Showing posts with label Pisa. Show all posts
Showing posts with label Pisa. Show all posts

Monday, October 10, 2011

Hari Kesepuluh Conquest of Europe : Pisa-Lauterbrunnen

6 Jun (Isnin) Pisa ke Lauterbrunnen (Switzerland)

Alhamdulillah pagi ini masuk hari kesepuluh kami berkelana. Hari ini merupakan hari terakhir kami di negara Itali ini sebelum meneruskan perjalanan memasuki Switzerland. Sempat juga aku menjamah roti untuk mengalas perut sebelum berjalan jauh.

Pagi yang terluang ini sempat aku beronline sementara Lin asyik mengambil gambar. Kelekaan kami menyebabkan kami merupakan orang terakhir memuat beg ke dalam perut bas. Penat juga kulihat krew Fizi melayan karenah kami untuk menyusun semula beg-beg yang telah dimuat.

Sedang bas mula bergerak meninggalkan tapak kem, tiba-tiba cermin kiri di pintu kiri sisi pemandu pecah. Entah apa yang dilanggar oleh Cris. Namun berkat kepakaran dan kekreatifan para krew membolehkan bas bergerak juga dengan tudung periuk digunakan menggantikan cermin yang pecah.

Jam 9.46 pagi kami meneruskan perjalanan ke Lauterbrunnen, Switzerland yang jaraknya kira-kira 560 kilometer dari Pisa ini. Selepas meninggalkan Pisa bas mula memasuki kawasan pesisir pantai di sebelah kiri kami yang pemandangannya begitu mengasyikkan. Di sebelah kanan kami pula deretan bukit-bukau berbatu marmar.

Meneruskan perjalanan kami diberitahu tidak akan singgah di bandar Milan hanya sekadar melalui di pinggirannya. Memandangkan rombongan ini bukannya membawa para pereka fesyen maka cukuplah sekadar kami melepasi signboard Milan.

Kami melepasi sempadan Itali-Switzerland pada jam 3.05 petang. Sejam setengah kemudian kami singgah di sebuah stesen minyak untuk berehat dan menunaikan solat. Solat diimamkan oleh Ustaz Dahari ayah kepada Husni. Di situ sempat kami membeli poskad, setem dan terus mengeposnya untuk saudara mara di Malaysia.
Solat berjemaah

Ibu dan ayah yang cuba menyatukan dua benua


Tudung periuk yang menggantikan cermin pecah
Selesai semuanya kami meneruskan perjalanan. Kami juga melalui terowong San Gottardo yang menembusi bukit-bukau yang cantik ini. Terowong yang panjangnya 16.4 kilometer ini merupakan yang ketiga terpanjang di dunia selepas China dan Norway. Terbayang aku melalui terowong Menora Lebuhraya PLUS di Changkat Jering.

Menyusuri jalan-jalan menghala ke Lauterbrunnen ini sememangnya menjanjikan pengalaman yang cukup menarik. Pada aku pemandangan di sepanjang jalan ini adalah yang tercantik dalam pengembaraan kami ini. Kami dihidangkan dengan bukit bukau yang menghijau. Sungai-sungai yang mengalirkan air jernih, deras dan dingin. Kawasan penempatan yang berserak bersih dan nyaman. Puncak-puncak gunung yang memutih dengan salji sepanjang masa walau di kaki bersuhu suam disinar cahaya.

Kami berpeluang singgah di Brunig Outdoor Panorama Restaurant. Sebuah kawasan tinjau di lereng bukit yang membolehkan para pengunjung menikmati keindahan perkampungan dan tasik Lungern ciptaanNya. Maha Suci Dia!



Air mengalir deras, jernih dan dingin
Sajli di puncak pergunungan
Lebih kurang jam 7.45 malam kami selamat tiba di Schutzenbach campsite. Kem yang sederhana besar ini dilihat cukup indah kerana berada di kawasan lembah yang diapit oleh bukit yang mencurahkan air terjun.
Air terjun di depan kem
Setelah selesai makan malam kami kembali ke bilik kabin. Kabin ini mampu memuatkan 4 orang dewasa. Aku dan Lin bermalam di sini bersama Shaiful dan Diyana. Kami harus tidur segera kerana esok merupakan acara kemuncak yang ditunggu-tunggu.
Kabin kayu memberikan sedikit haba panas


Sunday, October 2, 2011

Hari Kesembilan Conquest of Europe : Rome-Pisa

 5 Jun (Ahad) Rome ke Pisa

Pagi ini merupakan hari terakhir kami di kota Rome. Kami akan meneruskan perjalanan ke Pisa untuk melawat menara condong yang terkenal itu. Di kesempatan masa yang terluang sebelum bas bergerak aku sempat bersiar-siar di dalam campsite ini.

