Friday, December 23, 2011

Hari Keempat Belas Conquest of Europe : Paris

10 Jun (Jumaat) Paris

Alhamdulillah hari ini merupakan hari terakhir untuk kami bersiar-siar dalam Kelana Convoy ini. Kami akan bersiar-siar di sekitar kota Paris yang terkenal dengan kota cinta ini.

Bas menurunkan kami di tepi jalan. Diberi masa lebih kurang sejam maka bertebaranlah kami menyusuri kedai-kedai berjenama di sepanjang jalan itu. Kami lebih banyak menghabiskan masa untuk bergambar, tidak memasang niat dari Malaysia yang kami akan bershopping di Paris ini. Cuma Shaiful yang membuat surprise membeli beg di LV untuk Diyana. Riuh rendah juga suasana dalam bas dengan surprise Shaiful ini.



Kawasan perayauan kami ini digelar Avenue des Champs-Elyses. Ia adalah satu kawasan avenue yang berprestij di kota Paris ini. Dengan adanya pawagam, kafe-kafe, kedai berjenama mewah dan dirimbuni pokok Horse chestnut, menjadikan avenue ini antara yang terkenal dan hartanah termahal di dunia. 


Sebut sahaja nama-nama seperti Adidas, Benetton, Disney Store, Nike, Zara, Cartier, Toyota, Gap dan Sephora. Semuanya berada di barisan prestij ini. Juga jenama-jenama mewah seperti Louis Vuitton, Hugo Boss, Lancel dan Lacoste.

Kami juga di`terliurkan' oleh Abu dan krew-krew bahawa tidak sah kunjungan ke Paris ini jika tidak merasai keenakan kuih macarron di kedai tersohor Laduree yang sejarahnya bermula pada tahun 1862. Kami sempat membeli beberapa jenis macarron cuma untuk merasa kemanisannya. Memang manis.

Di luar kedai Laduree

Membelek kotak macarron

Kemudian kami dibawa pula ke gedung minyak wangi Fragonard. Kami terpaksa menunggu sebentar di luar kedai sementara mereka menyusun salesperson untuk melayan kehadiran rombongan kami seramai dua bas ini. Taklimat dimulakan dengan sejarah minyak wangi dari kaedah penyediaannya secara klasik sehinggalah secara moden.

Turut dipaparkan peta dunia dengan memaparkan negara-negara beserta hasil-hasil tumbuhan yang menyumbang kepada industri minyak wangi ini. Tidak ketinggalan negara Malaysia yang turut dilakarkan beserta sejenis tumbuhan yang aku lupa spesisnya.


Kami meneruskan kembara dengan mengikuti Abu. Abu memang lincah dan pantas dalam menyusun perjalanan ke tempat-tempat wajib dilawati. Memandangkan kesuntukan masa kami hanya mengambil gambar dari dalam bas monumen tersohor di Paris, Arc de Triomphe.

Arch of Triumph ini dibina pada tahun 1806 atas arahan Napoleon Bonaparte sebagai simbol kejayaannya menewaskan Austria dan Russia dalam Peperangan Austerlitz. Namun beliau tidak sempat menyaksikan simbol kejayaannya ini dibina sepenuhnya setelah beliau menerima hukuman buang daerah.


Arc de Triomphe
Kami mengikuti Abu dengan menaiki subway dan turun di persinggahan pertama untuk kami melawat Notre Dame de Paris yang bermaksud Our Lady of Paris. Walaupun kami kesuntukan masa ditambah pula dengan hujan yang turun namun kami tetap berkesempatan bergambar di hadapan gereja Katholik termasyhur di tengah-tengah kota Paris ini. Pembinaan gereja ini bermula pada tahun 1163 dan setelah melalui beberapa fasa pembinaan dan pemodelan semula ia siap sepenuhnya pada tahun 1345.

