Showing posts with label London. Show all posts
Showing posts with label London. Show all posts

Saturday, February 4, 2012

Hari Terakhir di Eropah : London

12 Jun (Ahad) London

Hari terakhir di benua Eropah ini terus menyuntik semangat kepada aku untuk mengembara di kota masyhur ini. Peluang yang tidak harus aku sia-siakan untuk memenuhi ruang waktu yang masih berbaki ini. Sarapan kami yang terakhir di apartment Kak Umi ini dinikmati dengan begitu ceria.

Kami berempat aku, Lin, Lina dan Su akan bersiar-siar di kota London ini manakala Aini dan Yuyu berkeputusan untuk berehat sahaja apartment ini. Pagi di London ini dihujani hujan renyai-renyai yang sungguh mendinginkan suasana. Mujurlah kami ada membawa baju hujan sebagai persediaan.

Sarapan pagi
Dalam perjalanan ke stesen underground Edgware Road aku sempat menempah teksi untuk kami pulang ke lapangan terbang Heathrow petang kelak. Aku menempah sebuah van untuk memuatkan kami berenam ditambah pula dengan beg-beg yang semakin beranak.
Menempah teksi untuk pulang

Stesen Edgware Road
Merasa berdiri walau ada ruang untuk duduk
Kami membeli 1 Day Travelcard untuk kami bebas mengembara menaiki London Underground dalam masa yang sungguh singkat ini. Dari stesen Edgware Road kami transit di stesen Baker Street untuk menukar line ke stesen Green Park pula. Kami berjalan kaki melalui sebuah taman dikenali sebagai Green Park. Memang sungguh hijau dan mendamaikan. 
Hijau bumi Tuhan
Selepas melalui Green Park tersergam indah Istana Buckingham di depan mata. Ia tetap ramai dipenuhi pelawat walau dalam suasana hujan renyai-renyai. Para pelancong termasuk kami tetap berdiri di depan pintu pagar walau `dihalau' oleh pengawal yang mengatakan hari ini tiada sesi pertukaran pengawal. Bukan apa, kami sekadar bergambar dan mencari idea untuk menghala ke destinasi seterusnya.


Merancang perjalanan
Dari istana kami berjalan kaki menyusuri Birdcage Walk, lorong yang dilitupi rimba menuju ke Westminster. Dalam perjalanan kami dihidangkan adegan mesra seekor tupai dan beberapa ekor burung merpati berkongsi makanan yang dihulurkan pejalan kaki di situ. Mereka sungguh jinak walaupun dibiar hidup bebas tanpa sangkar. Satu peristiwa yang amat jarang aku lihat di Malaysia yang menzahirkan kebebasan alam tumbuhan dan haiwan serta kasih sayang manusia yang bersatu menikmati nikmat alam. Tiada penganiayaan antara satu sama lain.
Kami melalui Big Ben menara jam tersohor di kota London ini. Ia merupakan jam loceng empat-muka yang terbesar di dunia yang siap dibina pada 10 April 1858.
Ikon-ikon London, Big Ben dan bas dua tingkat bersama penyeri

Pek pengembara yang lengkap dijual di mesin vendor dalam tandas

Kami menuju pula ke tebing Sungai Thames yang berhampiran stesen Westminster. Di situ terletaknya jeti cruise dan di seberang sungai sana tersergam indah The Eye of London.
Eye of London di seberang sungai
Kami meneruskan perjalanan dari stesen Westminster dan turun di stesen London Bridge. Kami berjalan kaki menyusuri Sungai Thames dan juga melewati London Bridge City Pier, jeti yang menempatkan catamaran yang digunakan sebagai medium pengangkutan menjelajahi London melalui Sungai Thames ini.
Di seberang sana tersergam megah Tower Bridge yang merentasi sungai kebanggaan London ini. Jambatan ini seringkali disalah anggap sebagai London Bridge, sebuah jambatan yang berada di sebelahnya. 
Tower Bridge di belakang sana
Masa yang semakin suntuk tidak menghalang kami singgah sebentar di Bayswater untuk membeli cendera kenangan buat kali terakhir. Puas juga Lin, Lina dan Sue memilih memorabilia London. T-shirt, magnet peti sejuk dan rantai kunci adalah benda wajib dibawa pulang.

