Wednesday, June 29, 2011

Hari Pertama Conquest of Europe : England-Belgium-Holland

28 Mei (Sabtu) Menuju ke Amsterdam


Perjalanan hari pertama

Selesai bersarapan kami turun ke bawah untuk menanti teksi-teksi yang telah ditempah oleh Sue malam tadi. Asalnya tiga buah teksi, namun setelah berkira-kira dua buah sudah mencukupi untuk membawa kami ke Park Lane bersebelahan Hyde Park. Kamilah peserta terawal yang tiba di meeting point, sejurus kemudian tiba beberapa orang lagi peserta. Sekonyong-konyong tiba seorang lelaki macho mengenalkan dirinya. Cikgu Fauzi adalah peserta pertama yang aku kenal. Beliau segerombolan bersama keluarganya datang dari Kedah.
Tempat berkumpul

Keadaan di situ semakin riuh dengan ketibaan para peserta. Dua buah bas double-decker sudah tiba untuk membawa kami berkelana dan berkonvoi. Kak Mas dan Abg Zainal terpisah ke Bas 1 manakala kami berenam ditempatkan di Bas 2. Mendung rintik-rintik mula kelihatan di wajah Kak Mas kerana beliau amat rapat dengan kami sejak lawatan seharian semalam. Delegasi Lina dan Sue segera pergi kepadanya bertanya khabar dan mententeramkannya. Namun kami percaya dengan keceriaan wataknya, Kak Mas boleh saja berkelana dengan apa jua bas pun.
Anak Hairul ditinggalkan ditepi jalan yang akhirnya dipungut ibunya Hani

Bas bertolak hampir sejam lewat dari jadual asal jam 8 pagi. Biasalah, rombongan pengantin yang biasanya 7-8 buah kereta pun terlewat inikan pula 2 buah bas dua tingkat yang membawa hampir 140 ahli rombongan dengan beg-beg seumpama pergi haji.

Bas kami yang bernombor dua nampak gayanya akan menjadi makmum selamanya di belakang Bas 1. Chief Kelana Convoy (KC) Bro Hairul mula berceloteh mengenalkan kami dengan London, dengan menggunakan walkie-talkie dari Bas 1 yang dipancarkan kepada speaker untuk pendengaran seluruh ahli Bas 2. Hairul telah lama menetap di UK semenjak zaman belajarnya sehinggalah sudah beranak-pinak dan menubuhkan syarikat KC ini. Mengambil konsep percutian ala-ala Mat Saleh, Hairul mengadaptasikannya untuk disesuaikan dengan rakyat Malaysia.

Ahli-ahli rombongan mula saling berkenalan dalam bas. Couple pertama aku kenal ialah Shaiful dan Diyana. Pasangan tekukur sejoli ini sudah menetap dan berkerja di London sudah 6 tahun rasanya. Shaiful orang Penang dan Diyana orang Bentong tak silap aku. Di dalam bas mereka menjadi kaunter pertanyaan ahli-ahli rombongan lain kerana kesenioran mereka menetap di London untuk layak berbicara tentang London.

Perjalanan dari London ke Dover ini mengambil masa lebih kurang dua jam turut melalui Blackheath Village. Menurut Hairul kawasan ini pernah dilanda wabak penyakit dan mayat penduduknya ditanam beramai-ramai di satu kawasan lapang.

Rasa bertuah juga kami yang duduk tingkat atas ini kerana pemandangannya lebih luas berbanding mereka yang duduk di tingkat bawah. Tetapi mereka yang duduk di bawah berkelebihan untuk mudah mendekati krew bas ini seperti Abu & Fizi. Cikgu Fauzi sekeluarga seperti anaknya Hani dan Afif juga duduk di tingkat bawah. Siva dan Cikgu Ghani pun sama. Kemudian datang Abu untuk mengedarkan jadual waktu solat sepanjang konvoi kami selama 15 hari ini. Jadual itu amat mudah untuk rujukan kerana dicetak hanya pada sehelai kertas berbanding aku yang telah mencetak berhelai jadual setiap negara.
Di musim panas waktu malam lebih singkat. Isya hanya 3-4 jam sebelum datang Subuh.

Setiba di terminal bas-bas kami terpaksa menunggu giliran untuk menaiki tren Channel Tunnel ini. Aku sempat menikmati secawan kopi di mesin vendor. Peh! Sungguh menyegarkan. Tiba masanya bas kami pun memasuki tren yang akan membawa kami menyusuri terowong dalam laut untuk ke Perancis. Kira-kira sejam setengah kami berada di dalam tren dan tiba di Calais, Perancis pada jam 2.07 petang. Terpaksa aku undurkan jarum jam sejam kerana Perancis dan negara-negara Eropah lain lewat sejam dari England. Perjalanan diteruskan.

Kami memasuki Belgium jam 2.43 petang. Perjalanan ini bagi aku amat indah kerana kiri dan kanan dipenuhi padang rumput dan kuda-kuda serta lembu-lembu meragut rumput dengan selamat tanpa risau untuk dilastik atau dihambat. Pemanduan di Eropah (tidak termasuk UK) di sebelah kanan jalan oleh itu kenderaan mereka berstereng di sebelah kiri. Pusingan di roundabout sudah semestinya anti-clockwise.

Kami tiba di sebuah kilang coklat untuk melihat-lihat dan membeli belah. Belgium juga terkenal dengan penghasilan produk tenusu. Beraneka jenis coklat dijual di sini menyebabkan Lin, Lina and the gang rambang mata untuk memilihnya. Kami meneruskan perjalanan. Abu selaku jurucakap utama krew Bas 1 memaklumkan disebabkan kesuntukan masa kami tidak sempat untuk singgah di bandar-bandar lain. Bas terus menuju ke campsite pertama kami di Belanda.
Pilih pilih yang mana berkenan

Akhirnya kami tiba di kem Amsterdamse Bos. Sebuah kem yang serba lengkap dengan kabin, bilik air, mesin basuh, wi-fi percuma, dewan makan serta tanah lapang untuk dipacak khemah. Malam pertama ini aku meraikan pandangan Lina untuk berkhemah. Ya, untuk menajamkan skil berkhemah katanya. Demo daripada Abu bagaimana untuk memacak khemah serba sedikit membantu aku memacaknya. Penganjur KC telah memberikan kami khemah dan sleeping bag untuk kegunaan sepanjang konvoi ini. Awal-awal lagi kami telah menempah untuk berkhemah selama 4 malam, selebihnya kami menetap di kabin.

Kami memilih untuk makan malam di dewan makan. Sambil makan boleh juga melayari internet melalui netbook yang aku bawa ini. Sesi berborak juga amat rancak sehingga semua keletihan untuk masuk khemah dan tidur.
Cerita hantu malam-malam

No comments:

Post a Comment