Sunday, August 14, 2011

Hari Ketujuh Conquest of Europe : Venice-Florence-Rome

3 Jun (Jumaat) Venice ke Florence ke Rome
Alhamdulillah pagi di campsite Fusina ini sungguh damai. Tidak seperti malam tadi yang berdentum dengan pesta muda-mudi di bar. Walaupun bar agak jauh dari kabin penginapan namun sayup-sayup kedengaran juga muzik rancak mereka. Menjadi salah satu kemestian dalam program mereka untuk berhibur sebegitu dalam pengisian summer camp mereka. Agaknya di Malaysia yang sepanjang masa panas pun menyebabkan muda-mudi berhibur sebegini setiap hari..

Setelah bersiap kami menikmati sarapan spaghetti cendawan. Menu ini amat menyelerakan aku. Alhamdulillah. Ditambah pula dengan hot choc!

Spaghetti cendawan yang sedap
Hot choc buatan Yuyu
Selesai bersarapan sementara masih berbaki masa aku dan Lin mengambil angin di hujung kem. Di sana terdapat jeti kecil yang menempatkan sebilangan bot-bot kecil. Selesai bergambar kami kembali ke dalam bas dan bersedia untuk bertolak ke bandar Florence. Bas bergerak tepat jam 9.50 pagi.


Jeti yang masih lengang
Al-Quran pengisi masa
Musim panas digunakan sebaiknya untuk mengerat ikatan kekeluargaan
 Perjalanan bakal mengambil masa lebih kurang 3 jam setengah. Bas rombongan berhenti di pertengahan jalan untuk para penumpangnya mengisi perut makan tengahari. Bertebaranlah kami mencari port sesuai untuk makan juadah yang telah dimasak krew KC pagi tadi. Kami juga mengambil kesempatan ini untuk terus menunaikan solat jama' taqdim Zuhur dan Asar.

Kami tiba di Florence lebih kurang jam 2.45 petang. Destinasi pertama kami ialah Piazzale Michelangelo. Sebuah dataran di tanah tinggi yang menghidangkan panorama bandar Florence yang sungguh indah. Dataran ini didedikasi khas untuk Michelangelo, seorang pengukir tersohor di zaman Renaissance. Di sini juga terbina sebuah ukiran patung besar seorang lelaki berbogel. Kononnya patung itu adalah ukiran Nabi Daud. Aku hairan apa justifikasi pengukir ini membogelkan seorang Nabi yang dimuliakan Allah? Hairul KC melontar persoalan yang sama membuatkan kami berfikir.

Bas hanya dibenarkan berhenti di dataran itu hanya selama 15 minit. Manakala polis-polis di sini khabarnya agak tegas. Lalu kami terus menuruni tanah tinggi itu dan tiba di satu kawasan sesuai kami diturunkan untuk berjalan kaki ke tengah bandar Florence. Maka beramai-ramai kami berjalan kaki menyusuri Sungai Arno ke pusat bandar Florence. Sungai Arno merupakan salah satu sungai terpenting di negara Itali ini.
Panorama Florence dari Dataran Michelangelo berlatar Sungai Arno
Motorsikal skuter dilihat merata-rata di Florence
Perjalanan kaki mengambil masa yang agak lama. Kira-kira 20 minit tak silap aku. Ini kerana dikhabarkan bas pelancong tidak dibenarkan memasuki tengah bandar Florence ini. Florence adalah ibu negeri Tuscany dan mempunyai penduduk paling ramai dalam Tuscany. Bandar ini terkenal dengan sejarahnya yang begitu berkepentingan pada Zaman Pertengahan dan Renaissance. Ia juga telah diisytiharkan Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada 1982. Majalah Forbes juga pernah menyenaraikan Florence sebagai salah satu bandar tercantik di dunia kerana sejarah, budaya, kesenian dan arkitek zaman Renaissance serta monumen-monumen yang terbina di sini.

Penghibur jalanan
Sebaik memasuki pusat bandar Florence kami mula teringin untuk mengisi perut. Aku, Lin dan Lina yang bergerak sekumpulan menerjah sebuah kedai waffle. Tertera di luarnya dolce delizia Italiana atau bermaksud Italian Sweet Delight. Aku sempat merasa roti bun bermadu yang keras. Mungkin lembut bagi gigi orang Itali rasanya. Lin dan Lina sempat menjamah waffle beraiskrim.

Kami bertiga terus bersiar-siar di kota yang penuh dengan ukiran lelaki bogel itu. Deretan kedai-kedainya terdiri dari kedai yang menjual barangan cenderamata, kulit, antik, kraftangan, kaca, barangan kemas dan sebagainya. Kami juga memasuki Piazza della Signoria satu dataran berbentuk L. Di situ terdapat pelbagai bangunan yang dibina pada kurun ke-14. Antaranya terdapat bangunan Loggia del Lanzi yang menempatkan pelbagai monumen yang dibina dari batu marmar.