Di celah-celah hujan yang rintik ini kami sempat juga untuk membeli cenderamata di kedai-kedai yang disyorkan Abu. Adik-adik Dublin juga kelihatan memborong sakan di kota terakhir kelana kami ini.

Notre Dame de Paris


Seterusnya subway kami berhenti di Palais Royal-Musee de Louvre. Kami akan bergambar di persekitaran Muzium Louvre atau mudahnya disebut The Louvre, salah satu muzium yang terbesar di dunia dan muzium seni yang paling ramai dikunjungi pelawat. Muzium ini mempamerkan hampir 35,000 objek dari zaman prasejarah hingga ke kurun ke-19 dalam keluasannya seluas 60,600 meter persegi.

Muzium yang terkenal dengan lukisan Mona Lisa ini turut dihias dengan senibina moden berbentuk piramid di atasnya yang siap dibina pada tahun 1989.

Di tingkat bawah The Pyramid

The Pyramid
Kami terus mengembara ke destinasi terakhir kami di kota Paris ini, Menara Eiffel. Ikon paling masyhur di negara Perancis ini yang wajib dikunjungi. Menara ini dibina pada tahun 1889 bersempena sambutan seratus tahun Revolusi Perancis yang diberi nama sempena nama juruteranya Gustave Effiel.


Sementara menunggu masa untuk berangkat pulang kami mengambil keputusan untuk menaiki cruise pula. Kali ini hanya aku, Lin dan Lina sahaja menaiki cruise sementara rakan-rakan lain terus menikmati keindahan Menara Eiffel yang terletak bersebelahan dengan Port de La Bourdonnais, jeti pelepasan cruise Bateaux Parisiens kami.

Bot kami menyusuri Sungai Seine yang tebingnya disenarai dalam Tapak Warisan Dunia. Suasana petang itu sungguh nyaman sekali dengan panorama matahari yang bakal menenggelamkan dirinya. Angin bertiup lembut menyapa kami yang duduk di dalam bot di bahagian tidak berbumbung itu. Kami boleh memilih untuk menikmati pelayaran itu dengan mendengar penerangan tempat-tempat yang dilalui melalui alat pendengaran khas pelbagai bahasa, atau menikmatinya dengan bergambar semahu-mahunya.

Bot kami melalui 25 buah jambatan, 14 buah monumen, 4 buah muzium, 2 buah pulau, Gereja Notre-Dame, Menara Eiffel dan Statue of Liberty. Pelayaran selama sejam ini sungguh mengasyikkan dengan pemandangan tempat-tempat bersejarah di Paris ini.





Selesai pelayaran kami kembali berhimpun di tebing Sungai Seine, di kaki Menara Eiffel. Bas-bas kami sudah tersedia menunggu. Kami sempat bersolat di tepi bas bersama adik-adik Dublin, dikhuatiri tidak sempat mengerjakannya di kem nanti. Kami juga sempat membeli ole-ole terakhir berupa rantai kunci dan replika Menara Eiffel dari para penjual dari benua Afrika yang berkeliaran ramai di situ. Puas juga aku sparring berbahasa Arab dengan seorang penjual dari Senegal tidak silap aku. Namun puas diminta diskaun, tidak pula diberinya.

Alhamdulillah selesai segalanya bas mula bergerak pulang. Pengalaman seharian di kota Paris ini memang menyeronokkan kami. Baru aku alami bahawa ketenangan air Sungai Seine di sisi megahnya Menara Eiffel ini menjadi antara penyebab aku percaya Paris ini digelar City of Love.


Thursday, December 8, 2011

Hari Ketiga Belas Conquest of Europe : Disneyland Paris

9 Jun (Khamis) Disneyland Paris

Tiket untuk memasuki 2 taman tema
Selepas bersarapan pagi ini kami terus bergerak ke Disneyland Paris, taman tema permainan yang sentiasa menjadi idaman kunjungan pelawat ke Paris ini. Perjalanan dari campsite mengambil jarak kira-kira 20 kilometer yang memakan masa selama 20 minit.

