Sunday, June 22, 2014

Hari Ketujuh di Korea: Seoul

Hari terakhir di Korea ini harus dimanfaatkan sebaiknya sebelum kami pulang ke tanahair. Hari ini kami ditemani oleh Nina pelajar Malaysia yang turut belajar bersama-sama Azri dan Aman. Kami memulakan hari ini dengan kembali ke Nandaemun untuk sesi terakhir membeli belah, top-up apa yang terkurang semasa kunjungan pertama tempoh hari.

Aku memulakan hari dengan kebab mengisi perut sebagai sarapan pagi yang semakin menghampiri tengahari. Kebab yang dijual peniaga dari Turki ini tidak putus dari kunjungan pelanggan. Hari ini memberi input terbaru mengenai kemasyhuran Kebab, bahawa ia turut digemari oleh warga Korea!




Kami turut membuat kunjungan ulangan di kedai kuih tradisional Korea, tukul tarea. Membeli bekalan untuk dibawa pulang ke Malaysia dengan harapan keenakan kuih ini patut dikongsi rasa oleh saudara mara di tanahair.




Cik Nina kemudian membawa kami ke sebuah pasar yang menjual pakaian dan kain. Destinasi yang tidak harus kami lepaskan untuk membeli-belah kain yang menjadi bualan warga Malaysia. Memang berbaloi membeli-belah kain yang berkualiti di sini dengan harga yang berpatutan.



Bila kedai mempamerkan perkataan `baju kurung' atau `baju kebaya', kedai ini wajib dikunjungi
Untuk mengisi perut yang mula meminta-minta di tengahari ini, Cik Nina membawa kami ke sebuah gerai yang sederhana besarnya tetapi kemas dan bersih. Seperti biasa kimchi menjadi hidangan wajib di samping ikan bakar yang menyelerakan.

Malamnya kami pulang ke hostel untuk mengemaskan barang-barang yang baru `beranak' hari ini. Malam terakhir di Korea ini dimanfaatkan kami sebaiknya untuk mendengar pula cerita Cik Nina yang baru bersama kami di hari terakhir sebelum pulang pagi esok. Berboral-borak sambil menyantap makanan ringan memang sungguh cool. Ya! suhu di luar sana pun sejuk.

Kak Mas menunjukkan skil mengisi pakaian dalam beg