Tuesday, October 23, 2012

Hari Pertama di Korea : Seoul

Kami mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon pada jam 6.20 pagi waktu Korea. Waktu Korea hanya cepat sejam berbanding waktu Malaysia maka tidak perlu aku membetulkan jam di tangan. Sementara menunggu tour guide tiba kami bermundar-mandir di dalam lapangan terbang yang terbesar di Korea dan antara yang tersibuk di dunia itu. Lapangan terbang ini dinobatkan yang terbaik di dunia selama tujuh tahun berturut-turut dari 2005-2012 oleh Airports Council International. Melayani kelelahan sempat aku melelapkan mata sambil berbaring di kerusi untuk pengunjung melepak.

Lina pula kelihatan agak sibuk mengemaskini kedudukan lokasi kami kepada tour guide kami Azri namanya. Sejak dari Malaysia lagi memang Lina yang berhubungan dengan Azri dan segala itinerary kami di Korea ini diuruskan oleh Lina. Bak kata Linalah project manager bagi tour ini. Tidak lama kemudian tibalah Azri seorang anak muda dari negeri Pahang yang sedang belajar di Korea dalam bidang kejuruteraan. Azri yang sebaya dengan adik aku Nazim dan Alang amat aku kagumi semangat keusahawanannya di usia muda. Bijak dia mengatur masa bersama rakan-rakannya untuk menjalankan perniagaan sambil belajar melalui page `Muslim Tour in Korea' di Facebook.

Seusai sesi taaruf ringkas terus Azri ke kedai berhampiran untuk membelikan kami sarapan pagi. Gaya tenungan dan belekannya pada tulisan berbahasa Korea pada bungkusan makanan dan menu di dinding kedai Dunkin Donut itu membayangkan aku kesukaran untuk mencari makanan halal di sini. Aku percaya Azri boleh mengatasi kesukaran yang bermain di fikiran aku itu. Itulah pentingnya menggunakan khidmat `perantara' yang fasih dengan kehidupan di tempat baru yang kita lawati.

Azri membelikan kami doughnut dan air mineral sebagai sarapan pagi yang mula sibuk dengan orang yang lalu-lalang di situ. Aku tiada masalah untuk menjamah doughnut sebagai sarapan. Sememangnya doughnut menjadi kegemaran aku sejak kecil lagi tambahan pula yang dimasak oleh emak.

Kami membuat keputusan untuk menyimpan saja beg-beg kami di airport memandangkan masih terlalu awal untuk check-in di penginapan dan setelah beberapa pertimbangan dibuat atas faktor logistik. Seterusnya kami terus menaiki tren yang seakan-akan LRT di Kuala Lumpur dan bertukar menaiki bas untuk menuju ke destinasi pertama kami ke N Seoul Tower. Sepanjang kami di Korea ini kami akan menggunakan pengangkutan awam seperti bas dan tren sebagai medium pengangkutan utama untuk menuju pelbagai destinasi.

Bas yang membawa kami menurunkan para penumpang di perhentian terakhir untuk mendaki Gunung Namsan ke N Seoul Tower. Para pengunjung boleh juga menaiki kereta kabel untuk sampai ke puncak gunung untuk ke menara tersohor di Korea itu. Angin yang menyejukkan suasana dapat mengimbangi kelelahan kami mendaki ke tapak menara di puncak gunung itu.
Di dataran kaki menara itu terdapat banyak kedai menjual makanan serta persembahan nyanyian secara terbuka kepada para pengunjung. Kami menaiki tangga untuk sampai ke dataran kecil yang terdapat ribuan mangga atau pedal ayam yang tersusun digantung rapi. Mangga-mangga ini digantung oleh para pengunjung dengan sisipan nota-nota cinta, wish lists dan sebagainya.

Pedal ayam tergantung dengan nota-nota cinta 
Kami kemudian dibawa menaiki lif dan Azri membawa kami memasuki Muzium Teddy Bear pula. Muzium ini menceritakan sejarah Seoul dari dahulu sehingga sekarang dengan menggunakan teddy bear. Sejarah ini dipaparkan dengan cara yang kreatif, inovatif serta menghiburkan untuk melihat perubahan yang dialami Seoul mencapai kemajuan sebagai sebuah kota yang pesat. Di sini patung-patung teddy bear digayakan dengan pelbagai bentuk untuk menggambarkan sejarah Seoul dahulu sehinggalah pada segenap aspek kehidupan sekarang. 


