siap lebih awal dari aku. Oohh.. rupanya Shaiful ni dah memang selalu berkhemah so tiada masalah bagi mereka.
Dalam terkial-kial pun lima minit sudah siap!

Ahli-ahli rombongan turut bergotong-royong mengemas tapak khemah. Peserta perempuan mengemas di khemah masak, manakala lelaki ramai yang membantu mengangkat beg-beg untuk dimuatkan dalam perut bas. Krew Fizi adalah mastermind dalam selok-belok menyusun beg. Inilah kualiti yang aku puji dalam konvoi ini, saling bantu membantu. Apa yang penting kerjasama.

Pukul 9 pagi kami bertolak menuju Frankfurt. Menurut perancangan perjalanan akan mengambil masa kira-kira 6 jam selepas berhenti makan tengahari, kami akan tiba di Frankfurt. Hari ini Abu cuba menyambung kembali sesi ta'aruf yang tergendala tetapi dibantah oleh ahli rombongan kerana kami semua sudah mengenali satu sama lain, dakwa kami mengelak.

Kami melepasi sempadan Belanda-Jerman pada jam 11.24 pagi. Melepasi sempadan setiap negara dalam Kesatuan Eropah ini tidak memerlukan pemeriksaan imigresen, bermakna tiadalah harapan untuk mereka yang gemar mengumpul cop imigresen.

Bas terus menyusuri autobahn atau lebuhraya Jerman. Di sini kereta dan motorsikal boleh memecut selaju yang mungkin, tiada had laju. Peraturan ini masih menjadi perbahasan di negara pengeluar Mercedes-Benz ini. Namun bas kami hanya memandu selaju 100 k/m sejam sahaja.

Pukul 12 tengahari kami berhenti untuk makan tengahari di R&R stesen minyak Shell. Makanan telah dimasak oleh krew sejak pagi tadi, sekarang hanya perlu ceduk ke dalam bekas makan polystyrene. Bagi yang ingin memasuki tandas, mereka dikenakan bayaran dan diberi kupon untuk melayakkan mendapat diskaun untuk sebarang pembelian di stesen-stesen sepertinya. Di sini majalah orang miskin yang tidak mampu berpakaian dijual berleluasa.
Makan tengahari
Untuk mengisi kelapangan, krew KC memasang beberapa filem untuk ditonton. Salah satu yang aku ingat ialah filem Unstoppable lakonan Denzel Washington. Sepanjang perjalanan di sini, asalkan terdapat dinding, tembok atau tiang pasti `dihiasi' dengan graffiti. Aku masih kabur mengenai status graffiti ini, sama ada ia satu contengan atau lukisan.

Kami tiba di Frankfurt kira-kira jam 3 petang. Kami diberi peluang untuk bertebaran bergambar di monumen simbol matawang Euro. Matawang ini telah mula digunakan secara rasmi pada 1 Januari 1999 kecuali England sehingga kini. Selesai bergambar bas akan bergerak namun tergendala sebentar kerana menunggu seorang peserta Sarah yang duduk di bahagian depan masih belum muncul tiba. Ketika bas berpusing-pusing di situ kami terdengar satu bunyi yang kuat seolah-olah ada sesuatu yang patah. Oh! Minyak power steering bocor tidak silap aku. Terpaksalah kami menaiki Bas 1.

Sementara menunggu para peserta Bas 1 dihantar pulang ke campsite dan patah semula ke bandar Frankfurt, kami mengambil masa itu dengan bersiar-siar di bandar. Dengar cerita, sekali perjalanan ke campsite mengambil masa 45 minit, bermakna hampir dua jam kami perlu menghabiskan masa di bandar.
Biar saja tong sampah di belakang janji masukkan sekali Minah Saleh tu!
Kami banyak menghabiskan masa di Fountain of Justice di dataran Romerberg. Lepak-lepak di situ sambil menunggu masa untuk berjalan bergerak ke tempat perhimpunan, menunggu bas. Dari saat ini sehinggalah bas tiba, masa terluang itu digunakan sepenuhnya untuk bersilaturrahim sesama ahli rombongan. Kami mula mengenali rapat geng-geng Dublin. Adik-adik bakal doktor ini Sufia, Ida, Adilah, Syakirah & Farah sungguh lincah dan bertenaga sekali.Terima kasih juga pada Anis, Siva & Vino yang selalu jadi mangsa Lin untuk mengambil gambar kami. Nasib yang penuh berhikmah menimpa rombongan Bas 2 ini dikongsi dengan penuh rasa di kalangan kami ahlinya. Di kesempatan ini kemesraan antara kami semakin erat. Apa khabar Pak Njang, Mak Njang & Syairah?