Kami juga sempat singgah kedai kosmetik dan perfumes yang menjadi tarikan Lin dan Lina. Di celah-celah bangunan di situ juga kami mengunjungi gerai-gerai yang menjual barangan kulit. Puas juga Abu mempromosi barangan kulit Florence ini dalam bas tadi, rugi juga kalau tidak membelek-beleknya. Belek sahaja. Lin dan Lina sempat membeli set barangan kulit untuk dihadiahkan kepada orang kesayangan mereka.



Penjual ini sungguh manis mulutnya
Kami juga berhenti di sebuah gerai barangan kulit. Penjualnya seorang Muslim berasal dari Tanah Arab. Suasana sungguh mesra di situ. Dia begitu mesra memancing kami, kami pun begitu mesra mengurangkan harga. Walaupun keluar pelbagai bahasa termasuk bahasa Arab yang gitu-gitu, namun dia tetap dengan harganya. Nampak gayanya mereka memang firm.


Rakan sparring bahasa Arab yang tidak berhasil
Setelah puas berjalan kami menuju kembali ke tempat perhentian bas tadi. Dalam perjalanan pulang terdapat ramai warga Itali ini yang mengekspresikan hasil seni kreatif mereka. Ada yang berjalan bergaya sambil menyanyi, dan ada yang melukis di atas jalan. Mereka sungguh kreatif.

Di tebing Sungai Arno


Bas mula bergerak ke destinasi seterusnya Rome pada jam 6.10 petang. Kami lewat bergerak hampir setengah jam kerana menunggu Rahmah yang lewat tiba. Sampai sekarang aku tidak berkesempatan mengetahui apa yang sebenarnya telah berlaku pada Rahmah.

Kami tiba di Camping Tiber jam 9.10 malam. Hari masih senja kerana Isya' bermula jam 10.39 malam.

Saturday, August 6, 2011

Hari Keenam Conquest of Europe : Venice

2 Jun (Khamis) Venice


Puji dan puja hanya untuk Dia Tuhan yang menciptakan alam ini, yang telah memberi nikmat udara segar pagi di Venice ini dan juga yang menghidupkan kami dari rehat malam tadi. Sesedar aku jiran kabin ialah Sir Fauzi dan anaknya Afif.
Kabin yang selesa
Selesai bersarapan kami mengikuti taklimat yang disampaikan oleh Hairul dan Abu. Pagi ini kawasan bar campsite dipenuhi oleh para peserta rombongan tekun mendengar taklimat di samping peta Venice di tangan masing-masing. Peserta diberi taklimat penting mengenai jadual perjalanan bot pergi dan balik kerana kami diberi kebebasan untuk berjalan sendiri di sana dan pulang sendiri ke kem. Justeru itu, untuk membaca dan memahami peta Venice yang sangat asing ini memerlukan kemahiran yang tinggi.

Kami pun berjalan beramai-ramai ke jeti yang jaraknya hanya sepelaung dari gate kem. Kami menaiki bot dan duduk di bahagian bawah sementara Yuyu & Aini duduk di bahagian atas yang tidak berbumbung bersama geng-geng Dublin, Sadid N The Gang, Azie, Shaiful, Sir Fauzi, Fakhrurazi, Hosni, Kak Roziah, Syairah dan ramai lagi. Aku duduk bersebelahan Cikgu Ghani sementara Lin duduk di depan bersebelahan orang tempatan barangkali yang sungguh pelik penampilannya pada mata kasar aku. Dua orang perempuan tua yang sudah berkedut kulit, botak kepala mereka, memakai baju yang sama berwarna merah jingga, seakan alien pun ada.

"Cuba tengok kaki mereka berdua di sebelah tu, berpijak tanah ke tidak?"


Kira-kira 30 minit perjalanan bot kami tiba di Zattere, kawasan persisir laut yang letaknya jeti dan bangunan-bangunan sejarah di pulau Venice ini. Kami mengikuti jejak Abu dan sentiasa mengingati pesannya agar sentiasa mengingati Accademia sebagai tempat pulang ke pangkal jalan jika tersesat di celah-celah kota Venice ini. Kami harus bersedia untuk sesat kerana Venice dijalari lorong-lorong kecil di celah-celah kedai dan gerai.



Venice juga dipenuhi dengan terusan dan jambatan-jambatan pendek untuk menyeberanginya. Ia menambah pening kepada kepala untuk mengingati jalan-jalan di situ. Kami berjalan menuju Piazza San Marco atau bahasa Inggerisnya disebut St.Mark's Square. Ia sebuah dataran yang luas dikelilingi bangunan dan artifak bersejarah. Ribuan manusia kelihatan mundar-mandir sebagaimana kelihatan burung-burung merpati mula mundar-mandir menjinakkan diri.