Kami menaiki lif lagi untuk ke dek panorama di menara ini untuk melihat seluruh bandaraya Seoul. Di sini terdapat kedai cenderamata yang sekadar hanya untuk menghiasi pandangan kami kerana Azri telah memberitahu terdapat port yang amat sesuai dengan bajet kami di luar sana.


Puas dengan pemandangan kota Seoul dari menara itu kami mula turun untuk mencari makan mengisi perut yang sudah mula meminta-minta. Azri membawa kami ke Itaewon. Pekan itu terkenal dengan pusat perniagaan warga asing menjalankan perniagaan terutamanya restoran. Di situ terdapat pelbagai restoran menyediakan makanan antarabangsa seperti dari India, Pakistan, Mesir, Turki, Thailand dan Mexico. Kami singgah di restoran Taj Palace setelah disapa mesra oleh pemiliknya. Restoran masakan India itu menyediakan menu nasi yang boleh diterima selera. Alhamdulillah!



Selesai mengisi perut kami berjalan kaki menuju masjid yang terletak di kawasan agak tinggi di pekan Itaewon. Di sinilah terletak Seoul Central Mosque yang menjadi kebanggaan warga Islam Korea khususnya dalam menghubungkan silaturrahim dan menjalankan aktiviti dakwah. Aku melihat ada beberapa orang pendakwah berketurunan Arab yang fasih berbahasa Korea dalam menyampaikan dakwah kepada penduduk tempatan. Kagum aku dengan semangat jihad mereka. Semoga Allah merahmati mereka dan membuka hidayah pada semua menerima keindahan Islam.






Setelah puas berjalan kami balik ke airport untuk mengambil beg-beg yang ditinggalkan di sana. Kemudian Azri membawa kami pulang untuk berehat di penginapan berbentuk apartment yang selesa untuk tidur dengan nyenyak. Cuaca di luar sana amat dingin dan sejuk bagi aku yang berkulit nipis ini. Mujur ada heater di dalam bilik yang boleh menghangatkan suasana. Kami perlu berehat untuk meneruskan perjalanan ke Pulau Jeju pula esok pagi..



Sunday, April 29, 2012

Ziarah Korea

D7506 KUL-ICN

Seperti dijanji kami tiba tepat masanya di KL Sentral. Ella dan Lina kelihatan menuruni eskalator menuju kami yang sudah tiba di perkarangan bas-bas untuk menuju ke LCCT. Tepat waktu, bas mula bergerak meninggalkan KL Sentral bersama kelelahan menunggu teksi dari rumah tadi.

Setiba LCCT Alang Effa & Kak Mas sudah sedia menunggu. Alang dihantar oleh ibu, ayah, Fizam, Aida & Adik Is dari Putrajaya. Kak Mas khabarnya sudah berada di situ sejak petang tadi setelah tiba dengan penerbangannya  direct dari Pulau Pinang ke LCCT.

Dalam kegirangan hendak berlepas kami sedikit berdebar menantikan Yuyu yang lewat tiba. Namun akhirnya kami semua berjaya check-in dan melepasi pemeriksaan keselamatan dengan tiada masalah. Tepat jam 11.00 malam pesawat Air Asia D7506 selamat take-off dari LCTT untuk menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan.

Suasana dalam pesawat sungguh sunyi dan suram cahayanya. Suasana itu yang mengiringi kami tidur nyenyak menanti ketibaan esok di Korea.

Sebelum berlepas. Foto ehsan Lina.

Saturday, February 4, 2012

Hari Terakhir di Eropah : London

12 Jun (Ahad) London

Hari terakhir di benua Eropah ini terus menyuntik semangat kepada aku untuk mengembara di kota masyhur ini. Peluang yang tidak harus aku sia-siakan untuk memenuhi ruang waktu yang masih berbaki ini. Sarapan kami yang terakhir di apartment Kak Umi ini dinikmati dengan begitu ceria.

Kami berempat aku, Lin, Lina dan Su akan bersiar-siar di kota London ini manakala Aini dan Yuyu berkeputusan untuk berehat sahaja apartment ini. Pagi di London ini dihujani hujan renyai-renyai yang sungguh mendinginkan suasana. Mujurlah kami ada membawa baju hujan sebagai persediaan.