Di kesempatan ini juga kami diberitahu oleh Mak Njang Rokiah bahawa cenderamata kami yang tercicir semalam di Volendam rupanya disimpan oleh salah seorang peserta Bas 1. Ayah kepada Kak Fiana, kalau tak silap aku. Seronok sungguh Lin mendengarnya. Tetapi di dalam hati aku lebih seronok kerana cenderamata itu dibeli menggunakan duit aku..

Setelah bas tiba kami mula bergerak pulang ke campsite. Kami tiba lebih kurang pukul 10 malam, di kesempatan ruang langit yang masih mempunyai sedikit cahaya kami bersegera memasang khemah. Selesai semuanya kami terus mengadap rezeki makan malam, nasi berkuah tomyam. Sedap.

Dalam kesamaran malam Frankfurt itu aku menyedari Sarah yang `hilang' tadi rupanya telah berkhemah berhampiran aku. Sehingga sekarang aku tidak mengetahui susur galur peristiwa tersebut. Hanya tuan empunya diri dan rakan-rakan karibnya Zaimah dan Hosni pasti mengetahui. Selamat malam!

Saturday, July 2, 2011

Hari Kedua Conquest of Europe : Amsterdam

29 Mei (Ahad) Amsterdam dan Volendam

Campsite - Volendam - Amsterdam
Alhamdulillah pagi di tapak kem ini sungguh nyaman. Walau tidur dalam khemah, tidurnya berkualiti sekali. Selesai solat kami lepak-lepak sambil bermain-main dengan netbook. Antara permainannya ialah melayari internet dan memindah gambar dari kamera ke external disc. Masa yang terluang begitu lama kerana jam 5.28 sudah syuruk atau terbit matahari sedangkan krew KC memaklumkan jam 9.00 baru kami akan bergerak menjelajah Amsterdam.

Setelah sarapan pagi dengan bijirin, susu dan hot choc kami mula bertolak ke destinasi pertama Volendam. Sepanjang perjalanan kami dihidangkan dengan bangunan-bangunan moden dan juga lapangan rumput yang mengenyangkan lembu-lembu yang bertuan ataupun tidak.
Lapangan rumput yang tidak berpagar
Kami singgah sebentar di sebuah kilang yang membuat keju dan kasut. Bukan kasut kulit tapi terompah kayu yang menjadi kebanggaan Belanda ini. Sebaik disambut dan masuk di muka pintu kami dipertontonkan dengan demo membuat keju. Keadaan yang begitu sesak menyebabkan aku terus ke belakang. Melihat koleksi terompah kayu yang bermacam bentuk dan saiz. Terfikir juga untuk membelinya, tetapi memikirkan ini baru hentian yang pertama, aku perlu menghabiskan 15 hari lagi, saiznya yang panjang dan berat maka aku batalkan sahaja niat itu.

Kemudian kami dijemput pula untuk melihat demo membuat terompah kayu. Lelaki yang membuat demo itu sungguh pantas, cekap dan mahir berkomunikasi dengan kami. Ala-ala pelawak pun ada. Dengan pantas dia berjaya menghasilkan sebuah terompah dari seketul kayu sebesar blender.
Cekap dan pantas
Akhirnya memilih terompah untuk orang-orang kenit sahaja
Manis. Dalam keletihan dia masih mempu tersenyum
Selesai membeli sedikit cenderahati sementara menunggu bas bergerak kami sempat bergambar sakan di dalam lapangan rumput di sebelah kilang tersebut. Mujur tiada lembu di situ. Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Volendam.

