2 Jun (Khamis) Venice
Puji dan puja hanya untuk Dia Tuhan yang menciptakan alam ini, yang telah memberi nikmat udara segar pagi di Venice ini dan juga yang menghidupkan kami dari rehat malam tadi. Sesedar aku jiran kabin ialah Sir Fauzi dan anaknya Afif.
 |
Kabin yang selesa |
Selesai bersarapan kami mengikuti taklimat yang disampaikan oleh Hairul dan Abu. Pagi ini kawasan bar
campsite dipenuhi oleh para peserta rombongan tekun mendengar taklimat di samping peta Venice di tangan masing-masing. Peserta diberi taklimat penting mengenai jadual perjalanan bot pergi dan balik kerana kami diberi kebebasan untuk berjalan sendiri di sana dan pulang sendiri ke kem. Justeru itu, untuk membaca dan memahami peta Venice yang sangat asing ini memerlukan kemahiran yang tinggi.
Kami pun berjalan beramai-ramai ke jeti yang jaraknya hanya sepelaung dari
gate kem. Kami menaiki bot dan duduk di bahagian bawah sementara Yuyu & Aini duduk di bahagian atas yang tidak berbumbung bersama
geng-geng Dublin, Sadid N The Gang, Azie, Shaiful, Sir Fauzi, Fakhrurazi, Hosni, Kak Roziah, Syairah dan ramai lagi. Aku duduk bersebelahan Cikgu Ghani sementara Lin duduk di depan bersebelahan orang tempatan barangkali yang sungguh pelik penampilannya pada mata kasar aku. Dua orang perempuan tua yang sudah berkedut kulit, botak kepala mereka, memakai baju yang sama berwarna merah jingga, seakan
alien pun ada.
 |
"Cuba tengok kaki mereka berdua di sebelah tu, berpijak tanah ke tidak?" |
|
|
|
Kira-kira 30 minit perjalanan bot kami tiba di Zattere, kawasan persisir laut yang letaknya jeti dan bangunan-bangunan sejarah di pulau Venice ini. Kami mengikuti jejak Abu dan sentiasa mengingati pesannya agar sentiasa mengingati Accademia sebagai tempat pulang ke pangkal jalan jika tersesat di celah-celah kota Venice ini. Kami harus bersedia untuk sesat kerana Venice dijalari lorong-lorong kecil di celah-celah kedai dan gerai.
Venice juga dipenuhi dengan terusan dan jambatan-jambatan pendek untuk menyeberanginya. Ia menambah pening kepada kepala untuk mengingati jalan-jalan di situ. Kami berjalan menuju
Piazza San Marco atau bahasa Inggerisnya disebut St.Mark's Square. Ia sebuah dataran yang luas dikelilingi bangunan dan artifak bersejarah. Ribuan manusia kelihatan mundar-mandir sebagaimana kelihatan burung-burung merpati mula mundar-mandir menjinakkan diri.
 |
Jinak-jinak merpati |
 |
Sedih biskut dicuri merpati |
Dalam keriuhan di sana sini aku terdengar suara-suara untuk mencari kedai Hard Rock Cafe. Rupanya ada di kalangan ahli rombongan yang mempunyai kegemaran mengumpul
t-shirt Hard Rock. Dalam kesamaran melalui lorong-lorong di situ yang berbelit-belit akhirnya aku sampai di kedai itu untuk menyelami jiwa-jiwa penggemar
t-shirtnya. Sempat juga Lin dan Lina membeli sehelai dua buat kenangan.