Sarapan pagi
Dalam perjalanan ke stesen underground Edgware Road aku sempat menempah teksi untuk kami pulang ke lapangan terbang Heathrow petang kelak. Aku menempah sebuah van untuk memuatkan kami berenam ditambah pula dengan beg-beg yang semakin beranak.
Menempah teksi untuk pulang

Stesen Edgware Road
Merasa berdiri walau ada ruang untuk duduk
Kami membeli 1 Day Travelcard untuk kami bebas mengembara menaiki London Underground dalam masa yang sungguh singkat ini. Dari stesen Edgware Road kami transit di stesen Baker Street untuk menukar line ke stesen Green Park pula. Kami berjalan kaki melalui sebuah taman dikenali sebagai Green Park. Memang sungguh hijau dan mendamaikan. 
Hijau bumi Tuhan
Selepas melalui Green Park tersergam indah Istana Buckingham di depan mata. Ia tetap ramai dipenuhi pelawat walau dalam suasana hujan renyai-renyai. Para pelancong termasuk kami tetap berdiri di depan pintu pagar walau `dihalau' oleh pengawal yang mengatakan hari ini tiada sesi pertukaran pengawal. Bukan apa, kami sekadar bergambar dan mencari idea untuk menghala ke destinasi seterusnya.


Merancang perjalanan
Dari istana kami berjalan kaki menyusuri Birdcage Walk, lorong yang dilitupi rimba menuju ke Westminster. Dalam perjalanan kami dihidangkan adegan mesra seekor tupai dan beberapa ekor burung merpati berkongsi makanan yang dihulurkan pejalan kaki di situ. Mereka sungguh jinak walaupun dibiar hidup bebas tanpa sangkar. Satu peristiwa yang amat jarang aku lihat di Malaysia yang menzahirkan kebebasan alam tumbuhan dan haiwan serta kasih sayang manusia yang bersatu menikmati nikmat alam. Tiada penganiayaan antara satu sama lain.
Kami melalui Big Ben menara jam tersohor di kota London ini. Ia merupakan jam loceng empat-muka yang terbesar di dunia yang siap dibina pada 10 April 1858.
Ikon-ikon London, Big Ben dan bas dua tingkat bersama penyeri

Pek pengembara yang lengkap dijual di mesin vendor dalam tandas

Kami menuju pula ke tebing Sungai Thames yang berhampiran stesen Westminster. Di situ terletaknya jeti cruise dan di seberang sungai sana tersergam indah The Eye of London.
Eye of London di seberang sungai
Kami meneruskan perjalanan dari stesen Westminster dan turun di stesen London Bridge. Kami berjalan kaki menyusuri Sungai Thames dan juga melewati London Bridge City Pier, jeti yang menempatkan catamaran yang digunakan sebagai medium pengangkutan menjelajahi London melalui Sungai Thames ini.
Di seberang sana tersergam megah Tower Bridge yang merentasi sungai kebanggaan London ini. Jambatan ini seringkali disalah anggap sebagai London Bridge, sebuah jambatan yang berada di sebelahnya. 
Tower Bridge di belakang sana
Masa yang semakin suntuk tidak menghalang kami singgah sebentar di Bayswater untuk membeli cendera kenangan buat kali terakhir. Puas juga Lin, Lina dan Sue memilih memorabilia London. T-shirt, magnet peti sejuk dan rantai kunci adalah benda wajib dibawa pulang.

Petang itu setelah siap segala-galanya teksi yang dinanti pun tiba. Kak Umi menghantar kami pulang sehingga MPV kami meluncur menghilangkan Kak Umi dari pandangan. Pengalaman tinggal di apartment Kak Umi adalah suatu yang menyeronokkan. Terasa bagai di Malaysia. Segala kemudahan berada berhampirannya. Di depannya pasar mini Tesco, juga terdapat deretan kedai barangan dan makanan halal yang kebanyakannya diusahakan oleh warga Arab. Stesen underground Edgware Road pun dekat. Semua ada.

Pemandu teksi kami seorang warga Afrika Muslim. Aku rancak berbual dengannya. Pelbagai topik kami berbicara yang diselangi dengan beberapa patah perkataan Arab. Boleh aku rumuskan beliau seorang Muslim yang baik, yang berusaha memelihara iman dan Islam ahli keluarganya di kota London ini dengan menghantar anak-anaknya ke sekolah agama. Beliau sendiri mengikuti pengajian Islam di peringkat diploma. Kagum juga aku dengan kefasihannya mengeluarkan dalil-dalil berupa hadith dan ayat Al-Quran sepanjang perbualan kami. Semoga Allah merahmati beliau sekeluarga.