Petang itu setelah siap segala-galanya teksi yang dinanti pun tiba. Kak Umi menghantar kami pulang sehingga MPV kami meluncur menghilangkan Kak Umi dari pandangan. Pengalaman tinggal di apartment Kak Umi adalah suatu yang menyeronokkan. Terasa bagai di Malaysia. Segala kemudahan berada berhampirannya. Di depannya pasar mini Tesco, juga terdapat deretan kedai barangan dan makanan halal yang kebanyakannya diusahakan oleh warga Arab. Stesen underground Edgware Road pun dekat. Semua ada.

Pemandu teksi kami seorang warga Afrika Muslim. Aku rancak berbual dengannya. Pelbagai topik kami berbicara yang diselangi dengan beberapa patah perkataan Arab. Boleh aku rumuskan beliau seorang Muslim yang baik, yang berusaha memelihara iman dan Islam ahli keluarganya di kota London ini dengan menghantar anak-anaknya ke sekolah agama. Beliau sendiri mengikuti pengajian Islam di peringkat diploma. Kagum juga aku dengan kefasihannya mengeluarkan dalil-dalil berupa hadith dan ayat Al-Quran sepanjang perbualan kami. Semoga Allah merahmati beliau sekeluarga.

Kami tiba di Lapangan Terbang Heathrow petang itu dalam cuaca yang agak dingin. Alhamdulillah kami tidak menghadapi sebarang masalah untuk pelepasan cuma sebahagian barangan Lin terpaksa dipindahkan ke Lina kerana overload untuk mengelakkan caj tambahan.

Tepat jam 10 malam pesawat kami MH001 berlepas dari Heathrow. Meninggalkan kota London dengan pelbagai kenangan manis. Tiga malam di London cukup membuatkan ia dekat hati. Jika ada rezeki insyaAllah tiada masalah untuk aku berlegar-legar di sana lagi. 


Lebih kurang jam 6 petang kami selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Selepas check-out tersempak pula kami dengan Dato' Chef Wan berkeseorangan yang turut pulang dari London. Memang dia amat peramah.


Alhamdulillah Dia telah memudahkan perjalanan kami sepanjang 18 hari di sana. Syukur padaNya yang mengurniakan kenikmatan yang tidak ternilai dengan pengembaraan ini. Memang benar kata-kata `Jauh perjalanan luas pengalaman' ini. Perjalanan yang menyaksikan betapa hebatnya Dia mencipta alam ini dan seluruh isinya. Perjalanan yang seharusnya mendekatkan lagi kami denganNya. Amin.
Musafir Kelana yang membawa pengertian bermusafir dan berkelana untuk dihayati

Sunday, January 8, 2012

Hari Kelima Belas Conquest of Europe : Paris-London

11 Jun (Sabtu) Paris ke London

Sungguh cepat rasanya masa berlalu. Hari ini adalah hari terakhir kami bersama-sama dalam acara berkelana ini. Pelbagai rasa bercampur aduk pagi di Paris ini. Merindui kenangan susah senang bersama selama 15 hari ini ditokok dengan kerinduan pada tanahair.

Sarapan pagi ini diraikan dengan meriah. Keceriaan terpancar di wajah-wajah para penumpang kedua-dua bas double decker ini. Masing-masing sibuk bergambar di hari terakhir ini tanpa mengira penumpang Bas 1 atau Bas 2.

Peserta wanita
Peserta lelaki

Dari kiri Siva, Anis, Vino, Helmi, Nana, makcik Raihan (bonda Nana & Helmi)
Kami sempat bergambar dengan adik-adik Dublin yang menjadi penyeri dalam kelana ini. Tidak lupa juga dengan para krew KC dan pemandu-pemandu kami yang penuh dedikasi bertugas. Aku kagum dengan mereka ini menjalankan amanah. Berkerja bersungguh-sungguh.
Geng Dublin, Helmi dan Husni
Para pemandu yang komited


Perjalanan pulang ke London ini tidak akan disertai oleh Kak Mas & Abg Zainal. Khabarnya mereka akan pulang ke Malaysia melalui Rome. Puas juga Kak Mas merayau-rayau meminta autograf setiap dari penumpang KC ini. 


