Sunday, May 26, 2013

Hari Kelima di Korea : Seoul

Hari ini giliran Azri membawa kami bersiar-siar di kota Seoul. Ya! Hari ini kami akan mengembara di kota tersibuk di Korea ini. Kami berjalan kaki merentasi bangunan-bangunan tersohor seperti Seoul Metropolitan Government (umpama DBKL di Kuala Lumpur), Press Center dan Seoul Finance Center. Sepanjang jalan di laluan pejalan kaki kami dihidangkan dengan pameran terbuka foto-foto pengalaman Korea di zaman perang sehinggalah mengecapi kemajuan seperti hari ini.

 Di bawah tanah yang menempatkan stesen tren sebagai pengangkutan utama kami, turut menempatkan gerai dan kedai-kedai kecil yang menjual pelbagai barang. Sempat juga aku membelek koleksi DVD filem-filem Korea yang dijual berleluasa. Kemudian kami singgah di Haechi Seoul Shop yang menjual cenderamata dari koleksi Haechi. Haechi adalah maskot kota Seoul yang berasal dari mitos seekor binatang seakan anjing dan singa. Ia dikatakan mengawal Seoul dari ancaman kebakaran dan bencana serta melambangkan keadilan, integriti dan masa depan yang gemilang untuk kota Seoul.
Dari kedai cenderamata yang berada di bawah tanah, kami naik ke atas Gwanghwamun Square. Dataran yang baru ditonjolkan sebagai pusat pelancongan yang harus dilawati, ia kaya dengan sumber sejarah dan budaya Korea. Dataran ini menempatkan replika patung Raja Sejong yang menggambarkan raut wajahnya yang berhati mulia serta alatan-alatan inovasi yang dicipta di zamannya seperti jam matahari, tolok hujan dan glob bumi.
Raja Sejong dan alatan-alatan ciptaan di zamannya
Jalan raya di hadapan Gwanghwamun ini dirujuk kepada Yukjo (enam kementerian). Dahulunya jalan ini menempatkan enam kementerian pada zaman Joseon. Namun ia telah dirobohkan di zaman penjajahan Jepun seterusnya menghilangkan simbol yang begitu signifikan pada jalan ini. Sejak pembinaan Dataran Gwanghwamun ini, Jalan Yukjo telah dibina semula dan pelbagai monumen turut dibina untuk dipamerkan menjadikan dataran ini tapak sejarah yang dipulihara.


Kami juga berkesempatan untuk melawat Dewan Pameran Sejarah Raja Sejong. Raja yang dilahirkan pada 15 Mei 1397 ini merupakan seorang pemimpin hebat yang membawa kegemilangan pada Korea dengan kejayaannya dalam politik, budaya, seni dan astronomi. Pameran ini juga boleh diumpamakan sebagai mercu kejayaan idea Raja Sejong dalam menjelmakan demokrasi dan juga maksud sebenar warisan budaya Korea yang paling menyerlah, penerokaan aksara huruf Korea Hangeul.
Azri mengajar Hangeul
Kami keluar dari dewan untuk menuju ke Istana Gyeongbokgung. Menuju ke istana, kami menyusuri Waterways of History atau Terusan Sejarah. Laluan air ini merupakan plat batu yang diukir dengan pelbagai peristiwa sejarah sejak penubuhan Dinasti Joseon. Ia direka 365 meter panjang, 2 sentimeter dalam dan 1 meter lebar.
Waterways of History
Kami tiba di luar Istana Gyeongbokgung yang dipenuhi dengan para pelancong dan bas-bas persiaran. Ia adalah istana pertama yang dibina oleh Dinasti Joseon pada tahun 1395. Istana ini adalah yang terbesar di kalangan Lima Istana Agung dan dijadikan istana utama pada Dinasti Joseon. Kami sempat menyaksikan pertukaran syif para pengawal istana yang seakan patung, tidak bergerak.
Maher Zain melawat Korea?



Awek Korea vs Awek Malaysia
Seterusnya Azri membawa kami ke kawasan yang sibuk dengan orang ramai dan barang jualan. Ya! Menyebabkan ahli rombongan kami turut membeli-belah ala-ala kadar.
Untuk mengisi perut di tengahari yang tidak panas ini, Azri membawa kami ke sebuah restoran yang melalui lorong-lorong dan kedai-kedai kecil. Restoran ini amat selesa untuk kami makan, menunaikan solat dan berehat. Aku sempat melelapkan mata mengumpul tenaga.

Selesai makan tengahari kami membeli sebuah beg beroda yang agak besar untuk memuatkan kesemua beg-beg plastik barang belian. Bagus juga idea membeli beg itu kerana sudah semestinya ia dapat dimanfaatkan untuk dibawa pulang ke Malaysia kelak. Untuk memudahkan perjalanan kami selanjutnya, kami meninggalkan semua beg di dalam almari di sebuah stesen tren. Tidaklah perlu untuk mengusung ke hulu ke hilir.
Pengembaraan kami diteruskan menuju ke terminal cruise Sungai Hangang. Malam yang makin kelam mula mengeluarkan hawa dingin menusuk ke tulang. Sejuknya bukan kepalang sehingga aku terpaksa memakai sarung tangan.

Sementara menunggu waktu berlepas kami sempat menjamu selera mengalas perut di terminal. Malam itu fish fillet menjadi hidangan makan malam kami yang sudah termasuk dalam pakej disediakan Azri. Alhamdulillah! Mudah-mudahan makanan yang masuk ke perut dapat mengurangkan kesejukan yang semakin mengganas.
Di dalam cruise aku lebih selesa berada di dalam kabin tertutup sambil menghirup minuman coklat panas. Mereka yang agak kebal dengan angin sejuk mungkin lebih teruja berada di luar. Kadangkala aku melangkah jua keluar untuk menikmati keindahan malam di Sungai Hangang ini.

Kami sangat teruja dengan keindahan Banpo Bridge Rainbow Fountain tatkala Cruise menyusuri di bawahnya. Ia merupakan jambatan air terjun terpanjang di dunia. Air terjun ini diprogramkan untuk memainkan persembahan yang berbeza di waktu siang dan malam. Malam ini 200 buah lampu akan menerangi air terjun yang menari-nari menurut irama muzik dengan pancutan air berwarna pelangi. Rentaknya memang indah dan mengasyikkan.
Keindahan malam ini bersama Sungai Hangang betul-betul mengasyikkan aku bersama kedinginannya. Sekarang baru aku kenali ungkapan Miracle On The Han River. Satu ungkapan yang dirujuk kepada kepesatan kemajuan ekonomi Korea Selatan pasca perang. Kepesatan yang merangkumi kemajuan perindustrian, pencapaian teknologi, pendidikan, peningkatan taraf hidup, kemodenan, kejayaan penganjuran Sukan Olimpik 1988 dan penganjuran bersama Piala Dunia 2002. Kemajuan ini disertai oleh dasar pendemokrasian dan globalisasi yang merubah negara ini dari kesan kemusnahan akibat Perang Korea kepada sebuah negara kaya dan maju. Siapa yang tidak kenal konglomerat seperti Samsung, LG, Hyundai dan Kia yang berpengaruh mencorak ekonomi global. Mereka lahir di Korea.

No comments:

Post a Comment