Kami tiba di Lapangan Terbang Heathrow petang itu dalam cuaca yang agak dingin. Alhamdulillah kami tidak menghadapi sebarang masalah untuk pelepasan cuma sebahagian barangan Lin terpaksa dipindahkan ke Lina kerana overload untuk mengelakkan caj tambahan.

Tepat jam 10 malam pesawat kami MH001 berlepas dari Heathrow. Meninggalkan kota London dengan pelbagai kenangan manis. Tiga malam di London cukup membuatkan ia dekat hati. Jika ada rezeki insyaAllah tiada masalah untuk aku berlegar-legar di sana lagi. 


Lebih kurang jam 6 petang kami selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Selepas check-out tersempak pula kami dengan Dato' Chef Wan berkeseorangan yang turut pulang dari London. Memang dia amat peramah.


Alhamdulillah Dia telah memudahkan perjalanan kami sepanjang 18 hari di sana. Syukur padaNya yang mengurniakan kenikmatan yang tidak ternilai dengan pengembaraan ini. Memang benar kata-kata `Jauh perjalanan luas pengalaman' ini. Perjalanan yang menyaksikan betapa hebatnya Dia mencipta alam ini dan seluruh isinya. Perjalanan yang seharusnya mendekatkan lagi kami denganNya. Amin.
Musafir Kelana yang membawa pengertian bermusafir dan berkelana untuk dihayati

Sunday, January 8, 2012

Hari Kelima Belas Conquest of Europe : Paris-London

11 Jun (Sabtu) Paris ke London

Sungguh cepat rasanya masa berlalu. Hari ini adalah hari terakhir kami bersama-sama dalam acara berkelana ini. Pelbagai rasa bercampur aduk pagi di Paris ini. Merindui kenangan susah senang bersama selama 15 hari ini ditokok dengan kerinduan pada tanahair.

Sarapan pagi ini diraikan dengan meriah. Keceriaan terpancar di wajah-wajah para penumpang kedua-dua bas double decker ini. Masing-masing sibuk bergambar di hari terakhir ini tanpa mengira penumpang Bas 1 atau Bas 2.

Peserta wanita
Peserta lelaki

Dari kiri Siva, Anis, Vino, Helmi, Nana, makcik Raihan (bonda Nana & Helmi)
Kami sempat bergambar dengan adik-adik Dublin yang menjadi penyeri dalam kelana ini. Tidak lupa juga dengan para krew KC dan pemandu-pemandu kami yang penuh dedikasi bertugas. Aku kagum dengan mereka ini menjalankan amanah. Berkerja bersungguh-sungguh.
Geng Dublin, Helmi dan Husni
Para pemandu yang komited


Perjalanan pulang ke London ini tidak akan disertai oleh Kak Mas & Abg Zainal. Khabarnya mereka akan pulang ke Malaysia melalui Rome. Puas juga Kak Mas merayau-rayau meminta autograf setiap dari penumpang KC ini. 


Kak Mas & Abg Zainal bercerita dengan Abu

Para krew bersama peserta
Shaiful

Jam 9.50 pagi kami bertolak meninggalkan Paris menuju ke Calais. Perjalanan kira-kira 300 kilometer ini bakal mengambil masa lebih 3 jam di dalam perut bas. Kami akan menaiki feri Seafrance menyeberangi Selat Dover ke Dover, England.

Setiba di pelabuhan kami diberitakan bas kami tidak dapat menyusuli Bas 1 untuk menaiki feri bersama. Namun berkat rundingan pemandu Chris dengan pegawai di pelabuhan kami akhirnya dibenarkan belayar bersama-sama. Riuh rendah bas kami dengan pujian kepada Chris yang berjaya menjimatkan masa perjalanan dengan mengelakkan Bas 1 menunggu ketibaan kami di Dover.

Jenuh Chris berlari
Selepas parking di perut feri, kami menaiki lif untuk ke tingkat atas. Di atas sana terdapat lounge untuk para penumpang duduk merehatkan diri. Juga terdapat arked permainan video untuk hiburan seisi keluarga. Terdapat kafe untuk menghilangkan lapar dan dahaga. Kedai bebas cukai pula menerima matawang Euro mahupun Pound Sterling. 

