Saturday, July 2, 2011

Hari Kedua Conquest of Europe : Amsterdam

29 Mei (Ahad) Amsterdam dan Volendam

Campsite - Volendam - Amsterdam
Alhamdulillah pagi di tapak kem ini sungguh nyaman. Walau tidur dalam khemah, tidurnya berkualiti sekali. Selesai solat kami lepak-lepak sambil bermain-main dengan netbook. Antara permainannya ialah melayari internet dan memindah gambar dari kamera ke external disc. Masa yang terluang begitu lama kerana jam 5.28 sudah syuruk atau terbit matahari sedangkan krew KC memaklumkan jam 9.00 baru kami akan bergerak menjelajah Amsterdam.

Setelah sarapan pagi dengan bijirin, susu dan hot choc kami mula bertolak ke destinasi pertama Volendam. Sepanjang perjalanan kami dihidangkan dengan bangunan-bangunan moden dan juga lapangan rumput yang mengenyangkan lembu-lembu yang bertuan ataupun tidak.
Lapangan rumput yang tidak berpagar
Kami singgah sebentar di sebuah kilang yang membuat keju dan kasut. Bukan kasut kulit tapi terompah kayu yang menjadi kebanggaan Belanda ini. Sebaik disambut dan masuk di muka pintu kami dipertontonkan dengan demo membuat keju. Keadaan yang begitu sesak menyebabkan aku terus ke belakang. Melihat koleksi terompah kayu yang bermacam bentuk dan saiz. Terfikir juga untuk membelinya, tetapi memikirkan ini baru hentian yang pertama, aku perlu menghabiskan 15 hari lagi, saiznya yang panjang dan berat maka aku batalkan sahaja niat itu.

Kemudian kami dijemput pula untuk melihat demo membuat terompah kayu. Lelaki yang membuat demo itu sungguh pantas, cekap dan mahir berkomunikasi dengan kami. Ala-ala pelawak pun ada. Dengan pantas dia berjaya menghasilkan sebuah terompah dari seketul kayu sebesar blender.
Cekap dan pantas
Akhirnya memilih terompah untuk orang-orang kenit sahaja
Manis. Dalam keletihan dia masih mempu tersenyum
Selesai membeli sedikit cenderahati sementara menunggu bas bergerak kami sempat bergambar sakan di dalam lapangan rumput di sebelah kilang tersebut. Mujur tiada lembu di situ. Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Volendam.

Setiba di sana, tempat pertama persinggahan kami ialah ikon tersohor negara Belanda, kincir angin. Kincir angin masih digunakan sehingga kini setelah disesuaikan dengan teknologi terkini yang berfungsi untuk kegunaan bidang pertanian dan industri.

Volendam adalah sebuah bandar di tepi laut. Kami dibawa ke satu kawasan deretan kedai-kedai tarikan pelancong. Penuh dengan kedai cenderamata dan kedai makan. Makan tengahari kami hanya sotong goreng yang dibeli di kedai makanan seafood. Sempat jugalah merasa waffle yang dibeli Lina, Sue, Aini dan Yuyu. Menurut nasihat Abu, di sini berbaloi untuk membeli cenderamata. Adalah sedikit aku membeli untuk kenang-kenangan. Kami berenam juga sempat merakam gambar dengan memakai costume tradisi masyarakat Belanda.
Keluarga bahagia

Dalam perjalanan pulang ke bas, tiba-tiba kami teringat sebungkus plastik cenderamata yang dibeli tidak bersama kami ketika itu. Segera aku berpatah balik sambil cuba mengingati di mana tercicirnya bungkusan itu. Puas mencari akhirnya tidak jua aku temu. Tiada rezeki.

Lokasi terakhir bungkusan hadiah dikesan atas meja
Kami meneruskan perjalanan ke bandaraya Amsterdam. Kira-kira setengah jam kami tiba di bandaraya yang terkenal dengan basikal sebagai medium pengangkutannya. Sehinggakan lampu isyarat pun direka khusus untuk penunggang basikal. Di sana sini penduduknya menaiki basikal. Daripada yang berupa pengemis sehinggalah yang berkot dan bertali leher. Terfikir juga aku alangkah baiknya kalau amalan sebegini dilaksanakan di Kuala Lumpur. Ah! Terlupa aku keadaan cuaca dan suhu yang berlainan dengan Amsterdam ini, silap-silap tiba di pejabat dengan lencun bermandi peluh.

Di tengah lambakan basikal, tren pun mempunyai landasan tersendiri di tengah jalan raya
Lampu isyarat untuk basikal
Kemudian kami dibawa menaiki Sightseeing Canal Cruise. Acara persiaran menaiki bot melalui terusan yang begitu banyak di bandar ini. Sejam di dalam bot kami dipersembahkan dengan pelbagai bentuk monumen dan menara yang bersejarah. Kelihatan rumah-rumah pedagang yang elegan kewujudannya dari Zaman Keemasan, bumbung-bumbung bangunan yang unik, juga tidak ketinggalan Magere Brug (Skinny Bridge) yang masyhur.
Magere Brug




Seterusnya kami dibawa pula ke Museumplein Square. Antara tarikan di situ ialah megahnya tersusun abjad-abjad I Amsterdam yang tingginya hampir 2 meter. Berebut-rebut para pelancong bergambar di situ. Krew KC memberitahu ahli rombongan yang teringin ke Hard Rock Cafe boleh berjalan kaki ke situ lantas aku teringat t-shirt yang dipesan oleh Hazwan. Lina dan Sue pun terus memesan sekali. Lantas aku berpakat dengan Shaiful untuk bergegas ke sana. Khairil, bapa si Khayla yang comey lotey pun teringin nak join juga, tetapi dia terpaksa berhenti dan patah balik di pertengahan jalan kerana khuatir kesuntukan masa. Akhirnya tinggal aku dan Shaiful yang berlari-lari bapak menuju ke kafe. Agak tercungap juga bila kami tiba di dalam kedai t-shirt itu. Tersempak pula Sadid and the gang sedang memilih bermacam design di situ.
Selesai membeli t-shirt untuk orang kami kembali ke bas dan bergerak pulang ke campsite. Pulang dengan senang hati kerana berjaya bergambar sakan walaupun sedikit ghalat kerana keciciran sebungkus souvenir.

No comments:

Post a Comment