Kak Mas & Abg Zainal bercerita dengan Abu

Para krew bersama peserta
Shaiful

Jam 9.50 pagi kami bertolak meninggalkan Paris menuju ke Calais. Perjalanan kira-kira 300 kilometer ini bakal mengambil masa lebih 3 jam di dalam perut bas. Kami akan menaiki feri Seafrance menyeberangi Selat Dover ke Dover, England.

Setiba di pelabuhan kami diberitakan bas kami tidak dapat menyusuli Bas 1 untuk menaiki feri bersama. Namun berkat rundingan pemandu Chris dengan pegawai di pelabuhan kami akhirnya dibenarkan belayar bersama-sama. Riuh rendah bas kami dengan pujian kepada Chris yang berjaya menjimatkan masa perjalanan dengan mengelakkan Bas 1 menunggu ketibaan kami di Dover.

Jenuh Chris berlari
Selepas parking di perut feri, kami menaiki lif untuk ke tingkat atas. Di atas sana terdapat lounge untuk para penumpang duduk merehatkan diri. Juga terdapat arked permainan video untuk hiburan seisi keluarga. Terdapat kafe untuk menghilangkan lapar dan dahaga. Kedai bebas cukai pula menerima matawang Euro mahupun Pound Sterling. 

Feri Seafrance berlayar dengan tenang sekali. Langit begitu cerah dan angin yang bertiup menyamankan suasana. Di atas dek sana riuh rendah dengan acara bergambar lagi. Aku sempat mengambil gambar seekor burung camar yang terbang rendah di paras kepala, terbang bersama-sama mengikuti haluan feri. Aku kagum dengan skil burung itu `mencucuk angin' seolah-olah gaya mat rempit mengekori treler. 
Camar terbang rendah


Bersama Farah, Kak Roziah, Ammar, Hanif, Shaiful & Siva
Menyantap french fries



Setelah sejam perjalanan kami tiba di Dover. Bas meneruskan perjalanan ke London dan akhirnya selamat tiba di Hyde Park Coach & Car Park. Aku sempat bersalaman dengan Tokey KC bro Hairul. Moga perniagaannya terus maju dan gemilang. 

Kami berjalan kaki dari tempat parking itu ke Malaysia Hall. Walaupun penat tetapi aku berasa seronok kerana semuanya sudah selamat ditambah pula keinginan ingin menjejak kaki ke Malaysia Hall. Di situ kami menjamah makanan sepuasnya melepas kerinduan pada makanan Malaysia. Menu aku petang itu ialah Nasi Beriyani. Sedap tatkala perut sedang kelaparan.
Selera Malaysia nasi berlauk pauk


Di kesempatan yang ada aku berjalan kaki ke Queensway untuk menempah teksi pulang ke rumah Kak Umi meninggalkan beg, Lin dan rakan-rakan di Malaysia Hall. Setiba teksi kami pulang dengan hati yang lega dan tenang. Syukur padaNya yang memudahkan perjalanan kami selamat tiba di London ini. Alhamdulillah.


Monday, June 27, 2011

Conquest of Europe 2011

26/5/2011 Khamis

Alhamdulillah pagi ini aku rasakan segar setelah 2-3 hari sebelum ini aku mengalami batuk-batuk dan rasa tidak sedap badan, mungkin petanda aku akan mengalami demam, selsema atau batuk. Tapi pagi ini alhamdulillah dengan semangat yang berkobar-kobar aku bersama isteri, Lin keluar dari rumah jam 7.20 pagi untuk memandu ke KL Sentral. Terima kasih Ela yang sudah menunggu di ruang Pelepasan untuk membawa keretaku pulang untuk disimpan di pejabat. Semasa menyerahkan kereta aku memberitahu Ela bahawa adikku Basit akan mengambil kereta di pejabat selang beberapa hari kelak untuk kegunaannya seharian.