Feri Seafrance berlayar dengan tenang sekali. Langit begitu cerah dan angin yang bertiup menyamankan suasana. Di atas dek sana riuh rendah dengan acara bergambar lagi. Aku sempat mengambil gambar seekor burung camar yang terbang rendah di paras kepala, terbang bersama-sama mengikuti haluan feri. Aku kagum dengan skil burung itu `mencucuk angin' seolah-olah gaya mat rempit mengekori treler. 
Camar terbang rendah


Bersama Farah, Kak Roziah, Ammar, Hanif, Shaiful & Siva
Menyantap french fries



Setelah sejam perjalanan kami tiba di Dover. Bas meneruskan perjalanan ke London dan akhirnya selamat tiba di Hyde Park Coach & Car Park. Aku sempat bersalaman dengan Tokey KC bro Hairul. Moga perniagaannya terus maju dan gemilang. 

Kami berjalan kaki dari tempat parking itu ke Malaysia Hall. Walaupun penat tetapi aku berasa seronok kerana semuanya sudah selamat ditambah pula keinginan ingin menjejak kaki ke Malaysia Hall. Di situ kami menjamah makanan sepuasnya melepas kerinduan pada makanan Malaysia. Menu aku petang itu ialah Nasi Beriyani. Sedap tatkala perut sedang kelaparan.
Selera Malaysia nasi berlauk pauk


Di kesempatan yang ada aku berjalan kaki ke Queensway untuk menempah teksi pulang ke rumah Kak Umi meninggalkan beg, Lin dan rakan-rakan di Malaysia Hall. Setiba teksi kami pulang dengan hati yang lega dan tenang. Syukur padaNya yang memudahkan perjalanan kami selamat tiba di London ini. Alhamdulillah.


Friday, December 23, 2011

Hari Keempat Belas Conquest of Europe : Paris

10 Jun (Jumaat) Paris

Alhamdulillah hari ini merupakan hari terakhir untuk kami bersiar-siar dalam Kelana Convoy ini. Kami akan bersiar-siar di sekitar kota Paris yang terkenal dengan kota cinta ini.

Bas menurunkan kami di tepi jalan. Diberi masa lebih kurang sejam maka bertebaranlah kami menyusuri kedai-kedai berjenama di sepanjang jalan itu. Kami lebih banyak menghabiskan masa untuk bergambar, tidak memasang niat dari Malaysia yang kami akan bershopping di Paris ini. Cuma Shaiful yang membuat surprise membeli beg di LV untuk Diyana. Riuh rendah juga suasana dalam bas dengan surprise Shaiful ini.



Kawasan perayauan kami ini digelar Avenue des Champs-Elyses. Ia adalah satu kawasan avenue yang berprestij di kota Paris ini. Dengan adanya pawagam, kafe-kafe, kedai berjenama mewah dan dirimbuni pokok Horse chestnut, menjadikan avenue ini antara yang terkenal dan hartanah termahal di dunia. 


Sebut sahaja nama-nama seperti Adidas, Benetton, Disney Store, Nike, Zara, Cartier, Toyota, Gap dan Sephora. Semuanya berada di barisan prestij ini. Juga jenama-jenama mewah seperti Louis Vuitton, Hugo Boss, Lancel dan Lacoste.

Kami juga di`terliurkan' oleh Abu dan krew-krew bahawa tidak sah kunjungan ke Paris ini jika tidak merasai keenakan kuih macarron di kedai tersohor Laduree yang sejarahnya bermula pada tahun 1862. Kami sempat membeli beberapa jenis macarron cuma untuk merasa kemanisannya. Memang manis.

Di luar kedai Laduree

Membelek kotak macarron

Kemudian kami dibawa pula ke gedung minyak wangi Fragonard. Kami terpaksa menunggu sebentar di luar kedai sementara mereka menyusun salesperson untuk melayan kehadiran rombongan kami seramai dua bas ini. Taklimat dimulakan dengan sejarah minyak wangi dari kaedah penyediaannya secara klasik sehinggalah secara moden.

Turut dipaparkan peta dunia dengan memaparkan negara-negara beserta hasil-hasil tumbuhan yang menyumbang kepada industri minyak wangi ini. Tidak ketinggalan negara Malaysia yang turut dilakarkan beserta sejenis tumbuhan yang aku lupa spesisnya.


Kami meneruskan kembara dengan mengikuti Abu. Abu memang lincah dan pantas dalam menyusun perjalanan ke tempat-tempat wajib dilawati. Memandangkan kesuntukan masa kami hanya mengambil gambar dari dalam bas monumen tersohor di Paris, Arc de Triomphe.

