Thursday, November 24, 2011

Hari Kedua Belas Conquest of Europe : Lauterbrunnen-Paris

8 Jun (Rabu) Lauterbrunnen ke Paris
Mahu tidak mahu aku harus menggunakan air dari paip di luar kabin ini untuk berwudhu'. Ya Allah sejuknya air sehingga terasa ke tulang belulang pagi-pagi di Lauterbrunnen ini. Jika hendak menggunakan air panas di dalam bilik air, ia harus menggunakan syiling. Syiling dalam simpanan aku pula hanya cukup-cukup untuk mandi sekejap lagi.

Selesai bersarapan dan bersiap diri kami terus berkemas untuk perjalanan seterusnya. Mencuri masa yang terluang kami berpeluang mengambil gambar keindahan pagi di sekitar kem tersebut. Di kesempatan yang ada juga sebelum bas bergerak kami menyerbu kedai cenderamata untuk melihat apa yang sesuai dibawa pulang ke Malaysia. Sempat aku dan Lina membeli sebilah pisau Victorinox yang menjadi kebanggaan Switzerland sehingga kini. Jenama yang cukup terkenal dengan ketahanan dan kualiti pisau yang dihasilkan ini secara tidak langsung melambangkan negara Switzerland sendiri yang teguh dengan perfection dan neutrality yang dibawa mereka.

Suasana di dalam kedai amat meriah sekali dengan gelagat kami yang ingin melihat t-shirt, membelek fridge magnet, mengukir tulisan di pisau dan paling utama memohon diskaun. Aku ada terdengar keluhan pekedai yang agak pelik dengan gelagat memohon diskaun para pengunjung dari Malaysia ini. Mungkin di Switzerland tiada sesi tawar menawar di kedai agaknya..

Bermula pagi ini kami serombongan dimaklumkan perjalanan kami seterusnya tidak lagi disertai oleh Sir Fauzi sekeluarga. Perkhabarannya Sir Fauzi mempunyai agenda lain yang lebih cun barangkali. Maka tempat duduk di tingkat bawah bas kami hampir kosong dan kesunyian pasti terasa di kalangan krew dan Cikgu Ghani yang turut duduk di bawah.

Beramai-ramai kami di dalam bas melambai-lambai kepada Sir Fauzi sekeluarga. Hujan yang turun rintik-rintik membuahkan rasa sayu sesayu aku bakal meninggalkan bumi Switzerland ini. Bumi yang nikmat Allah padanya sungguh melimpah ruah.

Tepat jam 10.10 bas mula bergerak meninggalkan pekan Interlaken ini dengan pemandangan yang mempesonakan tak jemu mata memandang. Suasana dalam bas agak tenang dengan para penumpangnya masih dalam keindahan dibuai gumpalan salji semalam agaknya. Kami terus menuju ke Perancis.



Kami melepasi Besancon sebuah bandar di Perancis yang hampir dengan sempadan Switzerland. Besancon adalah sebuah bandar lama yang bersejarah dan disenaraikan Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO sejak 2008.

Perjalanan yang panjang melalui lebuhraya ini tidak membosankan aku kerana dihidangkan dengan pemandangan unik dan menarik. Di lapangan tanah luas terbentang terdiri beberapa buah kincir angin atau turbin angin yang seakan kipas angin raksasa. Di negara-negara Eropah turbin angin ini digunakan secara meluas untuk menghasilkan tenaga elektrik yang dihasilkan melalui proses conversion dari kuasa angin.
Turbin angin
Dalam perjalanan itu juga kami menyaksikan satu pemandangan unik yang jarang berlaku. Langit cerah telah mengirim cahaya matahari melalui celah-celah gumpalan awan besar lalu terbentuk barisan pancaran cahaya di bawah awan tersebut. Terasa aku seolah-seolah sebuah kapal angkasa besar hendak mendarat di dataran luas terbentang.
Kapal angkasa hendak mendarat
Lebih kurang pukul 6 petang kami singgah sebentar di sebuah kawasan rehat untuk solat dan membeli makanan di stesen minyak. Sempat Lin bergambar dengan beberapa buah treler pengangkut kereta yang rekabentuknya amat berbeza dengan treler pengangkut kereta Nissan yang diuruskannya hari-hari di Kuala Lumpur.
Case study untuk dibawa ke Kuala Lumpur
Carrefour di negara kelahiran sendiri
Alhamdulillah kami tiba di Camping Club Le Parc de Paris lebih kurang jam 9.00 malam. Masih dalam waktu asar kerana hari ini waktu Maghrib bermula pada jam 9.52 malam.

Cuaca malam di Paris ini amat baik. Setelah makan malam kami pulang ke kabin untuk berehat dan tidur. Tidur aku malam ini amat nyenyak dengan kabinnya yang cantik dan selesa.