Kami tiba di perkarangan parking bas kira-kira jam 8.30 pagi. Setelah melepasi pemeriksaan tiket kami membuat keputusan untuk mengunjungi Walt Disney Studios Park terlebih dahulu kemudian baru memasuki Disneyland Park.

Walt Disney Studios Park ini terbahagi kepada empat bahagian iaitu Front Lot, Toon Studio, Production Courtyard dan Backlot. Kesemua bahagian ini mempunyai sebanyak 17 buah tarikan keseluruhannya untuk dikunjungi.

Sedang kami membelek-belek peta mencari arah hendak dituju, tiba-tiba kelihatan beberapa watak utama filem-filem keluaran Walt Disney berjalan dengan lajunya menuju ke arah lokasi yang tidak diketahui. Mungkin ini merupakan satu kejutan buat para pengunjung untuk beramah mesra dan mengambil gambar bersama watak-watak kegemaran mereka. Ada yang sempat kami bergambar, dan ada yang terpaksa kami berjalan laju seiring dengan mereka untuk bergambar. Ada juga yang berjalan sambil membawa watak sombong dan jahat seperti dalam filem. Semua ini meriuhkan suasana.
Watak Cruella de Vil dalam filem 101 Dalmatians yang sombong


Pembuka langkah kami memasuki Toy Story Playland dan menuju ke Toy Soldiers Parachute Drop. Setelah selesai beratur dan memasuki kawasan pelepasan untuk menaiki permainan itu baru aku sedari kawasan itu dipenuhi para ibu bapa yang membawa anak kecil. Selesai menaiki permainan itu memang aku akui ia hanya untuk kanak-kanak. Tidak berapa mencabar.


Kemudian kami menaiki pula Les Tapis Volants-Flying Carpets Over Agrabah. Keadaan serupa dengan parachute yang kami naik tadi, hanya kanak-kanak yang melimpahi ruang dengan ibu bapa mereka. Permainan kali ini sungguh tenang dan langsung tidak mencabar.

Bermula saat ini kami mula berpecah menuju haluan masing-masing. Aku, Lin dan Lina bergerak bersama sekumpulan manakala Suraya, Aini dan Yuyu pula bergerak sekumpulan.

Kami memasuki pula Armageddon Special Effects. Ia merupakan satu tarikan yang mengagumkan dengan kesan khas yang betul-betul menarik dan memberi kesan. Kami dibawa memasuki stesen angkasa lepas dan berdiri di atas dek utama. Persembahan dimulakan dengan pengumuman-pengumuman amaran dari jurumudi kapal angkasa dan skrin-skrin monitor mula menayangkan meteor yang bersimpang siur menghujani ruang angkasa.

Tiba-tiba ia melanggar kapal angkasa dan menyebabkan beberapa fungsi kapal mula gagal. Gegaran yang mengejutkan menyebabkan lampu mula terpadam-nyala, gas api yang panas tersembur ke ruang kabin, dan bumbung mula hendak runtuh. Suasana di dalam itu mula riuh rendah. Ada satu ketika impak hentaman itu menyebabkan sebahagian dinding tercabut dan angin mula menarik keluar dengan kuat sehinggalah pintu ditutup rapat. Di pengakhiran kami dapat melihat meteor utama menghentam kapal kami lalu letupan dan gegaran kuat berlaku mengakhiri persembahan ini.



Seterusnya kami memasuki pula seksyen Hollywood Boulevard yang tertera binaan tiruan perkataan Hollywood. Di situ kami menaiki Studio Tram Tour : Behind The Magic. Tram membawa kami melalui replika tugu-tugu Roman, Mesir purba, tugu Statue of Liberty dan sebagainya.

Kami juga dibawa melalui kawasan garaj deretan kereta-kereta antik yang pernah digunakan dalam filem seperti Pearl Harbour, 101 Dalmatians dan Con Air.

