Alhamdulillah pagi ini masuk hari kesepuluh kami berkelana. Hari ini merupakan hari terakhir kami di negara Itali ini sebelum meneruskan perjalanan memasuki Switzerland. Sempat juga aku menjamah roti untuk mengalas perut sebelum berjalan jauh.
Pagi yang terluang ini sempat aku beronline sementara Lin asyik mengambil gambar. Kelekaan kami menyebabkan kami merupakan orang terakhir memuat beg ke dalam perut bas. Penat juga kulihat krew Fizi melayan karenah kami untuk menyusun semula beg-beg yang telah dimuat.
Sedang bas mula bergerak meninggalkan tapak kem, tiba-tiba cermin kiri di pintu kiri sisi pemandu pecah. Entah apa yang dilanggar oleh Cris. Namun berkat kepakaran dan kekreatifan para krew membolehkan bas bergerak juga dengan tudung periuk digunakan menggantikan cermin yang pecah.
Jam 9.46 pagi kami meneruskan perjalanan ke Lauterbrunnen, Switzerland yang jaraknya kira-kira 560 kilometer dari Pisa ini. Selepas meninggalkan Pisa bas mula memasuki kawasan pesisir pantai di sebelah kiri kami yang pemandangannya begitu mengasyikkan. Di sebelah kanan kami pula deretan bukit-bukau berbatu marmar.
Meneruskan perjalanan kami diberitahu tidak akan singgah di bandar Milan hanya sekadar melalui di pinggirannya. Memandangkan rombongan ini bukannya membawa para pereka fesyen maka cukuplah sekadar kami melepasi signboard Milan.
Kami melepasi sempadan Itali-Switzerland pada jam 3.05 petang. Sejam setengah kemudian kami singgah di sebuah stesen minyak untuk berehat dan menunaikan solat. Solat diimamkan oleh Ustaz Dahari ayah kepada Husni. Di situ sempat kami membeli poskad, setem dan terus mengeposnya untuk saudara mara di Malaysia.
![]() |
Solat berjemaah |
![]() |
Ibu dan ayah yang cuba menyatukan dua benua |
![]() |
Tudung periuk yang menggantikan cermin pecah |
Menyusuri jalan-jalan menghala ke Lauterbrunnen ini sememangnya menjanjikan pengalaman yang cukup menarik. Pada aku pemandangan di sepanjang jalan ini adalah yang tercantik dalam pengembaraan kami ini. Kami dihidangkan dengan bukit bukau yang menghijau. Sungai-sungai yang mengalirkan air jernih, deras dan dingin. Kawasan penempatan yang berserak bersih dan nyaman. Puncak-puncak gunung yang memutih dengan salji sepanjang masa walau di kaki bersuhu suam disinar cahaya.
Kami berpeluang singgah di Brunig Outdoor Panorama Restaurant. Sebuah kawasan tinjau di lereng bukit yang membolehkan para pengunjung menikmati keindahan perkampungan dan tasik Lungern ciptaanNya. Maha Suci Dia!
![]() |
Air mengalir deras, jernih dan dingin |
![]() |
Sajli di puncak pergunungan |
![]() |
Air terjun di depan kem |
![]() |
Kabin kayu memberikan sedikit haba panas |
No comments:
Post a Comment