Wednesday, June 29, 2011

Hari Pertama Conquest of Europe : England-Belgium-Holland

28 Mei (Sabtu) Menuju ke Amsterdam


Perjalanan hari pertama

Selesai bersarapan kami turun ke bawah untuk menanti teksi-teksi yang telah ditempah oleh Sue malam tadi. Asalnya tiga buah teksi, namun setelah berkira-kira dua buah sudah mencukupi untuk membawa kami ke Park Lane bersebelahan Hyde Park. Kamilah peserta terawal yang tiba di meeting point, sejurus kemudian tiba beberapa orang lagi peserta. Sekonyong-konyong tiba seorang lelaki macho mengenalkan dirinya. Cikgu Fauzi adalah peserta pertama yang aku kenal. Beliau segerombolan bersama keluarganya datang dari Kedah.
Tempat berkumpul

Keadaan di situ semakin riuh dengan ketibaan para peserta. Dua buah bas double-decker sudah tiba untuk membawa kami berkelana dan berkonvoi. Kak Mas dan Abg Zainal terpisah ke Bas 1 manakala kami berenam ditempatkan di Bas 2. Mendung rintik-rintik mula kelihatan di wajah Kak Mas kerana beliau amat rapat dengan kami sejak lawatan seharian semalam. Delegasi Lina dan Sue segera pergi kepadanya bertanya khabar dan mententeramkannya. Namun kami percaya dengan keceriaan wataknya, Kak Mas boleh saja berkelana dengan apa jua bas pun.
Anak Hairul ditinggalkan ditepi jalan yang akhirnya dipungut ibunya Hani

Bas bertolak hampir sejam lewat dari jadual asal jam 8 pagi. Biasalah, rombongan pengantin yang biasanya 7-8 buah kereta pun terlewat inikan pula 2 buah bas dua tingkat yang membawa hampir 140 ahli rombongan dengan beg-beg seumpama pergi haji.

Bas kami yang bernombor dua nampak gayanya akan menjadi makmum selamanya di belakang Bas 1. Chief Kelana Convoy (KC) Bro Hairul mula berceloteh mengenalkan kami dengan London, dengan menggunakan walkie-talkie dari Bas 1 yang dipancarkan kepada speaker untuk pendengaran seluruh ahli Bas 2. Hairul telah lama menetap di UK semenjak zaman belajarnya sehinggalah sudah beranak-pinak dan menubuhkan syarikat KC ini. Mengambil konsep percutian ala-ala Mat Saleh, Hairul mengadaptasikannya untuk disesuaikan dengan rakyat Malaysia.

Ahli-ahli rombongan mula saling berkenalan dalam bas. Couple pertama aku kenal ialah Shaiful dan Diyana. Pasangan tekukur sejoli ini sudah menetap dan berkerja di London sudah 6 tahun rasanya. Shaiful orang Penang dan Diyana orang Bentong tak silap aku. Di dalam bas mereka menjadi kaunter pertanyaan ahli-ahli rombongan lain kerana kesenioran mereka menetap di London untuk layak berbicara tentang London.

Perjalanan dari London ke Dover ini mengambil masa lebih kurang dua jam turut melalui Blackheath Village. Menurut Hairul kawasan ini pernah dilanda wabak penyakit dan mayat penduduknya ditanam beramai-ramai di satu kawasan lapang.

Rasa bertuah juga kami yang duduk tingkat atas ini kerana pemandangannya lebih luas berbanding mereka yang duduk di tingkat bawah. Tetapi mereka yang duduk di bawah berkelebihan untuk mudah mendekati krew bas ini seperti Abu & Fizi. Cikgu Fauzi sekeluarga seperti anaknya Hani dan Afif juga duduk di tingkat bawah. Siva dan Cikgu Ghani pun sama. Kemudian datang Abu untuk mengedarkan jadual waktu solat sepanjang konvoi kami selama 15 hari ini. Jadual itu amat mudah untuk rujukan kerana dicetak hanya pada sehelai kertas berbanding aku yang telah mencetak berhelai jadual setiap negara.
Di musim panas waktu malam lebih singkat. Isya hanya 3-4 jam sebelum datang Subuh.