Setiba di sana, tempat pertama persinggahan kami ialah ikon tersohor negara Belanda, kincir angin. Kincir angin masih digunakan sehingga kini setelah disesuaikan dengan teknologi terkini yang berfungsi untuk kegunaan bidang pertanian dan industri.

Volendam adalah sebuah bandar di tepi laut. Kami dibawa ke satu kawasan deretan kedai-kedai tarikan pelancong. Penuh dengan kedai cenderamata dan kedai makan. Makan tengahari kami hanya sotong goreng yang dibeli di kedai makanan seafood. Sempat jugalah merasa waffle yang dibeli Lina, Sue, Aini dan Yuyu. Menurut nasihat Abu, di sini berbaloi untuk membeli cenderamata. Adalah sedikit aku membeli untuk kenang-kenangan. Kami berenam juga sempat merakam gambar dengan memakai costume tradisi masyarakat Belanda.
Keluarga bahagia

Dalam perjalanan pulang ke bas, tiba-tiba kami teringat sebungkus plastik cenderamata yang dibeli tidak bersama kami ketika itu. Segera aku berpatah balik sambil cuba mengingati di mana tercicirnya bungkusan itu. Puas mencari akhirnya tidak jua aku temu. Tiada rezeki.

Lokasi terakhir bungkusan hadiah dikesan atas meja
Kami meneruskan perjalanan ke bandaraya Amsterdam. Kira-kira setengah jam kami tiba di bandaraya yang terkenal dengan basikal sebagai medium pengangkutannya. Sehinggakan lampu isyarat pun direka khusus untuk penunggang basikal. Di sana sini penduduknya menaiki basikal. Daripada yang berupa pengemis sehinggalah yang berkot dan bertali leher. Terfikir juga aku alangkah baiknya kalau amalan sebegini dilaksanakan di Kuala Lumpur. Ah! Terlupa aku keadaan cuaca dan suhu yang berlainan dengan Amsterdam ini, silap-silap tiba di pejabat dengan lencun bermandi peluh.

Di tengah lambakan basikal, tren pun mempunyai landasan tersendiri di tengah jalan raya
Lampu isyarat untuk basikal
Kemudian kami dibawa menaiki Sightseeing Canal Cruise. Acara persiaran menaiki bot melalui terusan yang begitu banyak di bandar ini. Sejam di dalam bot kami dipersembahkan dengan pelbagai bentuk monumen dan menara yang bersejarah. Kelihatan rumah-rumah pedagang yang elegan kewujudannya dari Zaman Keemasan, bumbung-bumbung bangunan yang unik, juga tidak ketinggalan Magere Brug (Skinny Bridge) yang masyhur.
Magere Brug




Seterusnya kami dibawa pula ke Museumplein Square. Antara tarikan di situ ialah megahnya tersusun abjad-abjad I Amsterdam yang tingginya hampir 2 meter. Berebut-rebut para pelancong bergambar di situ. Krew KC memberitahu ahli rombongan yang teringin ke Hard Rock Cafe boleh berjalan kaki ke situ lantas aku teringat t-shirt yang dipesan oleh Hazwan. Lina dan Sue pun terus memesan sekali. Lantas aku berpakat dengan Shaiful untuk bergegas ke sana. Khairil, bapa si Khayla yang comey lotey pun teringin nak join juga, tetapi dia terpaksa berhenti dan patah balik di pertengahan jalan kerana khuatir kesuntukan masa. Akhirnya tinggal aku dan Shaiful yang berlari-lari bapak menuju ke kafe. Agak tercungap juga bila kami tiba di dalam kedai t-shirt itu. Tersempak pula Sadid and the gang sedang memilih bermacam design di situ.
Selesai membeli t-shirt untuk orang kami kembali ke bas dan bergerak pulang ke campsite. Pulang dengan senang hati kerana berjaya bergambar sakan walaupun sedikit ghalat kerana keciciran sebungkus souvenir.