1 Jun (Rabu) Innsbruck ke Venice
Hujan malam tadi membuatkan pagi ini sungguh sejuk dan nyaman sekali. Kem ini yang terletak di lembah antara dua gunung melegakan rongga hidung dan paru-paru tatkala menghirup udara segarnya. Sudah semestinya mulut akan berasap bila menutur kata-kata kerana sejuknya suhu di sini pagi ini. Kecerahan pagi ini mendedahkan segala keindahan pada persekitaran kem ini. Mata menjadi celik kerana malam tadi cuaca hujan menenggelamkan keindahan suasana di sini.
Pagi ini kami bersarapan nasi lemak di samping hidangan
emergency bagi mereka yang tidak sempat,
cornflakes susu. Di waktu sebegini,
hot choc memang amat berjasa dalam memanaskan badan dan mengimbangkan kesejukan rongga mulut.
Setelah selesai bersarapan kami segera berkemas dan menyusun beg ke dalam perut bas. Di kesempatan yang terluang ini juga kami mengambil peluang untuk bergambar sampai letih. Kami juga berkesempatan berkenalan lebih erat dengan Abang Jamal dari Bas 1. Kak Mas panggil Ustaz. Abang Jamal dan isterinya memang
sporting dalam sesi mengambil gambar aku dan Lin.
Selesai semuanya, bas mula bergerak pada jam 10.05 pagi menuju ke Innsbruck. Kira-kira setengah jam kemudian kami tiba di bandar
Innsbruck yang pernah mencatatkan penempatan awal di Zaman Batu lagi. Kami terus menuju ke Old Town yang menempatkan deretan kedai-kedai cenderamata, makan, perhiasan dan sebagainya. Maka beramai-ramailah kami berjalan lenggang kangkung berkaptenkan Abu dan Hairul. Abu sempat berpesan agar tidak harus melepaskan peluang merasa
apple strudel yang menjadi kebanggaan masyarakat Austria.
 |
Hiburan untuk pelancong di Old Town |
 |
Bila syiling masuk tabung, bertambah serilah senyumannya |
Kami sempat membeli cenderamata di deretan kedai yang pelbagai di situ. Abu juga sempat bercerita mengenai
Golden Roof yang menjadi salah satu tarikan di sini. Tidak diketahui apakah benar bumbung itu dicipta dari emas. Kemudian Hairul membawa kami ke kedai Swarovski bagi mereka yang mencari segala bentuk perhiasan diri. Murahkah harganya berbanding di Malaysia?
 |
Golden Roof |
Aku dan Lin terus bersiar-siar dan singgah di satu kedai untuk melapik perut. Cukup memadai dengan kopi panas dan
plum merah yang sungguh sedap. Duduk makan di tengah kawasan orang lalu lalang tidak mematahkan semangat kami untuk terus makan sampai habis. Terasa juga nak membeli lebih kerana enaknya menusuk resepsi.
Semasa berjalan pulang ke bas akhirnya berjaya juga Lin menjumpai kedai menjual
apple strudel yang menjadi pujaan hatinya. Setelah membeli kami mengambil kesempatan untuk bergambar di ikon wajib iaitu
frame gambar gergasi dan tulisan `Innsbruck' di atas padang. Dalam bersesak-sesak menunggu giliran dalam keriuhan itu akhirnya sempat juga Haniff mengambil gambar kami.
Kami seterusnya bergerak ke Bergisel, satu kawasan tanah tinggi di selatan Innsbruck. Di sana terdapat stadium untuk
ski jumping yang pernah digunakan ketika penganjuran Sukan Olimpik Musim Sejuk dahulu.
 |
Peluncur ski harapan |
 |
Panorama Innsbruck |
Selesai menikmati keindahan panorama Innsbruck dari Bergisel ini, kami terus menjamu selera di tempat
parking bas. Kemudian para ahli rombongan mengambil kesempatan waktu yang ada untuk terus solat
jamak dan
qasar Zohor dan Asar. Alhamdulillah kami meneruskan perjalanan. Abu akan membaca doa setiap kali sebelum memulakan perjalanan mudah-mudahan perjalanan kami selamat dan dirahmati.
 |
Doa tambahan yang lebih kurang bunyinya dibaca oleh Abu |
Pukul 4.03 petang kami melewati sempadan Austria-Itali. Akhirnya kami selamat tiba
Fusina Campsite pada jam 8.35 malam. Langit masih cerah menghampiri waktu tenggelamnya matahari. Malam ini merupakan malam pertama kami memilih untuk menginap di kabin. Begitulah jua untuk malam-malam seterusnya.
Malam ini
spaghetti menjadi santapan makan malam. Bagi aku, ia sudah cukup menyelerakan. Makan beramai-ramai ini sungguh meriah dengan cerita-cerita yang tak sampai penghujungnya. Penghujungnya ialah balik ke kabin dan tidur. Selamat malam!
 |
Rindukah kalian dengan santapan ini? |
 |
Para suami membasuh pinggan cawan selepas makan |
No comments:
Post a Comment