Setiba di terminal bas-bas kami terpaksa menunggu giliran untuk menaiki tren Channel Tunnel ini. Aku sempat menikmati secawan kopi di mesin vendor. Peh! Sungguh menyegarkan. Tiba masanya bas kami pun memasuki tren yang akan membawa kami menyusuri terowong dalam laut untuk ke Perancis. Kira-kira sejam setengah kami berada di dalam tren dan tiba di Calais, Perancis pada jam 2.07 petang. Terpaksa aku undurkan jarum jam sejam kerana Perancis dan negara-negara Eropah lain lewat sejam dari England. Perjalanan diteruskan.

Kami memasuki Belgium jam 2.43 petang. Perjalanan ini bagi aku amat indah kerana kiri dan kanan dipenuhi padang rumput dan kuda-kuda serta lembu-lembu meragut rumput dengan selamat tanpa risau untuk dilastik atau dihambat. Pemanduan di Eropah (tidak termasuk UK) di sebelah kanan jalan oleh itu kenderaan mereka berstereng di sebelah kiri. Pusingan di roundabout sudah semestinya anti-clockwise.

Kami tiba di sebuah kilang coklat untuk melihat-lihat dan membeli belah. Belgium juga terkenal dengan penghasilan produk tenusu. Beraneka jenis coklat dijual di sini menyebabkan Lin, Lina and the gang rambang mata untuk memilihnya. Kami meneruskan perjalanan. Abu selaku jurucakap utama krew Bas 1 memaklumkan disebabkan kesuntukan masa kami tidak sempat untuk singgah di bandar-bandar lain. Bas terus menuju ke campsite pertama kami di Belanda.
Pilih pilih yang mana berkenan

Akhirnya kami tiba di kem Amsterdamse Bos. Sebuah kem yang serba lengkap dengan kabin, bilik air, mesin basuh, wi-fi percuma, dewan makan serta tanah lapang untuk dipacak khemah. Malam pertama ini aku meraikan pandangan Lina untuk berkhemah. Ya, untuk menajamkan skil berkhemah katanya. Demo daripada Abu bagaimana untuk memacak khemah serba sedikit membantu aku memacaknya. Penganjur KC telah memberikan kami khemah dan sleeping bag untuk kegunaan sepanjang konvoi ini. Awal-awal lagi kami telah menempah untuk berkhemah selama 4 malam, selebihnya kami menetap di kabin.

Kami memilih untuk makan malam di dewan makan. Sambil makan boleh juga melayari internet melalui netbook yang aku bawa ini. Sesi berborak juga amat rancak sehingga semua keletihan untuk masuk khemah dan tidur.
Cerita hantu malam-malam

Tuesday, June 28, 2011

Hari kedua di UK : Windsor Castle - Stonehenge - Bath - Cotswolds - Stratford-upon-Avon - Warwick - Oxford

27/6/2011 Jumaat

Pagi ini kami berkenalan pula dengan Kak Mas & Abg Zainal. Kenalan online Sue dari Kedah yang menempah pakej lawatan kami sehari ke beberapa tempat menarik di England. Selesai sarapan, pemandu kami Bro Khubaib seorang warga Malaysia sudah menunggu di MPV Renaultnya. Acara bersiar-siar pada hari ini akan disertai oleh kami berenam tidak termasuk Aini dan Yuyu yang mempunyai agenda tersendiri.

Lebih kurang pukul 7.30 pagi kami bergerak menuju ke destinasi pertama, Windsor Castle. Perjalanan ke Windsor Castle mengambil masa kira-kira sejam setengah. Sepanjang perjalanan kami rancak berbual, berta'aruflah katakan. Bro Khubaib menetap di England untuk menemani istrinya menamatkan pelajaran. Beliau mengambil masa-masa yang terluang untuk membawa pelawat-pelawat dari Malaysia khususnya untuk berjalan-jalan sekitar UK.

Menurut perancangan yang dibuat oleh Kak Mas dan Sue, hari ini kami akan melawat tujuh tempat. Hah! Tujuh tempat dalam sehari? Syarat yang diberikan oleh Bro Khubaib ialah hanya 30 minit diperuntukkan untuk menyelesaikan segala urusan sebagai seorang pelancong di sesuatu persinggahan. So, hurry up!

