Saturday, September 17, 2011

Hari Kelapan Conquest of Europe : Rome & Vatican City

4 Jun (Sabtu) Rome dan Vatican City


Pagi ini disambut dengan nyaman. Tumbuh-tumbuhan dan pokok-pokok besar yang memenuhi Tiber Camp ini meredupkan suasana. Kabin yang kami inap pula cukup selesa hanya untuk kami berdua, jika ada penghuni lain maka ia akan menjadi kabin sardin..

Hari ini kami akan menjelalah kota Rome. Nama kota yang tidak asing dalam sejarah pembentukan tamadun dunia. Jika dahulu aku hanya mendengarnya dari buku Sejarah, hari ini aku sudah menjejakinya. Rome ialah ibu negara Itali yang merupakan bandar terbesar berada di tengah-tengah semenanjung Itali. Sejarahnya telah terukir sejak 2500 tahun yang lalu. Rom pernah menjadi ibu negara bagi Kerajaan Roman, Republik Roman dan Empayar Roman.

Kabin semi-d

Tiber 1973


Taklimat sebelum berlepas

Kami dibekalkan dengan peta untuk menjelajah kota Rom. Untuk penjelajahan kami diberi pilihan untuk mengikut ketua-ketua rombongan ataupun bergerak sendiri. Kemudian bas terus membawa kami dari kem ke stesen keretapi Prima Porta yang jaraknya tidak sampai dua kilometer. Kami akan menaiki tren laluan Roma-Nord dari Prima Porta dan turun di stesen terakhir Flaminio.

Hari ini cuaca di Rome agak panas, seakan berada di Malaysia. Tambahan pula melihatkan keadaan stesen dan tren yang lalu lalang di stesen Prima Porta ini, rasanya perkhidmatan komuter KTM jauh lebih baik dan selesa. Mahu tidaknya, di badan tren pun menjadi mangsa lakaran graffiti mereka yang berjiwa seni.


Graffiti dilakar ketika pengawal tren tidur?


Notis yang hanya ditulis dengan pen marker dan kertas putih
Kami tiba di stesen Flaminio yang sibuk dengan penjual-penjual cenderamata. Terdapat juga sebuah kedai kebab Arab di situ yang merobek rasa lapar aku. Tahan dulu lapar ya.. Kami menukar tren menaiki Metro Line A untuk turun di stesen Ottaviano.

Dari situ kami berjalan kaki menuju ke Vatican City. Vatican City adalah sebuah negara terkecil di dunia yang hanya mempunyai keluasan seluas 0.44 kilometer persegi. Ia juga merupakan pusat pentadbiran agama Kristian Katolik terbesar dan tempat penginapan Pope selaku ketua agama itu.

Kami memasuki St. Peter's Square dan terpaksa beratur panjang untuk memasuki Gereja St.Peter's Basilica. Walaupun panjang namun proses pemeriksaan oleh pengawal agak pantas. Kami tidak perlu menunggu lama walaupun kelihatan ratusan pengunjung mengunjungi Vatican pagi itu.

Untuk memasukinya kami perlu melepasi dua tapisan pengawal. Para pengawal di sini semuanya berasal dari Switzerland. Perjanjian khas telah dimaterai antara Vatican dan kerajaan Switzerland untuk membekalkan tentera mengawal Vatican. Para tentera ini haruslah seorang lelaki Katolik, belum berkahwin dan berusia antara 19 hingga 30 tahun.

Untuk memasuki rumah ibadat ini juga para pengunjung perlu mematuhi kod pakaian yang ditetapkan. Peraturan ini memang dilaksanakan dengan ketat. Aku dapat melihat beberapa orang pelancong wanita yang dihalang memasuki ruang utama kerana berpakaian seksi pada pandangan para pengawal Swiss itu.
St.Peter's Square, Vatican
Seterusnya kami terus mengikuti Abu bersiar-siar di sekitar bandar Rome ini. Dengan pass yang telah dibeli kami bebas turun naik bas dan tren di sini. Jam hampir pukul 2 petang, tiba masanya perut minta diisi. Kami singgah makan tengahari di sebuah restoran halal masakan India. Kebab dan Tandoori pastinya menu hidangan utama.

Semasa makan aku sempat juga menyapa tiga orang jejaka Arab yang kelihatan sedang bermain-main dengan bendera kecil Malaysia. Rupanya bendera itu ditinggalkan atas meja makan mereka oleh rombongan Hairul yang sudah beredar. Di meja belakang pula, Shakirah sedang sparring bahasa Sepanyol dengan dua orang jelitawan dari Ecuador. Kaget juga mereka berdua bila jelitawan Malaysia dapat berbahasa Sepanyol.
Selesai makan kami meneruskan kembara dengan menaiki tren Metro Line B dari stesen Termini dan turun di Colosseo. Di situlah terletaknya Coliseum yang menjadi kebanggaan warga Itali. Filem-filem yang berkisar di zaman Rom terdahulu pastinya memaparkan arena Coliseum ini. Filem kegemaranku Gladiator turut memaparkan struktur bangunan ini dengan lebih dekat. Coliseum ini dahulunya digunakan sebagai tempat pertunjukan para Gladiator, pementasan drama, pelaksanaan hukuman dan sebagainya.
Medan pertarungan para Gladiator di Coliseum
Di luar Coliseum ini terdapat juga ramai `Gladiator' tempatan yang begitu mesra menyapa kita agar bergambar dengan mereka. Bergambar yang sudah semestinya bukan percuma.

Kami meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki di sekitar kota itu. Ada segelintir ahli rombongan yang kelihatan sudah keletihan untuk berjalan kaki. "Panas di Rome ini lain macam rasanya," kata mereka. Bandar Rome ini sememangnya dipenuhi dengan struktur bangunan-bangunan bersejerah yang melayakkan ia tersenarai dalam Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO.


Air bersih di pancuran yang menghilangkan dahaga



Kami terus berjalan menyusuri celah-celah bangunan di bandar Rome ini. Singgah sebentar di sebuah kedai cenderamata yang kasyernya berbangsa Cina. Puas juga Yuyu berbahasa Mandarin dengannya tapi memang sukar untuk tawar-menawar di Itali ini.

Kami juga melalui Pantheon sebuah kuil yang menempatkan semua dewa pada zaman Rom purba. Tidak jauh dari situ kami singgah di Fontana di Trevi atau Air Pancut Trevi. Terdapat cerita-cerita legenda bahawa dengan membaling duit syiling di dalam kolam itu akan membawa tuah. Aku tidak sempat melihat kolam itu dari jarak dekat kerana terhalang dengan gelagat ratusan pengunjung yang begitu teruja dan bersesak-sesak untuk melihat air di kolam gamaknya.

Tidak jauh dari situ kami melalui pula Opera Romana sebuah dataran terbuka nyanyian opera. Nyanyian yang mampu meredakan keresahan jiwa di sebalik kekalutan ribuan manusia.
Di depan Pantheon bersama Abu

Fontana di Trevi


Opera Romana
Lebih kurang pukul 7.30 malam kami mula menaiki tren untuk pulang ke kem. Kembara seharian di kota Rome ini walaupun memenatkan namun ia tetap berbaloi. Rasa puas kerana aku dapat menjejak kaki di kota yang penting dalam catatan sejarah peradaban dunia.
Para krew Kelana Convoy yang penuh dedikasi menyediakan makan malam

Semoga Allah meneguhkan iman kami dan menumbuhkan hidayah Iman dan Islam pada penduduk Itali dan Vatican yang begitu kuat pegangan kepada Kristian. Agama Samawi yang turun dari langit, dari Tuhan yang sama dengan kami.