Monday, November 11, 2013

Hari Keenam di Korea : Pulau Nami

Pagi ini kami akan mengembara ke Pulau Nami. Ya! Pulau yang terkenal di kalangan peminat drama Korea Winter Sonata, kerana di pulau inilah pengambarannya berlangsung. Pengembaraan kami hari ini akan dipimpin oleh Aman. Giliran Azri berehat pula.

Hampir sejam perjalanan menaiki tren dari Seoul, kami tiba di stesen lokasi dengan menaiki teksi pula untuk ke jeti. Suasana di jeti meriah dengan para pelancong dengan tiupan angin dingin menusuk tubuh. Perjalanan menaiki feri ke Pulau Nami hanya mengambil masa lebih kurang lima minit.

Pulau Nami atau dalam bahasa tempatannya disebut Namiseom merupakan pulau kecil berbentuk bulan separa. Pulau Nami boleh digambarkan sebagai yang tempat yang sempurna menghimpunkan elemen kebudayaan dan percutian dalam suasana aman harmoni dan semulajadi. Sebaik menjejak kaki di sini, kami disambut oleh rimbunan hutan yang pokok-pokok hijaunnya menjulang ke langit. Tanah berumput yang terbuka dihuni oleh burung-burung unta, arnab, tupai, itik dan burung merak turut menyambut kehadiran kami bersama keindahan bunga-bunga liar.




Di Pulau Nami ini, para artis dari seluruh dunia menghimpunkan karya-karya mereka dan berkongsi rasa damai yang diterjemahkan dari keunikan pulau ini. Pulau ini juga merupakan tempat berlangsungnya acara-acara kebudayaan yang diadakan setiap minggu, menjadikannya daya penarik bagi pelancongan kebudayaan dan artistik di Korea ini.

Pada tahun 2006, pulau ini telah diisytiharkan pusat pelancongan di Korea yang mempunyai daya tarikan tersendiri yang mengisytiharkan kemerdekaan budayanya tersendiri dan diberi nama Republik Naminara. Ia mempunyai bendera tersendiri, lagu kebangsaan, matawang, pasport, kad telefon, setem, ortografi dan juga sijil kerakyatan.


Pohon-pohon Metasequoia



Kami bertolak pulang ke Seoul dan tiba pada waktu malam yang menyaksikan kota Seoul masih belum tidur. Aman membawa kami bersiar-siar di Idae, satu kawasan yang malamnya hidup dengan muda mudi para pelajar universiti khususnya keluar menikmati makan malam atau membeli belah. Bila perut sudah lapar, hidangan makan malam di Idae ini sungguh menyelerakan!