3 Jun (Jumaat) Venice ke Florence ke Rome
Alhamdulillah pagi di
campsite Fusina ini sungguh damai. Tidak seperti malam tadi yang berdentum dengan pesta muda-mudi di bar. Walaupun bar agak jauh dari kabin penginapan namun sayup-sayup kedengaran juga muzik rancak mereka. Menjadi salah satu kemestian dalam program mereka untuk berhibur sebegitu dalam pengisian
summer camp mereka. Agaknya di Malaysia yang sepanjang masa panas pun menyebabkan muda-mudi berhibur sebegini setiap hari..
Setelah bersiap kami menikmati sarapan spaghetti cendawan. Menu ini amat menyelerakan aku. Alhamdulillah. Ditambah pula dengan
hot choc!
 |
Spaghetti cendawan yang sedap |
 |
Hot choc buatan Yuyu |
Selesai bersarapan sementara masih berbaki masa aku dan Lin mengambil angin di hujung kem. Di sana terdapat jeti kecil yang menempatkan sebilangan bot-bot kecil. Selesai bergambar kami kembali ke dalam bas dan bersedia untuk bertolak ke bandar Florence. Bas bergerak tepat jam 9.50 pagi.
 |
Jeti yang masih lengang |
 |
Al-Quran pengisi masa |
 |
Musim panas digunakan sebaiknya untuk mengerat ikatan kekeluargaan |
Perjalanan bakal mengambil masa lebih kurang 3 jam setengah. Bas rombongan berhenti di pertengahan jalan untuk para penumpangnya mengisi perut makan tengahari. Bertebaranlah kami mencari
port sesuai untuk makan juadah yang telah dimasak krew KC pagi tadi. Kami juga mengambil kesempatan ini untuk terus menunaikan solat
jama' taqdim Zuhur dan Asar.
Kami tiba di Florence lebih kurang jam 2.45 petang. Destinasi pertama kami ialah
Piazzale Michelangelo. Sebuah dataran di tanah tinggi yang menghidangkan panorama bandar Florence yang sungguh indah. Dataran ini didedikasi khas untuk Michelangelo, seorang pengukir tersohor di zaman Renaissance. Di sini juga terbina sebuah ukiran patung besar seorang lelaki berbogel. Kononnya patung itu adalah ukiran Nabi Daud. Aku hairan apa justifikasi pengukir ini membogelkan seorang Nabi yang dimuliakan Allah? Hairul KC melontar persoalan yang sama membuatkan kami berfikir.
Bas hanya dibenarkan berhenti di dataran itu hanya selama 15 minit. Manakala polis-polis di sini khabarnya agak tegas. Lalu kami terus menuruni tanah tinggi itu dan tiba di satu kawasan sesuai kami diturunkan untuk berjalan kaki ke tengah bandar Florence. Maka beramai-ramai kami berjalan kaki menyusuri Sungai Arno ke pusat bandar Florence. Sungai Arno merupakan salah satu sungai terpenting di negara Itali ini.
 |
Panorama Florence dari Dataran Michelangelo berlatar Sungai Arno |
 |
Motorsikal skuter dilihat merata-rata di Florence |
Perjalanan kaki mengambil masa yang agak lama. Kira-kira 20 minit tak silap aku. Ini kerana dikhabarkan bas pelancong tidak dibenarkan memasuki tengah bandar Florence ini. Florence adalah ibu negeri Tuscany dan mempunyai penduduk paling ramai dalam Tuscany. Bandar ini terkenal dengan sejarahnya yang begitu berkepentingan pada Zaman Pertengahan dan Renaissance. Ia juga telah diisytiharkan Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada 1982. Majalah Forbes juga pernah menyenaraikan Florence sebagai salah satu bandar tercantik di dunia kerana sejarah, budaya, kesenian dan arkitek zaman Renaissance serta monumen-monumen yang terbina di sini.
 |
Penghibur jalanan |
Sebaik memasuki pusat bandar Florence kami mula teringin untuk mengisi perut. Aku, Lin dan Lina yang bergerak sekumpulan menerjah sebuah kedai
waffle. Tertera di luarnya
dolce delizia Italiana atau bermaksud
Italian Sweet Delight. Aku sempat merasa roti
bun bermadu yang keras. Mungkin lembut bagi gigi orang Itali rasanya. Lin dan Lina sempat menjamah
waffle beraiskrim.
Kami bertiga terus bersiar-siar di kota yang penuh dengan ukiran lelaki bogel itu. Deretan kedai-kedainya terdiri dari kedai yang menjual barangan cenderamata, kulit, antik, kraftangan, kaca, barangan kemas dan sebagainya. Kami juga memasuki
Piazza della Signoria satu dataran berbentuk L. Di situ terdapat pelbagai bangunan yang dibina pada kurun ke-14. Antaranya terdapat bangunan
Loggia del Lanzi yang menempatkan pelbagai monumen yang dibina dari batu marmar.
Kami juga sempat singgah kedai kosmetik dan
perfumes yang menjadi tarikan Lin dan Lina. Di celah-celah bangunan di situ juga kami mengunjungi gerai-gerai yang menjual barangan kulit. Puas juga Abu mempromosi barangan kulit Florence ini dalam bas tadi, rugi juga kalau tidak membelek-beleknya. Belek sahaja. Lin dan Lina sempat membeli set barangan kulit untuk dihadiahkan kepada orang kesayangan mereka.
 |
Penjual ini sungguh manis mulutnya |
Kami juga berhenti di sebuah gerai barangan kulit. Penjualnya seorang Muslim berasal dari Tanah Arab. Suasana sungguh mesra di situ. Dia begitu mesra memancing kami, kami pun begitu mesra mengurangkan harga. Walaupun keluar pelbagai bahasa termasuk bahasa Arab yang
gitu-gitu, namun dia tetap dengan harganya. Nampak gayanya mereka memang
firm.
 |
Rakan sparring bahasa Arab yang tidak berhasil |
Setelah puas berjalan kami menuju kembali ke tempat perhentian bas tadi. Dalam perjalanan pulang terdapat ramai warga Itali ini yang mengekspresikan hasil seni kreatif mereka. Ada yang berjalan bergaya sambil menyanyi, dan ada yang melukis di atas jalan. Mereka sungguh kreatif.
 |
Di tebing Sungai Arno |
Bas mula bergerak ke destinasi seterusnya Rome pada jam 6.10 petang. Kami lewat bergerak hampir setengah jam kerana menunggu Rahmah yang lewat tiba. Sampai sekarang aku tidak berkesempatan mengetahui apa yang sebenarnya telah berlaku pada Rahmah.
Kami tiba di
Camping Tiber jam 9.10 malam. Hari masih senja kerana Isya' bermula jam 10.39 malam.
No comments:
Post a Comment