Sejak kelmarin di kota Rome lagi aku perhatikan terdapat beberapa kedai buku yang menawarkan tukaran buku secara percuma. Suatu yang agak asing di Malaysia. Budaya ilmu ini agak meluas hinggakan dalam mini-market di kem ini turut diletakkan sebakul buku-buku untuk tukaran.
Peluang untuk menyelitkan bahasa Melayu di kota Rome
Bas mula bergerak pada jam 9.15 pagi. Jarak dari kem ini ke Pisa kira-kira 360 kilometer yang mengambil masa hampir 4 jam. Di pertengahan perjalanan Abu memberitahu kami terdapat sekumpulan wanita yang sambil bersahaja menunggu pelanggan di tepi jalan, menjual tubuh. Maka bermulalah di dalam bas aktiviti mengira wajah-wajah mereka yang disyaki di sebalik semak samun. Riuh rendah suasana di dalam bas jadinya.

Dalam perjalanan ke utara Itali ini, kami berhenti di L'Arca sebuah pusat membeli belah. Ia seakan gedung hipermarket yang banyak terdapat di Malaysia. Di sini krew memberi kami masa kira-kira sejam untuk berehat dan membeli makanan kerana makan tengahari tidak disediakan hari ini. Di samping para krew juga berkesempatan untuk membeli bahan-bahan masakan kerana sudah kekurangan bekalan untuk hari-hari selanjutnya.

Kebanyakan kami membeli roti, kek, buah-buahan dan minuman. Tidak lupa makanan ringan wajib seperti kerepek kentang dan coklat.


Setelah membeli belah kami meneruskan perjalanan. Suasana di dalam bas kembali riuh rendah dengan acara bertukar makanan. Yuyu dan Aini tidak lokek menjamu kami di belakang mereka. Begitu juga Azie dan Ros yang duduk di depan Lina dan Sue. Shaiful dan Diyana bersama geng Ireland dan Kanada di sebelah dan belakang mereka. Kami semua saling menjamah.

Kami tiba di kem Torre Pendente kira-kira jam 4.05 petang. Petang yang masih awal ini membolehkan kami melawat menara condong Pisa yang jaraknya kira-kira hanya 800 meter. Setelah menyimpan beg di dalam kabin kami terus berjalan kaki beramai-ramai menuju ke menara.
Menara condong Pisa ini terletak di dalam kawasan bertembok Piazza del Duomo atau Cathedral Square yang turut tersenarai dalam Tapak Warisan Dunia UNESCO. Dikhabarkan menara ini mula dibina pada tahun 1172 setinggi 58.36 meter. Kecondongannya dicatat sebanyak 3.9 meter dari kedudukan menegak dan mempunyai sebanyak 7 buah loceng.


Petang yang berangin itu sudah mula menjelmakan awan hitam. Kami harus bersiap sedia untuk pulang. Semasa langkah pulang sempat lagi kaki menyinggah di deretan kedai cenderamata. Aku mengambil keputusan untuk berhenti lama di sekumpulan peniaga warga Bangladesh. Kemasyhuran nama Malaysia sudah tidak asing lagi bagi warga Bangladesh ini apabila ada antara mereka yang boleh mengajuk-ajuk berbahasa Melayu.

Selesai sahaja membeli membeli cenderamata hujan mulai turun. Mujurlah Lin membawa baju hujan dan kami mengambil keputusan untuk terus berjalan kaki pulang.
Hujan hanya rintik-rintik

Setiba di kem makanan sudah tersedia dimasak oleh krew. Kedinginan petang itu membolehkan kami berborak panjang sambil menikmati makanan dengan ramuan yang baru dibeli di pasaraya tadi.