Tram kemudian membawa kami memasuki satu kawasan set pengambaran filem di mana para krewnya dikatakan sedang berehat. Kawasan ini dinamakan Catastrophe Canyon sebuah kawasan berbatu yang terdapat padanya sebuah trak minyak dan tangki-tangki air berhampirannya.

Tram berhenti dan tiba-tiba pengambaran dimulakan secara mengejut. Gempa bumi menggoncang tram kami menyebabkan juga trak minyak meletup, melontar bebola api ke udara. Kami di dalam tram terasa bahangnya. Kemudian tiba-tiba banjir membawa air datang dari kanyon dan juga dari atas tram. Terkena juga kami percikan air tapi tidaklah sehingga melencunkan baju.


Hollywood Boulevard
Catastrophe Canyon
Sedang kami berjalan-jalan tersempak pula dengan adik-adik medik Geng Dublin. Beriya-iya mereka menyarankan kami menaiki menara di seberang sana. Hollywood Tower Hotel di The Twilight Zone Tower of Terror. Kata mereka game di situ best.


Kami pun mencuba. Permulaannya kami dibawa berkumpul di lobi hotel tersebut yang sungguh klasik dan cantik perhiasannya. Kemudian kami menaiki lif dan dibawa pula ke boiler room. Di situ kami menaiki tangga untuk beratur pula di depan sebuah lif. Kami berdiri di dalam petak bernombor. Bingung juga aku game apakah ini?

Pintu lif terbuka dan kami dijemput masuk dan duduk pada kerusi mengikut nombor semasa berdiri di luar lif tadi. Petugas yang segak berpakaian seragam bellboy hotel cuba menakut-nakutkan kami dengan bahasa Inggeris berloghat Perancisnya yang agak susah untuk aku fahami .

Pintu lif ditutup dan kami dibawa naik ke atas. Kemudian pintu dibuka semula dan terdapat 5 susuk tubuh seakan imej berhantu mengajak kami menyertai mereka. Pintu ditutup kembali. Suasana dalam lif gelap dan sunyi.

Lif yang membawa kami ke atas tadi tiba-tiba seakan terputus talinya menyebabkan gerabak kami meluncur laju jatuh ke bawah. Lebih laju dari tarikan graviti!  Ia berhenti. Kemudian jatuh lagi. Gerabak dibawa ke tingkat paling atas dan pintu lif dibuka. Kami dapat melihat awan dan sayup pemandangan persekitaran taman tema ini. Pintu lif ditutup dan kemudian kami dijatuhkan dari tingkat 13! Ya Allah..

Pengalaman turun-naik-turun-naik lif ini memang mengujakan aku. Terasa betul-betul merasai kehebatan teknologi Walt Disney ini. Memang berbaloi. Namun Lin dan Lina sudah tidak mahu menaiki apa-apa lagi.

Permainan ini diinspirasikan daripada lagenda yang kononnya berlaku di Hollywood. Ia berlaku pada malam Halloween 31 Oktober 1939 tatkala kilat dan guruh saling sabung menyabung di tanah tinggi Hollywood manakala para komuniti perfileman elit sedang berkumpul di lobi hotel Hollywood Tower ini. Antara yang mendaftar masuk pada malam tersebut ialah sepasang kekasih muda yang ditemani seorang tua, seorang bellman dan seorang pelakon kanak-kanak perempuan. Mereka berlima kali terakhir dilihat menuju ke lif dan memasukinya. Selang beberapa ketika kilat menyambar menyebabkan lif, para penumpangnya dan beberapa tingkat atas hotel tersebut terus ghaib. Kesan hitam legam akibat disambar kilat boleh dilihat dari luar bangunan hotel itu.