Windsor Castle ialah tempat penginapan keluarga diraja sejak 900 tahun yang lalu. Ia adalah istana tertua di dunia yang masih dihuni dan masih menjadi kediaman rasmi Queen Elizabeth II. Seterusnya kami menuju ke Stonehenge. Ia merupakan satu monunem pra-sejarah yang popular di dunia. Cerita mengenai kewujudan batu-batu gergasi di situ masih kekal misteri sehingga hari ini. Semuanya tersimpan rapi di dalam rahsia Yang Maha Mencipta batu-batu itu. Tiada apa yang ada di taman itu melainkan hanya rumput dan batu.

Menunggu Queen menjemput masuk

Bermain Batu Seremban menggunakan Stonehenge

Selesai bergambar sakan di situ kami meneruskan perjalanan ke Bath. Walaupun perjalanan dari satu destinasi ke destinasi lain mengambil masa antara sejam hingga sejam setengah namun perjalanan kami tidak membosankan kerana dihidangkan dengan pemandangan yang cantik. Lapangan hijau yang sungguh menyejukkan mata ditambah pula dengan nyanyian Opick yang berputar di CD Player kereta Bro Khubaib yang menyejukkan telinga.

Bath adalah tapak warisan dunia dan sebuah bandar Georgian yang cantik dengan senibina yang begitu mengagumkan. Antara senibina yang masih wujud ialah Roman Bath iaitu tempat mandian dan spa tinggalan warga Rom dahulu. Seterusnya kami ke Cotswolds sebuah kawasan yang begitu menenangkan seolah-olah membawa kami ke kurun 18-19 England. Masih terdapat binaannya yang menggunakan dry-stones bercantuman tanpa mengunakan simen.



Bila perut kelaparan mulalah kami berpusing-pusing mencari kedai untuk makan tengahari. Menurut Khubaib agak sukar mencari kedai kebab di sini dan akhirnya kami singgah di sebuah pasaraya untuk membeli roti dan buah-buahan segar. Maka berkendurilah kami di dalam kereta.
Menu lunch dalam kereta

Kemudian kami menuju ke Stratford-upon-Avon. Ia lebih dikenali kerana tempat kelahiran sasterawan Inggeris William Shakespeare. Kami juga melawat rumah isterinya Anne Hathaway yang tidak jauh dari tempat kelahirannya.


Seterusnya kami menuju ke Warwick (Listeni /ˈwɒrɪk/ worr-ik) untuk melawat Warwick Castle. Perjalanannya menjelajahi kampung dan pekan-pekan kecil. Seterusnya kami memasuki lebuhraya mengingatkan aku lebuhraya PLUS ditambah pula dengan pemanduan stereng di sebelah kanan juga seperti di Malaysia. Kami singgah di sebuah R&R untuk solat jamak Zuhur dan Asar. Bertuahnya kita di Malaysia kerana hampir setiap R&R dan stesen minyak mempunyai surau. Namun jangan haraplah untuk menemuinya di sini. Solatlah di mana-mana yang boleh, atas jalan, atas padang atau dalam kereta. Botol-botol air yang banyak kelihatan di belakang MPV Khubaib rupanya disimpan untuk beristinjak dan membasuh kaki ketika berwudhu'.


Kami meneruskan perjalanan ke Oxford. Kami tiba ketika hari bakal senja. Seriuh burung-burung berkicauan pulang ke sarang, riuh rendah jualah para muda mudi Oxford keluar untuk pesta malam minggu barangkali. Selesai bergambar kami mula bergerak pulang ke London.



Kami tiba di kawasan Edgware Road kira-kira jam 10 lebih. Singgah sebentar di salah satu kedai makanan Arab di situ untuk membungkus kebab (kebab lagi) dibawa pulang ke rumah. Makan dengan kenyang untuk bangun dengan persediaan rapi esok untuk menjelajah Eropah. Alhamdulillah!
Perjalanan seharian Kak Mas' Tour

Monday, June 27, 2011

Conquest of Europe 2011

26/5/2011 Khamis

Alhamdulillah pagi ini aku rasakan segar setelah 2-3 hari sebelum ini aku mengalami batuk-batuk dan rasa tidak sedap badan, mungkin petanda aku akan mengalami demam, selsema atau batuk. Tapi pagi ini alhamdulillah dengan semangat yang berkobar-kobar aku bersama isteri, Lin keluar dari rumah jam 7.20 pagi untuk memandu ke KL Sentral. Terima kasih Ela yang sudah menunggu di ruang Pelepasan untuk membawa keretaku pulang untuk disimpan di pejabat. Semasa menyerahkan kereta aku memberitahu Ela bahawa adikku Basit akan mengambil kereta di pejabat selang beberapa hari kelak untuk kegunaannya seharian.

