Saturday, February 4, 2012

Hari Terakhir di Eropah : London

12 Jun (Ahad) London

Hari terakhir di benua Eropah ini terus menyuntik semangat kepada aku untuk mengembara di kota masyhur ini. Peluang yang tidak harus aku sia-siakan untuk memenuhi ruang waktu yang masih berbaki ini. Sarapan kami yang terakhir di apartment Kak Umi ini dinikmati dengan begitu ceria.

Kami berempat aku, Lin, Lina dan Su akan bersiar-siar di kota London ini manakala Aini dan Yuyu berkeputusan untuk berehat sahaja apartment ini. Pagi di London ini dihujani hujan renyai-renyai yang sungguh mendinginkan suasana. Mujurlah kami ada membawa baju hujan sebagai persediaan.

Sarapan pagi
Dalam perjalanan ke stesen underground Edgware Road aku sempat menempah teksi untuk kami pulang ke lapangan terbang Heathrow petang kelak. Aku menempah sebuah van untuk memuatkan kami berenam ditambah pula dengan beg-beg yang semakin beranak.
Menempah teksi untuk pulang

Stesen Edgware Road
Merasa berdiri walau ada ruang untuk duduk
Kami membeli 1 Day Travelcard untuk kami bebas mengembara menaiki London Underground dalam masa yang sungguh singkat ini. Dari stesen Edgware Road kami transit di stesen Baker Street untuk menukar line ke stesen Green Park pula. Kami berjalan kaki melalui sebuah taman dikenali sebagai Green Park. Memang sungguh hijau dan mendamaikan. 
Hijau bumi Tuhan
Selepas melalui Green Park tersergam indah Istana Buckingham di depan mata. Ia tetap ramai dipenuhi pelawat walau dalam suasana hujan renyai-renyai. Para pelancong termasuk kami tetap berdiri di depan pintu pagar walau `dihalau' oleh pengawal yang mengatakan hari ini tiada sesi pertukaran pengawal. Bukan apa, kami sekadar bergambar dan mencari idea untuk menghala ke destinasi seterusnya.


Merancang perjalanan
Dari istana kami berjalan kaki menyusuri Birdcage Walk, lorong yang dilitupi rimba menuju ke Westminster. Dalam perjalanan kami dihidangkan adegan mesra seekor tupai dan beberapa ekor burung merpati berkongsi makanan yang dihulurkan pejalan kaki di situ. Mereka sungguh jinak walaupun dibiar hidup bebas tanpa sangkar. Satu peristiwa yang amat jarang aku lihat di Malaysia yang menzahirkan kebebasan alam tumbuhan dan haiwan serta kasih sayang manusia yang bersatu menikmati nikmat alam. Tiada penganiayaan antara satu sama lain.
Kami melalui Big Ben menara jam tersohor di kota London ini. Ia merupakan jam loceng empat-muka yang terbesar di dunia yang siap dibina pada 10 April 1858.
Ikon-ikon London, Big Ben dan bas dua tingkat bersama penyeri

Pek pengembara yang lengkap dijual di mesin vendor dalam tandas

Kami menuju pula ke tebing Sungai Thames yang berhampiran stesen Westminster. Di situ terletaknya jeti cruise dan di seberang sungai sana tersergam indah The Eye of London.
Eye of London di seberang sungai
Kami meneruskan perjalanan dari stesen Westminster dan turun di stesen London Bridge. Kami berjalan kaki menyusuri Sungai Thames dan juga melewati London Bridge City Pier, jeti yang menempatkan catamaran yang digunakan sebagai medium pengangkutan menjelajahi London melalui Sungai Thames ini.
Di seberang sana tersergam megah Tower Bridge yang merentasi sungai kebanggaan London ini. Jambatan ini seringkali disalah anggap sebagai London Bridge, sebuah jambatan yang berada di sebelahnya. 
Tower Bridge di belakang sana
Masa yang semakin suntuk tidak menghalang kami singgah sebentar di Bayswater untuk membeli cendera kenangan buat kali terakhir. Puas juga Lin, Lina dan Sue memilih memorabilia London. T-shirt, magnet peti sejuk dan rantai kunci adalah benda wajib dibawa pulang.

Petang itu setelah siap segala-galanya teksi yang dinanti pun tiba. Kak Umi menghantar kami pulang sehingga MPV kami meluncur menghilangkan Kak Umi dari pandangan. Pengalaman tinggal di apartment Kak Umi adalah suatu yang menyeronokkan. Terasa bagai di Malaysia. Segala kemudahan berada berhampirannya. Di depannya pasar mini Tesco, juga terdapat deretan kedai barangan dan makanan halal yang kebanyakannya diusahakan oleh warga Arab. Stesen underground Edgware Road pun dekat. Semua ada.

Pemandu teksi kami seorang warga Afrika Muslim. Aku rancak berbual dengannya. Pelbagai topik kami berbicara yang diselangi dengan beberapa patah perkataan Arab. Boleh aku rumuskan beliau seorang Muslim yang baik, yang berusaha memelihara iman dan Islam ahli keluarganya di kota London ini dengan menghantar anak-anaknya ke sekolah agama. Beliau sendiri mengikuti pengajian Islam di peringkat diploma. Kagum juga aku dengan kefasihannya mengeluarkan dalil-dalil berupa hadith dan ayat Al-Quran sepanjang perbualan kami. Semoga Allah merahmati beliau sekeluarga.

Kami tiba di Lapangan Terbang Heathrow petang itu dalam cuaca yang agak dingin. Alhamdulillah kami tidak menghadapi sebarang masalah untuk pelepasan cuma sebahagian barangan Lin terpaksa dipindahkan ke Lina kerana overload untuk mengelakkan caj tambahan.

Tepat jam 10 malam pesawat kami MH001 berlepas dari Heathrow. Meninggalkan kota London dengan pelbagai kenangan manis. Tiga malam di London cukup membuatkan ia dekat hati. Jika ada rezeki insyaAllah tiada masalah untuk aku berlegar-legar di sana lagi. 


Lebih kurang jam 6 petang kami selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Selepas check-out tersempak pula kami dengan Dato' Chef Wan berkeseorangan yang turut pulang dari London. Memang dia amat peramah.


Alhamdulillah Dia telah memudahkan perjalanan kami sepanjang 18 hari di sana. Syukur padaNya yang mengurniakan kenikmatan yang tidak ternilai dengan pengembaraan ini. Memang benar kata-kata `Jauh perjalanan luas pengalaman' ini. Perjalanan yang menyaksikan betapa hebatnya Dia mencipta alam ini dan seluruh isinya. Perjalanan yang seharusnya mendekatkan lagi kami denganNya. Amin.
Musafir Kelana yang membawa pengertian bermusafir dan berkelana untuk dihayati

4 comments:

  1. Salam, menarik kisah nie. Boleh tolong bagi no tel Kak Umi London tak untuk book apartment dia.
    TQ

    ReplyDelete
  2. Ada tak no.ctct pemandu teksi african muslim tu?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sungguh mengecewakan walaupun diberi kad namanya, setiba di Malaysia ia hilang!

      Delete