Arch of Triumph ini dibina pada tahun 1806 atas arahan Napoleon Bonaparte sebagai simbol kejayaannya menewaskan Austria dan Russia dalam Peperangan Austerlitz. Namun beliau tidak sempat menyaksikan simbol kejayaannya ini dibina sepenuhnya setelah beliau menerima hukuman buang daerah.


Arc de Triomphe
Kami mengikuti Abu dengan menaiki subway dan turun di persinggahan pertama untuk kami melawat Notre Dame de Paris yang bermaksud Our Lady of Paris. Walaupun kami kesuntukan masa ditambah pula dengan hujan yang turun namun kami tetap berkesempatan bergambar di hadapan gereja Katholik termasyhur di tengah-tengah kota Paris ini. Pembinaan gereja ini bermula pada tahun 1163 dan setelah melalui beberapa fasa pembinaan dan pemodelan semula ia siap sepenuhnya pada tahun 1345.

Di celah-celah hujan yang rintik ini kami sempat juga untuk membeli cenderamata di kedai-kedai yang disyorkan Abu. Adik-adik Dublin juga kelihatan memborong sakan di kota terakhir kelana kami ini.

Notre Dame de Paris


Seterusnya subway kami berhenti di Palais Royal-Musee de Louvre. Kami akan bergambar di persekitaran Muzium Louvre atau mudahnya disebut The Louvre, salah satu muzium yang terbesar di dunia dan muzium seni yang paling ramai dikunjungi pelawat. Muzium ini mempamerkan hampir 35,000 objek dari zaman prasejarah hingga ke kurun ke-19 dalam keluasannya seluas 60,600 meter persegi.

Muzium yang terkenal dengan lukisan Mona Lisa ini turut dihias dengan senibina moden berbentuk piramid di atasnya yang siap dibina pada tahun 1989.

Di tingkat bawah The Pyramid

The Pyramid
Kami terus mengembara ke destinasi terakhir kami di kota Paris ini, Menara Eiffel. Ikon paling masyhur di negara Perancis ini yang wajib dikunjungi. Menara ini dibina pada tahun 1889 bersempena sambutan seratus tahun Revolusi Perancis yang diberi nama sempena nama juruteranya Gustave Effiel.


Sementara menunggu masa untuk berangkat pulang kami mengambil keputusan untuk menaiki cruise pula. Kali ini hanya aku, Lin dan Lina sahaja menaiki cruise sementara rakan-rakan lain terus menikmati keindahan Menara Eiffel yang terletak bersebelahan dengan Port de La Bourdonnais, jeti pelepasan cruise Bateaux Parisiens kami.

Bot kami menyusuri Sungai Seine yang tebingnya disenarai dalam Tapak Warisan Dunia. Suasana petang itu sungguh nyaman sekali dengan panorama matahari yang bakal menenggelamkan dirinya. Angin bertiup lembut menyapa kami yang duduk di dalam bot di bahagian tidak berbumbung itu. Kami boleh memilih untuk menikmati pelayaran itu dengan mendengar penerangan tempat-tempat yang dilalui melalui alat pendengaran khas pelbagai bahasa, atau menikmatinya dengan bergambar semahu-mahunya.

Bot kami melalui 25 buah jambatan, 14 buah monumen, 4 buah muzium, 2 buah pulau, Gereja Notre-Dame, Menara Eiffel dan Statue of Liberty. Pelayaran selama sejam ini sungguh mengasyikkan dengan pemandangan tempat-tempat bersejarah di Paris ini.





Selesai pelayaran kami kembali berhimpun di tebing Sungai Seine, di kaki Menara Eiffel. Bas-bas kami sudah tersedia menunggu. Kami sempat bersolat di tepi bas bersama adik-adik Dublin, dikhuatiri tidak sempat mengerjakannya di kem nanti. Kami juga sempat membeli ole-ole terakhir berupa rantai kunci dan replika Menara Eiffel dari para penjual dari benua Afrika yang berkeliaran ramai di situ. Puas juga aku sparring berbahasa Arab dengan seorang penjual dari Senegal tidak silap aku. Namun puas diminta diskaun, tidak pula diberinya.

Alhamdulillah selesai segalanya bas mula bergerak pulang. Pengalaman seharian di kota Paris ini memang menyeronokkan kami. Baru aku alami bahawa ketenangan air Sungai Seine di sisi megahnya Menara Eiffel ini menjadi antara penyebab aku percaya Paris ini digelar City of Love.