Thursday, November 29, 2012

Hari Ketiga di Korea : Pulau Jeju

Hari kedua di Jeju ini merupakan hari terakhir kami di pulau gunung berapi ini. Sesudah bersarapan kami terus check-out dari guesthouse yang kecil tapi menyelesakan ini untuk menjimatkan masa melawat baki tempat-tempat menarik untuk dilawati.

Uncle Koo petah bercerita sepanjang perjalanan kami dalam bahasa Inggeris mudah ala-ala Korea. Beliau membawa kami ke destinasi pertama kawah Sangumburi. Ia merupakan tapak kawah gunung berapi yang selebar kira-kira 650 meter dan mempunyai kedalaman sedalam kira-kira 100 meter. Kawah ini ditumbuhi dengan pelbagai tumbuh-tumbuhan yang hidup subur yang turut menarik perhatian para pengkaji.


Kami meneruskan perjalanan ke Trick Art Museum. Ini adalah muzium yang pertama di Korea yang menampilkan seni ilusi optik. Muzium ini mempunyai tujuh zon tema yang berbeza seperti Parody Zone, Animal Zone, Jurassic Zone, Aquarium Zone, Egypt Zone, Magic Zone dan Illusion Zone. Di sini  memaparkan betapa seni helah berjaya menampilkan lukisan dua dimensi menjadi tiga dimensi dengan mencipta ilusi yang memperdaya.




Menghabiskan masa di muzium trick yang menghiburkan hati kami meneruskan perjalanan dan singgah di Seongeup Folk Village. Ia adalah sebuah perkampungan budaya masyarakat Jeju yang dipelihara turun-temurun. Di sini menempatkan pelbagai warisan budaya yang dikekalkan sehingga sekarang seperti rumah, kuil, patung-patung batu dan sebagainya. Juga terdapat jualan hasil kraftangan, makanan dan minuman tradisi untuk para pengunjung.

Meneruskan perjalanan Uncle Koo membawa kami singgah di sebuah ladang oren yang sungguh segar mata memandang keranuman buah-buahnya. Jeju memang terkenal dengan buah limau Mandarin sehingga ia diraikan dalam Jeju Orang Festival.
Seterusnya Uncle Koo membawa kami ke Seongsan Ilchulbong atau Seongsan Sunrise Peak. Rabung ini terhasil daripada letusan gunung berapi lebih 100,000 tahun lalu. Terdapat kawah besar di atas kemuncak rabung ini yang mempunyai diameter seluas 600 meter. Kawah ini dikelilingi 99 buah batu yang tajam membuatkannya kelihatan seperti sebuah mahkota raksasa. Kami hanya berpeluang menjejak kaki di laluan masuknya sahaja kerana kesuntukan masa untuk mendaki rabung tersebut.
Perut yang mula bergelora di waktu tengahari ini mula meronta minta diisi. Uncle Koo membawa kami menikmati makan tengahari di sebuah restoran berhampiran kemuncak ini. Hari ini kami betul-betul menikmati masakan Korea yang berasaskan ikan, sayur-sayuran dan nasi.

Alhamdulillah setelah kenyang kami meneruskan perjalanan menjelajah Pulau Jeju ini. Uncle Koo memberhentikan kami di Locadio World. Ia merupakan satu kompleks yang menempatkan ruang pameran set lokasi perfileman indoor dan outdoor. Diringkaskan cerita di sini para pengunjung tidak harus melepaskan peluang untuk bergambar dengan menggunakan setiap bahan yang dipamerkan demi merasai set perfileman sebenar. Kompleks ini dibahagikan kepada 5 bahagian ruang pameran yang terdiri dari Ruang Sejarah Drama, Drama Garden of Wind Dengan Istana, Drama Garden of Wind Dengan Kampung, Studio Korea Era-Moden dan Studio Dunia. Kami tidak melepaskan peluang bergambar seolah berada di set pengambaran sebenar lengkap dengan kostum yang disediakan.



Selesai `sesi pengambaran' kami meneruskan perjalanan pulang dan singgah di sebuah kedai untuk membeli cenderamata dan makanan Jeju seperti coklat, biskut dan sebagainya. Dalam perjalanan pulang ke lapangan terbang Uncle Koo membawa kami melalui Jalan Misteri. MPV yang membawa kami terus bergerak walaupun di gear neutral di jalan yang dikatakan agak mendaki. Fakta sebenar yang diberitakan ialah ia hanyalah ilusi optik yang membuatkan kita berada seolah-olah berada di kawasan yang tinggi.

Setiba di lapangan terbang kami bersalaman dan berpisah dengan Uncle Koo yang sungguh berdedikasi dan baik budinnya melayan kami. Kapal terbang kami meninggalkan Jeju pada jam 8.10 malam dengan pelbagai kenangan manis. Azri yang tersedia menunggu di Lapangan Terbang Gimpo terus membawa kami pulang ke kota Seoul dengan menaiki tren.

Setelah tiba di kota Seoul kami menunggu pemilik rumah tumpangan yang bakal kami duduki yang kemudiannya tiba membawa kami pulang ke penginapan kami malam ini. Alhamdulillah ia amat menyelesakan!

No comments:

Post a Comment