Tidak lama di ruang check-in ini Lina pun datang untuk bersama-sama check-in penerbangan MH004 ke London yang bakal bertolak pada jam 10.05 pagi. Selesai sarapan kami menaiki KLIA Ekspres dan tiba di KLIA jam 9.00 pagi. Beberapa kali Aini dan Yuyu yang sudah tiba di KLIA menelefon kami bertanyakan lokasi kami. Risaukan kami yang masih belum muncul. Di dalam tren sempat aku menelefon mak dan bapak untuk mendoakan kesejahteraan kami di sana.

Setelah tiba di KLIA kami segera bergegas untuk melepasi segala pemeriksaan. Mujurlah segalanya berjalan lancar dan alhamdulillah pesawat kami selamat berlepas walaupun lewat 10 minit dari jadual.

Di dalam pesawat dalam diam-diam kondisi tubuh badan aku mula berubah. Aku mengalami demam yang agak teruk hinggakan 2 kali aku meminta paracetamol daripada pramugari yang budiman. Bukan setakat itu, tanpa dipinta beliau juga membawa karung plastik berisi ais untuk ditelap pada dahiku. Sungguh istimewa layanan MAS. Seiring dengan slogan Malaysian Hospitality yang dibawa mereka. Syabas!


Magnum mungkin boleh mengubat demam aku

Perjalanan yang mengambil masa kira-kira 13 jam 20 minit itu benar-benar aku rasakan begitu lama. Lebih kurang jam 4.14 petang waktu London kami selamat mendarat di Terminal 4 Lapangan Terbang Heathrow. Jam di tangan harus disesuai menurut waktu London, yang 7 jam lewat dari waktu Kuala Lumpur.

Alhamdulillah perjalanan kami dipermudahkanNya. Tiada masalah untuk pelepasan di kaunter imigresen. Pegawainya pula seorang Muslimah bertudung. Berjalan kami menuju ke ruang ketibaan dan kelihatan seorang lelaki yang memegang placard tertera nama aku. Kami terus menuju kepadanya. Seingat aku Robert namanya. Beliau seorang warga Sri Lanka yang akan memandu teksi membawa kami pulang ke Apartment Kak Umi, penginapan kami sepanjang berada di London.

Tempahan teksi yang dibuat secara online aku rasakan sungguh efisyen kerana tanpa sebarang emel mahupun telefon sudah tersedia pemandu itu pada waktunya. Sepanjang perjalanan pemandunya lebih selesa mendiamkan diri, cuma aku yang terlebih rajin mengajaknya berbual.

Pose pertama di Heathrow

Penumpang di belakang, Lin, Lina, Aini dan Yuyu tidak rancak berbual. Kaget dengan kotaraya London agaknya. Lebih kurang sejam kami tiba di Church Street di Edgware Road namun berpusing-pusing juga teksi MPV ini mencari lokasi. Setelah dihubungi Kak Umi akhirnya kami tiba di deretan rumah kedai. Kak Umi sudah menunggu kami di tepi jalan apartmentnya berhadapan dengan Tesco Stores ala-ala mini market.

Setelah selesai memunggah barang dan solat, aku mula membelek-belek kamera yang akan memulakan tugas rasminya esok hari. Oh tidak! kit-lens rosak. Fungsi auto-focus tidak berfungsi baik. Mujurlah aku ada membawa lensa tambahan tapi 50mm..

Malamnya kami mula berkenalan dengan Sue, teman pengiring Lina. Panjang ceritanya bagaimana kami bersatu dalam kumpulan Razy ini. Perut mula kelaparan. Dengan penuh confident kami berjalan kaki di sepanjang Church Street itu mencari kedai makan. Petang tadi berderet kedai makanan Arab masih dibuka. Tapi sekarang semuanya sudah ditutup. Mujurlah kami menemui sebuah kedai kebab dan burger yang masih dibuka. Alhamdulillah sebiji kebabnya sudah mampu mengenyangkan perut kami berdua. Terpaksa kami tapaw sebiji kebab lagi untuk dibawa pulang.
Memilih aneka kebab, burger & pizza