Jinak-jinak merpati
Sedih biskut dicuri merpati
Dalam keriuhan di sana sini aku terdengar suara-suara untuk mencari kedai Hard Rock Cafe. Rupanya ada di kalangan ahli rombongan yang mempunyai kegemaran mengumpul t-shirt Hard Rock. Dalam kesamaran melalui lorong-lorong di situ yang berbelit-belit akhirnya aku sampai di kedai itu untuk menyelami jiwa-jiwa penggemar t-shirtnya. Sempat juga Lin dan Lina membeli sehelai dua buat kenangan.

Kemudian kami terus mengikuti rombongan Abu untuk melawat pusat tenunan lace dan linen. Venice memang terkenal dengan hasil lace yang seninya begitu halus dan mengujakan. Di pusat tersebut kami mendengar taklimat pembuatan lace ini daripada seorang staf wanitanya. Ceritanya begitu mengagumkan untuk menggambarkan keindahan seni buatan lace ini dan ketekunan yang perlu ada pada tukang-tukang tenun.
Halus seninya sehalus seni memukau mengeluarkan wang untuk membeli pula.

Seterusnya kami berjalan menuju ke jeti kecil untuk menaiki gondola. Mujurlah kami berenam dan memenuhi kuota yang memerlukan ngam-ngam enam orang agar harga tiket tidak berapa terasa kerana dibahagikan enam orang. Kami didayung oleh seorang pendayung bertubuh sasa yang lebih selesa berdiam diri tidak mahu berkomunikasi mahupun menyanyi. Agak dicemburui kerana terdapat gondola-gondola lain yang riuh rendah dengan nyanyian pendayungnya, mungkin diberi tips agaknya. Kami dibawa menyusuri sekitar kota Venice yang mengambil masa kira-kira setengah jam.

Venice memang terkenal dengan kekayaan seni binanya berupa bangunan-bangunan mahupun patung-patung. Gondola yang membawa kami turut menyusuri celah-celah bangunan yang airnya hanya di muka pintu. Ini tidak langsung menggambarkan kemajuan teknologi binaan di Venice ini yang digelar Kota Atas Air dan juga digelar Kota Terusan. Namun dikhabarkan dengan fenomena pemanasan global mutakhir ini bakal menenggelamkan Venice suatu hari kelak. Oleh itu, cepatlah berkunjung ke Venice sebelum ia tenggelam..





Selesai menaiki gondola perut mula berkeroncong mahukan nasi. Di manalah hendak cari nasi di Venice ni. Kami menjejak sekumpulan ahli rombongan yang sudah berkhemah di hadapan sebuah restoran. Pak Njang, Sadid, Shaiful, Kak Fiana pun kelihatan di situ. Ada ramai lagi yang sudah sendawa kekenyangan.

Waiter yang melayan kami sungguh hijau matanya, tegur Aini yang mula menyedari. Tersipu-sipu dia walaupun tidak faham dengan usikan Aini. Dalam keadaan terdesak sebegitu, kami semua memesan spaghetti seafood sebagai langkah yang agak selamat melayani perasaan was-was.
Spaghetti seafood bersama hot-choc
Selesai makan kami meneruskan perjalanan menjelajahi kota Venice. Destinasi kali ini ialah Rialto yang menjadi pusat perdagangan dan kewangan di Venice ini. Untuk ke situ kami perlu melintasi Jambatan Rialto yang menyeberangi Grand Canal.
Di atas Jambatan Rialto yang menyeberangi Grand Canal
Di sini terdapat bank-bank, kedai cenderamata, kedai barangan mewah dan sebagainya. Suasana di situ lebih kurang seperti pasar malam yang berderet gerai dan kedai di kiri kanan jalan. Cenderamata yang sungguh terkenal di Venice ini ialah Venetian mask. Hampir kesemua kedai di sini menjual topeng ini.
Peniaga Venice turut terancam dengan barangan China

Terselit di celah ratusan manusia
Kami sempat singgah di sebuah gerai untuk membeli baju sebagai cenderamata. Agak terkejut juga dengan layanan seorang salesman yang agak tidak begitu mengalukan kedatangan prospek pembeli ini. Dengan nada yang agak tinggi dia akan menegur sesiapa yang menongkat siku di atas timbunan bajunya yang berlipat. Pengunjung juga tidak dibenarkan membuka lipatan walau bertujuan untuk melihat design dan mencuba-cuba di badan. Teringat aku dengan keramahan pekedai di Pasar Siti Khadijah Kota Bharu yang menggamit pelancong walau bertujuan suka-suka, setiap orang adalah bakal pembeli.
Merenung baju



Selesai membeli-belah dan hampir seharian di kota Venice ini kami pun berangkat menuju semula ke jeti untuk pulang ke campsite. Setiba di kem pukul 7.30 petang langit masih cerah untuk kami solat jama' qasar Zuhur dan Asar. Sementara para krew bertungkus lumus menyiapkan makan malam sempat aku online. Kali ini ia berbayar tiada lagi percuma seperti di Amsterdam dulu..