Hotel disambar kilat dan ghaib
Kami meneruskan pengembaraan dengan mencari tarikan-tarikan yang sesuai untuk dikunjungi. Tiba-tiba kelihatan ramai orang berkerumun di tepi jalan sambil bersorak riang ria. Rupanya sedang berlangsung acara perarakan bintang-bintang Disney menaiki kereta. Riuh rendah jadinya.




Seterusnya kami memasuki pula Disneyland Park. Taman ini terdiri daripada 5 bahagian iaitu Adventureland, Frontierland, Fantasyland, Discoveryland dan Main Street USA. Kelima-lima bahagian ini mengandungi sebanyak 47 buah tarikan untuk dikunjungi. 47 buah!

Sebaik memasuki gerbang Main Street USA kami mengambil keputusan untuk menaiki tren Disneyland Railroad dari stesen Main Street. Kami berpakat untuk mengelilingi dahulu seluruh Disneyland ini dengan tren dan kemudian baru berhenti di perhentian pertama di Frontierland Depot.

Berpandukan peta di tangan kami menyusuri tarikan-tarikan menarik di sini. Dalam keributan ribuan manusia di situ kami tersempak dengan Khidir, lagi seorang warga Dublin. Katanya beliau telah terpisah dengan rakan-rakannya. Setelah dipelawa, beliau tidak menolak untuk mengikut kumpulan kami.

Ceritanya Khidir sudah pernah menjejaki Disneyland Paris ini. Bagus juga membawa orang yang berpengalaman mengikuti kami. Dia membawa kami ke satu tarikan yang mengagumkan. "it's a small world" itulah namanya.

Kami dibawa belayar dengan bot kecil untuk melihat keindahan anak-anak patung yang bergerak-gerak dan menyanyi lagu tema. Anak-anak patung ini dipakaikan pakaian mengikut tradisi negara-negara dunia. Namun tidak pula kelihatan negara Malaysia. Suasana semasa pelayaran itu sungguh meriah dengan nyanyian dari anak-anak patung yang pelbagai bahasa dan pengcahayaan dari lampu yang bergemerlapan.

Tarian dan nyanyian yang membawa harapan kepada kesatuan antarabangsa dan keamanan sejagat
Setelah berada bagai di alam khayalan kami keluar meneruskan pengembaraan. Khidir pun meminta izin untuk berpecah apabila sudah berjumpa dengan kumpulannya. Setelah puas meronda perut mula minta diisi. Kami juga tersempak dengan Geng Dublin seperti Anis dan Siva yang mengesyorkan kami tempat-tempat untuk santapan. Akhirnya kami ke Toad Hall untuk makan tengahari dengan santapan Fish & Chip yang mengenyangkan.


Setelah perut kenyang kami meneruskan perjalanan. Perjalanan kami kali ini hanya sekadar menghabiskan masa dengan bergambar. Tidak sempat untuk mencuba kesemua 47 jenis permainan. Lagipun Lin dan Lina sudah agak fobia untuk memasuki apa-apa permainan. Aku yang hero seorang ini terpaksa juga mengalah.



Semasa berjalan pulang ke pintu utama kami singgah di Central Plaza satu bulatan di tengah-tengah Disneyland untuk menyaksikan persembahan Mickey's Magical Celebration yang menghimpunkan semua watak-watak Disney.

Selesai persembahan kami bergerak pulang bersama ribuan pengunjung lain. Sempat juga Lin dan Lina singgah di kedai cenderamata untuk kenang-kenangan Disney dibawa pulang ke Malaysia.


Sebelas jam berada dalam taman tema termasyhur ini memang tidak mencukupi untuk mencuba kesemua permainan. Namun aku rasa cukup berbaloi berada dalam taman seluas 4800 ekar dengan bajet pembinaan sebanyak USD2.3 billion ini. Imagineering (gabungan Imagination dan Engineering) para warga Disney ini amat dikagumi untuk memerah otak kurniaan Tuhan agar natijahnya memberi keriangan kepada warga manusia.