Tidak lama di ruang check-in ini Lina pun datang untuk bersama-sama check-in penerbangan MH004 ke London yang bakal bertolak pada jam 10.05 pagi. Selesai sarapan kami menaiki KLIA Ekspres dan tiba di KLIA jam 9.00 pagi. Beberapa kali Aini dan Yuyu yang sudah tiba di KLIA menelefon kami bertanyakan lokasi kami. Risaukan kami yang masih belum muncul. Di dalam tren sempat aku menelefon mak dan bapak untuk mendoakan kesejahteraan kami di sana.

Setelah tiba di KLIA kami segera bergegas untuk melepasi segala pemeriksaan. Mujurlah segalanya berjalan lancar dan alhamdulillah pesawat kami selamat berlepas walaupun lewat 10 minit dari jadual.

Di dalam pesawat dalam diam-diam kondisi tubuh badan aku mula berubah. Aku mengalami demam yang agak teruk hinggakan 2 kali aku meminta paracetamol daripada pramugari yang budiman. Bukan setakat itu, tanpa dipinta beliau juga membawa karung plastik berisi ais untuk ditelap pada dahiku. Sungguh istimewa layanan MAS. Seiring dengan slogan Malaysian Hospitality yang dibawa mereka. Syabas!


Magnum mungkin boleh mengubat demam aku

Perjalanan yang mengambil masa kira-kira 13 jam 20 minit itu benar-benar aku rasakan begitu lama. Lebih kurang jam 4.14 petang waktu London kami selamat mendarat di Terminal 4 Lapangan Terbang Heathrow. Jam di tangan harus disesuai menurut waktu London, yang 7 jam lewat dari waktu Kuala Lumpur.

Alhamdulillah perjalanan kami dipermudahkanNya. Tiada masalah untuk pelepasan di kaunter imigresen. Pegawainya pula seorang Muslimah bertudung. Berjalan kami menuju ke ruang ketibaan dan kelihatan seorang lelaki yang memegang placard tertera nama aku. Kami terus menuju kepadanya. Seingat aku Robert namanya. Beliau seorang warga Sri Lanka yang akan memandu teksi membawa kami pulang ke Apartment Kak Umi, penginapan kami sepanjang berada di London.

Tempahan teksi yang dibuat secara online aku rasakan sungguh efisyen kerana tanpa sebarang emel mahupun telefon sudah tersedia pemandu itu pada waktunya. Sepanjang perjalanan pemandunya lebih selesa mendiamkan diri, cuma aku yang terlebih rajin mengajaknya berbual.

Pose pertama di Heathrow

Penumpang di belakang, Lin, Lina, Aini dan Yuyu tidak rancak berbual. Kaget dengan kotaraya London agaknya. Lebih kurang sejam kami tiba di Church Street di Edgware Road namun berpusing-pusing juga teksi MPV ini mencari lokasi. Setelah dihubungi Kak Umi akhirnya kami tiba di deretan rumah kedai. Kak Umi sudah menunggu kami di tepi jalan apartmentnya berhadapan dengan Tesco Stores ala-ala mini market.

Setelah selesai memunggah barang dan solat, aku mula membelek-belek kamera yang akan memulakan tugas rasminya esok hari. Oh tidak! kit-lens rosak. Fungsi auto-focus tidak berfungsi baik. Mujurlah aku ada membawa lensa tambahan tapi 50mm..

Malamnya kami mula berkenalan dengan Sue, teman pengiring Lina. Panjang ceritanya bagaimana kami bersatu dalam kumpulan Razy ini. Perut mula kelaparan. Dengan penuh confident kami berjalan kaki di sepanjang Church Street itu mencari kedai makan. Petang tadi berderet kedai makanan Arab masih dibuka. Tapi sekarang semuanya sudah ditutup. Mujurlah kami menemui sebuah kedai kebab dan burger yang masih dibuka. Alhamdulillah sebiji kebabnya sudah mampu mengenyangkan perut kami berdua. Terpaksa kami tapaw sebiji kebab lagi untuk dibawa pulang.
Memilih aneka kebab, burger & pizza