Kemudian kami terus mengikuti rombongan Abu untuk melawat pusat tenunan
lace dan
linen. Venice memang terkenal dengan hasil
lace yang seninya begitu halus dan mengujakan. Di pusat tersebut kami mendengar taklimat pembuatan
lace ini daripada seorang staf wanitanya. Ceritanya begitu mengagumkan untuk menggambarkan keindahan seni buatan
lace ini dan ketekunan yang perlu ada pada tukang-tukang tenun.
 |
Halus seninya sehalus seni memukau mengeluarkan wang untuk membeli pula. |
Seterusnya kami berjalan menuju ke jeti kecil untuk menaiki gondola. Mujurlah kami berenam dan memenuhi kuota yang memerlukan
ngam-ngam enam orang agar harga tiket tidak berapa terasa kerana dibahagikan enam orang. Kami didayung oleh seorang pendayung bertubuh sasa yang lebih selesa berdiam diri tidak mahu berkomunikasi mahupun menyanyi. Agak dicemburui kerana terdapat gondola-gondola lain yang riuh rendah dengan nyanyian pendayungnya, mungkin diberi
tips agaknya. Kami dibawa menyusuri sekitar kota Venice yang mengambil masa kira-kira setengah jam.
Venice memang terkenal dengan kekayaan seni binanya berupa bangunan-bangunan mahupun patung-patung. Gondola yang membawa kami turut menyusuri celah-celah bangunan yang airnya hanya di muka pintu. Ini tidak langsung menggambarkan kemajuan teknologi binaan di Venice ini yang digelar Kota Atas Air dan juga digelar Kota Terusan. Namun dikhabarkan dengan fenomena pemanasan global mutakhir ini bakal menenggelamkan Venice suatu hari kelak. Oleh itu, cepatlah berkunjung ke Venice sebelum ia tenggelam..
Selesai menaiki gondola perut mula berkeroncong mahukan nasi. Di manalah hendak cari nasi di Venice ni. Kami menjejak sekumpulan ahli rombongan yang sudah berkhemah di hadapan sebuah restoran. Pak Njang, Sadid, Shaiful, Kak Fiana pun kelihatan di situ. Ada ramai lagi yang sudah sendawa kekenyangan.
Waiter yang melayan kami sungguh hijau matanya, tegur Aini yang mula menyedari. Tersipu-sipu dia walaupun tidak faham dengan usikan Aini. Dalam keadaan terdesak sebegitu, kami semua memesan spaghetti
seafood sebagai langkah yang agak selamat melayani perasaan was-was.
 |
Spaghetti seafood bersama hot-choc |
Selesai makan kami meneruskan perjalanan menjelajahi kota Venice. Destinasi kali ini ialah
Rialto yang menjadi pusat perdagangan dan kewangan di Venice ini. Untuk ke situ kami perlu melintasi Jambatan Rialto yang menyeberangi
Grand Canal.
 |
Di atas Jambatan Rialto yang menyeberangi Grand Canal |
Di sini terdapat bank-bank, kedai cenderamata, kedai barangan mewah dan sebagainya. Suasana di situ lebih kurang seperti pasar malam yang berderet gerai dan kedai di kiri kanan jalan. Cenderamata yang sungguh terkenal di Venice ini ialah
Venetian mask. Hampir kesemua kedai di sini menjual topeng ini.
 |
Peniaga Venice turut terancam dengan barangan China |
 |
Terselit di celah ratusan manusia |
Kami sempat singgah di sebuah gerai untuk membeli baju sebagai cenderamata. Agak terkejut juga dengan layanan seorang
salesman yang agak tidak begitu mengalukan kedatangan prospek pembeli ini. Dengan nada yang agak tinggi dia akan menegur sesiapa yang menongkat siku di atas timbunan bajunya yang berlipat. Pengunjung juga tidak dibenarkan membuka lipatan walau bertujuan untuk melihat
design dan mencuba-cuba di badan. Teringat aku dengan keramahan pekedai di Pasar Siti Khadijah Kota Bharu yang menggamit pelancong walau bertujuan suka-suka, setiap orang adalah bakal pembeli.
 |
Merenung baju |
Selesai membeli-belah dan hampir seharian di kota Venice ini kami pun berangkat menuju semula ke jeti untuk pulang ke
campsite. Setiba di kem pukul 7.30 petang langit masih cerah untuk kami solat
jama' qasar Zuhur dan Asar. Sementara para krew bertungkus lumus menyiapkan makan malam sempat aku
online. Kali ini ia berbayar tiada lagi percuma seperti di Amsterdam dulu..